Coway Malaysia Membantu Menjayakan Happy Water Project Sebagai Salah Satu Tanggungjawab Sosial Korporat
Coway Malaysia bersama-sama Global Peace Foundation, sebuah NGO telah menjayakan satu projek yang dipanggil ‘Happy Water Project’ yang mensasarkan akses bekalan air bersih kepada lebih 1000 keluarga orang asli dalam masa 5 tahun.
Initiatif yang dimulakan pada tahun 2017 ini sudah memberi manfaat lebih kepada 300 keluarga orang asli di Kawasan Cameron Highland dan Muadzam Shah. Pihak Coway Malaysia telah berbesar hati menjemput pihak Siakap Keli untuk membuat liputan serta melihat sendiri cara hidup orang asli suku Jakun dalam mendapatkan bekalan air dalam kehidupan seharian mereka.
Hari pertama rombongan media sampai di Kawasan Bukit Ibam kami dikehendaki menaiki kenderaan pacuan empat roda kerana keadaan jalan tanah merah yang agak lecak akibat hujan bagi sampai ke perkampungan orang asli Batu Putih. Perkampungan yang menempatkan 15 keluarga ini mempunyai beberapa sumber air sebelum ini. Jika sebelum ini mereka akan sentiasa berpindah randah mengikut keadaan sumber air, kini mereka mula menetap di kampung ini setelah tempat tadahan air dikorek dan disalurkan ke rumah melalui pam menggunakan panel solar.
Jika sebelum ini mereka perlu melakukan perjalanan menaiki motosikal sejauh 1 sehingga 3 kilometer untuk mengambil bekalan air di kawasan tadahan kini mereka hanya perlu membuka pili air di kawasan rumah mereka untuk menggunakan air. Namun risiko sumber air yang terdedah ini boleh membawa ancaman seperti E.Coli seterusnya mengancam kesihatan komuniti orang asli di sini.
Justeru itu, pihak Coway Malaysia memandang serius perkara ini dan bersetuju untuk membekalkan kepada penduduk di sini dengan kelengkapan penapisan air di dalam rumah yang mudah digunakan tanpa menggunakan bekalan elektrik. Pengarah Urusan Woongjin Coway (Malaysia) Sdn. Bhd, Encik Kyle Choi Ki Ryong berkata telah menjadi tanggungjawab Coway dan misi mereka untuk memastikan tiada siapa pun yang dinafikan hak mutlak seseorang manusia iaitu air yang bersih.
Untuk hari kedua pula, rombongan media telah sampai ke Kg. Belbas di kawasan Rompin, Pahang. Kampung ini pula lebih mudah diakses oleh kenderaan dan memerlukan perjalanan berjalan kaki selama 5 minit untuk ke kawasan kampung tersebut. Kami disambut oleh ketua kampung atau Tok Batin dan terus dibawa ke tempat sumber air mereka.
Sumber air mereka adalah dari bawah tanah yang dikorek menggunakan mesin boring dan dipam keluar kemudian disalurkan ke rumah-rumah orang asli di kawasan ini. Mereka juga menghadapi masalah yang sama dari segi kebersihan sumber air mereka.
Kami diraikan oleh orang asli dalam satu majlis kecil di pusat komuniti mereka. Di sini pihak Coway Malaysia mengedarkan alat penapisan air kepada penduduk kampung ini serta latihan bagi cara-cara menggunakannya. Pihak Peace Global Foundation turut mengajar anak-anak orang asli ini mengenai cara menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dan memberus gigi dengan betul. Rata-rata orang asli yang terlibat dalam initiatif ini berpuas hati dan berterima kasih kepada Coway Malaysia dan Global Peace Foundation kerana sudi menghulur bantuan kepada mereka.
The post COWAY Malaysia Membantu Menjayakan Happy Water Project Sebagai Salah Satu Tanggungjawab Sosial Korporat appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/12/08/coway-malaysia-membantu-menjayakan-happy-water-project-sebagai-salah-satu-tanggungjawab-sosial-korporat/