Cerita Raj Dan Ismail
Jika anda seorang Muslim, anda pasti sering terima grafik imej Kaabah atau masjid yang memaparkan petikan ayat al-Quran, hadis Nabi Muhammad serta kata- kata ulama besar mengenai ajaran Islam. Penghantaran dibuat menerusi aplikasi WhatsApp. Mungkin anda juga sering menghantar bukan sekadar menerima grafik yang saya maksudkan. Untuk memberi peringatan akan tuntutan dan pengajaran agama kepada saudara seagama. Ertinya orang Islam berpesan sesama Islam.
Saya tidak pernah menghantar pesanan keagamaan kepada sesiapa. Tetapi saya menerimanya setiap hari. Sebelum waktu sembahyang subuh. Bukan sahaja mesej dihantar ke kumpulan sembang WhatsApp yang saya menganggotainya. Ada mesej dihantar langsung kepada saya. ‘PM tepi’ kata orang sekarang.
Dan ia dihantar oleh seorang kawan lama. Nama beliau Rajaendran Ramasamy. Saya memanggilnya Raj. Begitu juga kawan-kawannya yang pernah bekerja dengan beliau di TV3. Raj menyertai TV3 pada 1986. Saya mengenalinya di stesen televisyen itu.
Seperti dikata tadi, setiap awal pagi Raj akan menghantar saya petikan ayat suci al-Quran dan sabda Rasulullah. Lengkap dengan terjemahan. Beliau ialah penganut Hindu. Benar apa yang dihantar boleh didapati jika rajin ‘bergoogle’.
Bagaimanapun, apa yang ‘digoogle’ ialah apa yang beliau pernah dengar diucapkan oleh beberapa agamawan. Di TV3 beliau bertugas sebagai pengarah studio. Ertinya mengendalikan rakaman atau siaran langsung rancangan televisyen. Antara rancangan yang beliau kendalikan ialah ‘Tanyalah Ustaz’, ‘Halaqah’, ‘Al-Kuliyyah’ dan ‘Suarasa’. Semua terbitan TV3 dan TV9 untuk penonton terutama beragama Islam.
Tidak perlu saya huraikan tugas pengarah studio. Cukup sekadar menyatakan sebagai pengarah studio rancangan agama, Raj wajib meneliti apa diucapkan orang agama yang menjadi pengacara atau tetamu rancangan. Ertinya beliau mendengar rapi segala persoalan agama dan jawapannya. “Saya ikuti ajaran ustaz,” katanya.
Bila bercakap dengan Raj, beliau akan menggunakan istilah ‘insya-Allah’, ‘hidayah’ – istilah kerap digunakan agamawan. Mengapa beliau menghantar teks pesanan agama kepada saya? Saya akui saya kerdil soal agama. Tetapi beliau seorang Hindu. Tidakkah akan mendatangkan masalah kepada beliau dalam kalangan penganut Hindu?
“Elok hantar butir-butir Islam bagi menghormati sahabat yang beragama Islam. Mungkin juga semua kehendak Allah,” jawabnya kepada saya apabila saya tanya mengapa beliau buat apa yang beliau buat.
Saya tanya juga tidakkah keluarga, saudara-mara atau rakan-rakannya beragama Hindu marah kerana beliau memetik ayat al-Quran? Jawabnya ‘Mereka tidak marah kerana saya hormati orang Islam’.
Saya masih ingat di TV3 apabila Thaipusam beliau akan ambil cuti untuk ke Batu Caves. Setiap tahun pergi tetapi tahun ini tak pergi mana-mana pun. Rehat di rumah. Saya tahu beliau kepenatan. Dua tahun lalu diserang strok.
Bagaimana keadaannya sekarang. “Insya-Allah OK. Allah masih izinkan saya berjalan, hanya suara tak berapa elok,” katanya menerusi WhatsApp.
Thaipusam tahun ini Raj sembahyang di rumah. Beliau sudah bersara dan kini tinggal di Taiping kampung isterinya. Meskipun menghayati hujah agamawan Islam hakikatnya Raj tetap berpegang kepada ajaran Hindu.
Terkenang pula saya akan kawan lama warga Singapura. Allahyarham Ismail Kassim. Wartawan beberapa akhbar Singapura yang dihormati. Saya ulangi apa yang saya pernah tulis dulu. Dalam bukunya bertajuk ‘No Hard Feelings’ terbitan 2008 Ismail ada menceritakan pengalamannya berdepan pendakwah Kristian.
Kata Ismail, tiga kali percubaan ‘mengkristiankannya’ terjadi. Pada tahun 80-an seorang kawannya, ‘born again Christian’ datang berdakwah untuk memujuknya menganut agama Kristian. Kata Ismail walaupun beliau bukan seorang Muslim yang ‘kuat’ (saya faham maksudnya), beliau tidak termakan dengan dakwah kawannya itu.
Pada 2007, dua wanita dengan bible di tangan datang ke rumah Ismail. Jelas mereka juga mahu ‘mengkristiankan’ Ismail. Sekali lagi dakwah itu tidak berjaya. Namun, kali pertama Ismail ‘berdepan’ pendakwah Kristian ialah pada tahun 1960. Atas pilihan sendiri.
Ismail dapat tahu Billy Graham, seorang Evangelis dari Amerika Syarikat akan mengadakan perhimpunan di Stadium Jalan Besar Singapura. Dikatakan Graham mempunyai kebolehan luar biasa meyakinkan orang ramai ‘to the cause of Christ’.
Ismail diberitahu ‘listen to him once and you will believe forever’. Lalu Ismail menyahut cabaran itu dan apabila pada hari Graham mengadakan perhimpunan, beliau ke Stadium Jalan Besar untuk mendengar hujah Graham di tengah lautan manusia.
Untuk memendekkan cerita yang panjang, Graham tidak dapat meyakinkan Ismail untuk tukar agama. Ismail kekal Islam hingga ke akhir hayat.
Kesimpulannya, sesiapa yang berpegang teguh terhadap kepercayaannya tidak akan memeluk agama lain. Raj kekal Hindu, Ismail tetap Islam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/cerita-raj-dan-ismail.html