Cara Berjanji Dengan Perkataan Insya Allah
Kita tidak dapat memastikan apakah berupaya menunaikan janji. Ketentuan tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang hanya Allah mengetahuinya. Manusia hanya merancang, sedangkan Allah menentukannya.
Justeru, kita digalakkan menggunakan perkataan ‘insya-Allah’ apabila membuat janji. Maksud perkataan insya-Allah ialah ‘ dengan izin Allah’, yakni segala apa yang akan berlaku hanya berjaya jika diizinkan oleh Allah.
Malangnya ramai menggunakan perkataan insya-Allah dengan niat tidak ikhlas atau menyalahgunakannya. Perkataan tersebut digunakan bagi mengambil hati dan menyakinkan orang lain bahawa akan ditunaikan jika diizinkan Allah. Sedangkan di dalam hati sudah berkata tidak mahu menunaikannya.
Perkataan insya-Allah juga sering digunakan untuk menunjukkan bahawa dirinya seorang Islam sejati yang patut dipercayai janjinya. Sebabnya seorang Islam pasti berusaha menunaikan janji.
Perkataan insya-Allah tidak boleh dipermain-mainkan. Mereka yang sengaja menggunakan kalimah suci semata-mata untuk memerangkap orang lain telah melakukan satu dosa besar. Maka bertambah satu lagi dosa selain tidak menunaikan janji itu.
Mereka yang tidak menunaikan janji disebabkan terlupa atau tidak mampu menunaikannya tidak dianggap berdosa.
Hukum Islam tidak meletakkan kesalahan kepada mereka yang terlupa atau tidak mampu melaksanakannya. Terlupa atau tidak mampu menunaikan janji yang mulanya dirasakan dapat ditunaikan, baru menepati maksud insya-Allah sebenarnya.
Kegagalan menunaikan janji memberi kesan tidak menyenangkan hati atau keburukan kepada orang lain. Oleh itu adalah wajar orang yang tidak dapat menunaikan janji berjumpa atau menghubungi orang yang dijanjikan untuk memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenarnya secepat mungkin.
Memohon maaf sebagai tanda menyatakan kekesalan atas kegagalan menunaikan janji itu akan menyebabkan orang yang itu merasa dirinya tidak dipermain-mainkan.
Dengan cara itu juga hubungan baik akan terus terjalin dan tidak timbul perasaan dendam, hilang kepercayaan, curiga dan implikasi buruk lain akibat tidak menunaikan janji itu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/06/pmy.html