Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar Dan Tahan Lama
Semalam saya masak Ayam Masak Lemak Cili Api, saya masukkan juga daun kunyit yang telah disimpan dalam peti sejuk beku (freezer). Dah nak habis stoknya, berbaki beberapa potongan daun saja. Kemudian teringat foto-foto yang diambil pada bulan Januari lalu masih belum dijadikan entri blog 😄
Walaupun mungkin ramai yang dah tahu cara simpan daun kunyit agar kekal segar dan tahan lama, tetap jua saya catatkan di blog sebagai rujukan dan kenangan saya sendiri
Begini cara yang saya lakukan :
Basuh bersih daun kunyit, kemudian keringkan daun dengan cara tus (biasanya saya eja ‘tos’, rupanya ejaan yang betul ialah ‘tus’) dan tekapkan dengan tisu dapur
Selepas itu saya buang tulang daun dan potong daun kepada saiz kecil. Tujuannya supaya mudah simpan dan mudah saya nak masak, cuma ambil beberapa potongan daun saja. Biasanya saya guna sikit sebab ahli rumah cuma berdua, masak apa pun sikit jelah
Selit kisah lain - foto di atas ada menyimpan memori. Papan pemotong dan pisau yang digunakan tu sekarang dah berganti yang lain. Papan pemotong sengaja ganti lain sebab ada bau tak menyenangkan yang tak boleh hilang, manakala pisau tu pulak ghaib gagal dikesan 😅
Teknik pembekuan (freezing) - susun daun kunyit tadi atas pinggan atau bekas bersesuaian, lepas tu simpan dalam peti sejuk beku selama beberapa jam atau semalaman. Tujuan buat begini adalah supaya daun kunyit dapat disejuk bekukan secara sekata sebelum masuk bekas penyimpanan
Ada orang terus simpan tanpa buat langkah ni. Terpulanglah kan, ikut cara mana yang kita suka. Setakat ni beginilah saya buat kalau nak bekukan daun herba
Rupa daun kunyit selepas beberapa jam di sejuk bekukan
Saya simpan dalam pek plastik berzip begini. Setiap kali nak guna, ambil beberapa potongan daun kunyit dan potong/gunting kasar terus masuk dalam masakan. Tak dapat nak hiris halus bila gunakan daun kunyit yang dah disimpan dalam peti sejuk beku. Itu sajalah kekurangannya
Dah hampir 9 bulan saya simpan daun kunyit ni, semalam pakai masih elok warna hijau dan ada aroma daun kunyit. Memang jimat sejak saya buat cara begini pada daun herba untuk masakan. Sekarang ni dalam peti sejuk beku saya ada menyimpan daun kunyit, daun kari, daun limau purut dan bunga kantan. Semangat nak memasak bila semua bahan herba ada
Walaupun tak sesegar daun yang baru diambil dari pokok, tapi inilah cara terbaik bagi orang yang tak menanam pokok kunyit tapi mahukan daun kunyit yang segar warnanya untuk digunakan pada bila-bila masa saja
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/10/cara-simpan-daun-kunyit-agar-kekal.html