Contoh Surat Rayuan Mohon Pergi Haji
Menunaikan ibadah haji adalah merupakan impian semua umat Islam. Ia satu anugerah dan kelebihan diberikan oleh Allah S.W.T buat mereka yang dapat serta berpeluang menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Ia menjadi kenangan termanis dalam hidup seorang Muslim menjadi tetamu Allah menunaikan ibadah suci ini.
Namun, disebabkan oleh kuota Arab Saudi kenakan, pihak Tabung Haji yang menguruskan urusan pemergian jemaah haji Malaysia tidak boleh membenarkan semua yang layak (dari segi kewangan) untuk pergi. Jadi saringan serta pemilihan perlu dilakukan dengan terperinci.
Cara Membuat Surat Rayuan Permohonan Pergi Haji
Ramai sebenarnya dah layak dan berkemampuan dari segi kewangan untuk pergi menunaikan ibadah haji ini. Seperti awal dikatakan tadi, peluang untuk ke Tanah Suci Mekkah adalah terikat dengan jumlah kuota disediakan.
Pun begitu, terdapat cara untuk percepatkan proses mendapatkan peluang pergi haji ini, dengan syarat semua perkara atau syarat penting untuk membolehkan anda untuk pergi menunaikan haji telah dipenuhkan.
Caranya ialah dengan membuat rayuan permohonan pergi haji. Hanya dengan cara ini, anda berkemungkinan dapat dipilih untuk menunaikan haji bersandarkan kuota sedia-ada. Anda kena maklum bahawa memang ada kuota tertentu disediakan oleh pihak Tabung Haji, seperti untuk warga emas, yang ada masalah kesihatan dan sebagainya.
Inilah peluang lain yang dimaksudkan untuk ke pergi Haji menerusi permohonan rayuan.
Sebelum boleh membuat rayuan, pastikan syarat dah dipenuhi.
Syarat Penting Sebelum Membuat Rayuan Pergi Haji
Apa syaratnya?
1. Anda Sudah Membuat Pendaftaran HajiPastikan anda sudah mendaftar dengan Tabung Haji untuk pergi Haji. Ini kerana jika anda masih belum daftar, surat rayuan untuk permohonan pergi Haji anda mungkin tidak akan dilayan. Anda tidak mengikut proses yang betul.
Bagaimana nak daftar Haji dengan Tabung Haji? Pergi sahaja ke pejabat Tabung Haji berhampiran, buka akaun Tabung Haji dan minta pegawai untuk daftarkan anda untuk pergi Haji (jika belum ada akaun/belum daftar).
Oh ya, satu perkara penting sebelum membuat pendaftaran haji ialah baki dalam akaun Tabung Haji perlu ada minima sebanyak RM1,300 untuk membolehkan pendaftaran haji dibuat mengikut giliran tahun haji.
2. Penuhkan Simpanan Minima Untuk Kos Pergi HajiJika anda sudah daftar Haji, pastikan anda berusaha untuk penuhkan wang simpanan di dalam akaun Tabung Haji dengan segera. Amnya, Tabung Haji memerlukan sekitar RM10,000 hingga RM11,000 untuk anda pergi Haji. Kos ini akan berubah dari semasa ke semasa. Anda boleh semak kos semasa mengerjakan haji ini di laman web rasmi Tabung Haji.
3. Sedia Untuk Pergi Haji Pada Tahun TersebutJika anda nak hantar surat rayuan Haji, pastikan anda sudah bersedia untuk pergi pada tahun tersebut. Maksudnya ialah, anda buat persediaan dengan pergi ke kursus haji beberapa kali untuk perlengkapkan pengetahuan menjalankan ibadah ini.
Jangan risau kalau baki akaun belum mencukupi, hantar sahaja surat rayuan untuk pergi Haji. Tampilkan sijil kursus haji yang pernah anda pergi. Kemudian, anda penuhkan akaun simpanan haji untuk kos minima pergi haji tahun tersebut.
4. Senaraikan Alasan Nak Pergi Haji Lebih AwalApa alasan anda nak pergi Haji lebih awal? Senaraikan untuk dimasukkan ke dalam surat rayuan permohonan pergi haji itu nanti. Ada banyak alasan yang boleh difikirkan, tetapi adalah lebih baik anda berikan hanya yang paling relevan sahaja.
5. Tawakkal & Berdoa Kepada AllahBerdoalah, dan kuatkan niat anda untuk pergi menunaikan rukun kelima ini. Semua proses yang kita lakukan ini hanyalah usaha kita, namun Allah yang menentukan. Ini kerana pergi Haji ini adalah jemputan Allah. Itu sebabnya anda perlu memohon kepada Allah S.W.T supaya anda dipilih untuk menjadi tetamuNya.
Jika anda tidak dijemput pada tahun tersebut, cuba lagi tahun hadapan. Cuba sehingga dapat. Moga Allah permudahkan urusan kita semua untuk pergi Haji, amin!
Contoh Surat Rayuan Permohonan Pergi Haji
Daripada:
Jabit Abdullah bin Habib Abdullah,
No 10, Jalan Haji Maarof,
Simpang Renggam,
76556 Johor Bahru,
Johor.
Telefon: +6 012 528 9887,
Kepada:
Bahagian Operasi Domestik,
Lantai 30, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji,
201 Jalan Tun Razak,
50732 Kuala Lumpur.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Tuan/Puan, 19.10.2019
PER: RAYUAN MENUNAIKAN IBADAH HAJI 1442H
1. (ISI KANDUNGAN) Saya merupakan pendaftar haji yang berdaftar pada tarikh 10 Ogos 2003. Saya ingin merayu untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun 1440H. Dilampirkan butir peribadi saya seperti berikut:
Nama penuh: Jabit Abdullah bin Habib Abdullah
No kad pengenalan:760908-09-6404
No akaun TH: TH15588774
No daftar: 2551234
No telefon: +6 012 528 9887
2. (ALASAN PERMOHONAN) Untuk pengetahuan Tuan, saya ingin menunaikan ibadah Haji pada tahun 1441H (2020) kerana saya sudah bersedia untuk menunaikan Haji. Tahun 2021 kelak, anak saya akan mula bersekolah dan itu membuatkan pada tahun tersebut dan tahun-tahun berikutnya lebih mencabar untuk saya pergi menunaikan ibadah Haji kerana terpaksa menguruskan persekolahan anak.
Timbang rasa pihak Tuan/Puan sangat dihargai. Saya akhiri dengan ucapan jazakumullahu khairan jazaa’.
Yang benar,
………………………….
Jabit Abdullah bin Habib Abdullah
(KP: 760908-09-6404)
Surat rayuan ini boleh anda emelkan ke:
[email protected]Surat fizikal pula boleh dihantar ke alamat berikut atau mana-mana cawangan Tabung Haji berdekatan:
Bahagian Operasi Domestik,
Lantai 30, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji,
201 Jalan Tun Razak,
50732 Kuala Lumpur.
Sebagai membantu anda memberikan gambaran lebih baik bagaimana nak menulis surat rayuan permohonan pergi haji, beberapa contoh lain turut disertakan di bawah ini.
Contoh Surat Rayuan #1
Contoh Surat Rayuan #2
Contoh Surat Rayuan #3
Semoga bermanfaat untuk semua pembaca, yang mungkin sudah tergerak hati untuk menunaikan haji pada tahun akan datang. Gunakan kesempatan ini untuk membuat rayuan. Mana tahu, Allah S.W.T memilih anda.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.daain.info/2019/10/contoh-surat-rayuan-mohon-pergi-haji.html