Ruangan parkir di sebelah kanan. Di sebelah kiri pula Merdeka Beach Resort.Ikut saja panduan perjalanan di Google Maps, sampailah kami ke Pantai Merdeka. Rupanya tak jauh mana pun dari rumah, perjalanan cuma mengambil masa sekitar lebih kurang satu jam. Kalau berdasarkan kiraan jarak, tak sampai 60 km. Tapi sebab kita perlu melalui jalan kampung, jadinya tak bolehlah memandu laju
Kami sampai di sini sekitar pukul 10.45 pagi. Masih awal. Tetapi sudah ada pengunjung lain di sini. Kami membeli gorengan keropok nipis di sebuah gerai jualan. Tujuannya nak duduk makan sambil memerhati suasana di sini
Saya dapati di sini banyak disediakan tempat untuk pengunjung berfoto. Antaranya, tangga warna-warni ni. Nampaknya pantai ini diselenggara dengan baik dan cukup menarik untuk aktiviti santai pada hujung minggu
Beginilah rupa Pantai Merdeka. Cantik warna air lautnya, agak kebiruan. Dalam gambar ni pemandangan pantai di sebelah kiri. Terdapat binaan tembok batu di sepanjang pantai. Tapi tak begitu tinggi, kita boleh turun ke bawah. Saya tak pasti pantai ni sesuai untuk bermandi-manda atau tidak. Yang pasti, tempat ni menjadi tumpuan para pemancing
Ini pula rupa pantai di sebelah kanan. Lebih ramai yang duduk memancing di bahagian sini sebab lebih redup terlindung pokok besar. Dari sini kita dapat melihat pemandangan Gunung Jerai dan Tanjung Dawai. Memang bertepatan dengan lirik lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian Jinbara :🎶🎶🎶Ku ukir namamuDi awan Gunung JeraiDi saksikan laut daun nyiur melambaiJauh pandangan permaiDi situ Tanjung Dawai🎶🎶🎶
Ikan buntal ‘membulatkan’ badannya begini jika merasa terancam.Kenal tak ni ikan apa? Ini kali pertama saya lihat secara langsung ikan buntal laut. Pada awal bulan Julai lepas, saya dapat lihat ikan buntal air tawar sewaktu menelusuri Sungai Kilim, Langkawi. Kedua-duanya menarik dan kelihatan comel. Tapi ikan buntal air tawar yang saya lihat tempohari lebih cantik kerana terdapat corak berbintik besar pada badannya yang berwarna kuning
Dah selesai makan dan melihat-lihat sekitar, marilah kita naik bot untuk ke seberang sana - Tanjung Dawai. Tempat naik bot ni ada di sebelah hujung kanan kawasan pantai. Tak ada jeti khas, kita turun je ke pasir pantai tu untuk naik bot. Jadinya kalau nak naik bot, silalah pakai pakaian dan kasut bersesuaian untuk keselamatan dan memudahkan langkah kita
Kami penumpang terakhir masuk bot. Kami duduk di barisan akhir dekat dengan pemandu bot. Dalam bot ni terdapat 10 buah bangku. Selesalah kalau duduk seorang satu, kalau berdua kenalah duduk berhimpit sikit. Tapi ok je, sebab perjalanan sangatlah dekat cuma beberapa minit. Tambangnya RM3 seorang satu hala. Bayar bila kita dah sampai di Tanjung Dawai
Tiga papan tanda info penting. Tambang bot untuk upacara keagamaan pun ada, upacara apa agaknya tu ya? |
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |