Coretan Adila Raya Idarasul
CORETAN ADILA RAYA 2018 OLEH: FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD
NAMA PENA: IDARASUL
JABATAN PENGAJIAN MELAYU IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK KOMPLEKS PENDIDIKAN NILAI 71760 BANDAR ENSTEK NEGERI SEMBILAN
SEWAJARNYA saat-saat begini diisi dengan senda gurau dan gelak ketawa. Paling tidak saling bertukar cerita bagi mengusir rindu yang lama bertamu. Tetapi segala kata-kata bagaikan tersangkut di rengkung. Dan air mata pula terasa makin sukar untuk dikepung. Aku memandang lama mak yang sedang tekun menjahit baju melayu abah. Di sisi kirinya sehelai baju melayu berwarna biru sedondon dengan baju melayu abah. Barangkali baju melayu itu kepunyaan adikku, Budin. Lama aku memerhatikan ketekunan mak. Menjahit itu kesukaan mak. Mak akan gembira apabila baju yang dijahitnya itu dipakai oleh anak-anaknya. Barangkali baju yang dijahit mak sudah dicampur dengan adunan kasih sayang dari air tangan mak. Justeru, baju melayu itu nampak cantik dan selesa pula dipakai. “Kakak, suruh Teh buat tempeyek lebih sikit untuk adik kau Budin. Budin suka makan tempeyek. Kalau boleh isikan dalam balang yang mak dah keringkan di atas meja tu,” suara mak tiba-tiba sahaja merayap masuk ke gegendang telingaku. Aku tersentak apabila mendengar arahan daripada mak. Namun, air mataku tiba-tiba sahaja terkepung di dalam kelopak mataku. “Kakak, cantik tak baju melayu yang mak jahit ni? Baju melayu warna biru kesukaan adik kau Budin.” Ujar mak dengan mata yang bersinar. Aku hanya kaku dan membungkam sepi. Jantungku berdegup kencang. Kalau boleh aku mahu menjerit memberitahu situasi sebenar kepada mak. Namun, aku tidak mampu. Aku masih lagi diam dan bibirku terkunci rapat apabila mendengar nama adikku Budin. “Kakak, sudah lama Budin tak balik jenguk kita. Sekarang sudah 25 Ramadan, esok lusa sudah malam tujuh likur. Mana Ngah dan anak-anak Budin? Kata hendak raya dengan mak tahun ini?” soal mak membuatkan hatiku terasa sebak. “Mak...” panggilku sayu. Coretan Satu Mak menoleh ke arahku lalu memandang tepat ke dalam anak mataku. Dari cermin mata mak itu, mak hanya merenung wajahku tanpa senyuman. Barangkali ada kesedihan yang sedang bertandang di hati mak. “Mak, sudahlah...Kakak tahu...” aku menggantung kata-kata itu tanpa penghujungnya. “Tahu apa?” balas mak cepat. Aku terdiam seperti patung cendana. Seluruh air mataku kembali bergenang di kelopak mata. Waktu itu hanya yang terpampang di depan mata wajah adikku Budin. Budin adalah satu-satunya anak lelaki mak. Malah Budin diibaratkan sebagai jantung dan hati mak. Aku dan enam orang lagi adik-beradikku kesemuanya perempuan. Justeru, aku tahu sebagai anak lelaki tunggal dalam keluargaku, Budin adalah anak kesayangan mak. Aku masih ingat, sewaktu sambutan hari raya dua tahun lepas Budin, Ngah dan anak-anaknya tidak pulang menyambut hari raya bersama-sama mak dan abah. Mak menunggu Budin sejak malam raya sehinggalah ke pagi. Mak tidak tidur. Mak hanya duduk termenung di muka jendela menanti dan terus menanti. Waktu itu, aku yang sedang menganyam kelongsong ketupat memerhatikan keadaan mak dengan penuh simpati. “Mak, sekejap lagi sampailah Budin. Mak jangan susah hati ya,” ujarku sambil duduk di sisi mak. Senyuman semakin terukir apabila mendengar kata-kataku itu. Barangkali kerisauan mak sedikit terubat dengan kata-kataku itu. Beberapa jam berlalu, namun bayang Budin langsung tidak kelihatan. Mak kembali termenung. Mak merenung aku dan pintu pagar hadapan silih berganti. “Mana Budin? Sudah larut malam ni. Agaknya adik kau marahkan mak sebab mak marahkan dia hari tu. Mak marah bukan mak benci. Mak marah sebab mak sayangkan dia. Ibu mana yang tak sayangkan anak?” suara mak terketar-ketar bercampur sendu. Kata-kata mak itu terlalu meruntun hatiku. Benar mak marahkan Budin. Budin selalu berahsia dengan mak. Budin tidak mahu mendengar kata mak. Kali terakhir Budin balik berjumpa dengan mak sebelum menjelangnya hari raya. Budin bawa hamper raya dan beri mak duit raya. Budin beli bermacam-macam barangan untuk menyambut hari raya. Aku melihat keadaan Budin waktu itu. Tubuhnya semakin berisi dan perut semakin membusung. Aku mulai curiga dan keliru lantas bertanyakan hal yang sebenar kepada Budin. “Budin, kakak nampak Budin macam tak sihat? Kalau tak sihat cakaplah tak payah sorok-sorok. Kalau ada masalah, Budin beritahu dengan kakak.” Budin hanya tersenyum. Senyuman yang terukir itu seperti memberitahu bahawa dia tidak punya jawapan daripada persoalanku itu. Akhirnya, kami berpisah apabila usai berbuka puasa. Itu sahaja. “Kakak, hari ini kita nak masak apa? Kalau masak lontong tentu sedap bila berbuka nanti. Budin suka makan lontong.” Kata mak sambil terus tekun menjahit baju. “Ada Budin telefon kakak?” tiba-tiba mak bertanya soalan yang menyebabkan aku tersentak dari lamunan yang panjang. “Mak...” aku memanggil mak dengan sayu. Mak menoleh ke arahku. Kemudian, mata mak singgah di mataku. Mak tidak lagi seperti dahulu. Kedut di wajah mak menggambarkan betapa mak sudah semakin dimamah usia. Di bawah mata mak ada kolam-kolam kepayahan yang pernah diharungi oleh mak suatu masa dahulu. Aku melihat mak semakin berkecamuk jiwanya. Dan serta-merta bertapak di hatiku simpati dan kesedihan terhadap diri mak. “Mak...sebenarnya...” aku masih lagi menggantung kata-kata yang tidak berpenghujung. “Sebenarnya apa? Mak bela kamu, Budin dan adik-adik yang lainnya sejak kecil. Mak tak pernah membeza-bezakan anak-anak mak. Kalau Budin dapat baju baharu, kamu semua juga dapat. Kalau Budin dapat kasut baharu, kamu semua juga dapat kasut baharu. Jadi apa yang tidak kena sekarang ini? Kalau kakak marah sebab mak jahitkan baju Budin dan abah, mak tak kisah. Kamu semua sudah ada baju baharu untuk raya tahun ini. Hanya Budin sahaja yang belum ada!” jawab mak menyebabkan situasi semakin tegang. Aku semakin gelisah. Jiwaku seolah-olah disuntik dengan perasaan sedih. Aku mencongak-congak sendiri. Haruskan aku membiarkan mak larut dengan perasaan sendiri? Haruskah aku membiarkan mak alpa dalam kenangannya? Ah, terlalu sukar untuk aku menerangkan segala-galanya. Namun, aku harus memberitahu kebenarannya. Bukankah kebenaran itu adalah musuh kebatilan? “Mak...Budin sudah setahun meninggalkan kita. Budin sudah tak ada mak. Budin meninggal disebabkan kanser hati, mak.” Tanpa mahu berselindung aku memberitahu kebenarannya. Mak tersentak. Air mata mak mula mengalir laju di pipi. Mak terduduk di hadapan baju melayu berwarna biru kepunyaan Budin. Mak menangis semahu-mahunya. Aku hanya membiarkan mak menangis di bahuku. Namun, air mataku juga mengalir deras tanpa dapat disekat lagi. Aku tahu hati mak. Hati seorang ibu yang kehilangan anak. Aku tahu perasaan mak. Perasaan kehilangan seorang anak lelaki. “Mak...janganlah menangis, mak. Arwah tunggu kita di sana. Suatu hari nanti kita juga akan mengikut jejak arwah,” aku mengakhiri kata-kata kesedihanku di situ. Al-Fatihah buat adikku, Norhisham bin Mohamad Saad.
Lagu yang dipilih :
1. Sepasang kurung biru- Khairil Johari Johar
2. Setitis cahaya di aidilfitri – Aisyah
3. Ku pohon restu ayah bonda – Mamat Exist
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pajatsong.blogspot.com/2018/10/coretan-adila-raya-radio-klasik-idarasul.html