Calon Muda Prn Mampukah Mereka Menang Tawan Hati Pengundi
Berbeza dengan pilihan raya terdahulu, parti-parti politik berlumba-lumba meletak muka baharu dan tidak kurang juga mempertaruhkan calon muda bagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November.
Lebih menarik lagi, PRN Melaka juga memperlihatkan lebih ramai calon masuk bertanding berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini apabila seramai 112 orang masuk berbanding hanya 85 calon.
Pilihan Raya ini juga menampilkan lebih 50 peratus calon muda iaitu seramai 65 orang berusia antara 21 hingga 49 tahun manakala baki 47 calon berusia 50 hingga lebih 60 tahun selain mempertaruhkan 16 calon wanita dan 96 calon lelaki.
Calon termuda Perikatan Nasional (PN), Fong Khai Ling berusia 27 tahun akan bertanding buat kali pertama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana.
Ling semasa ditemui Agenda Daily memberitahu mahu menawarkan pengalaman dan kepakaran dimilikinya bagi menyumbang khidmat bakti kepada rakyat di Kota Laksamana dan berharap diberikan peluang untuk membuktikannya.
“Saya ada pengalaman dan kepakaran yang boleh menyumbang kepada rakyat di Kota Laksamana.
“Berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat di Kota Laksamana dan undilah saya calon nombor 1,” katanya.
Ling berkata memilih Parti Gerakan sebagai platform politiknya kerana imej bersih dan berintegriti parti tersebut menyebabkan berminat untuk menyertai perjuangan parti tersebut.
Berpendidikan MBA dari Universiti Sunderland itu sangat mengharapkan PRN Melaka akan dapat memberinya pengalaman berharga dan jika diberikan peluang berjanji akan memberikan yang terbaik kepada pengundi Kota Laksamana nanti.
Sementara itu, seorang lagi calon termuda dalam PRN Melaka adalah berusia 21 tahun, Farzana Hayani Mohd Nasir di DUN Sungai Rambai atas tiket Pakatan Harapan (PH).
“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan dipilih menjadi calon untuk bertanding, namun telah sangat-sangat ready (bersedia) untuk membantu rakyat dan masyarakat di negeri Melaka,” katanya dipetik laporan Bernama.
Ketua Srikandi Keadilan Melaka itu menegaskan antara isu yang akan beliau diberi perhatian serius jika menjadi wakil rakyat ialah meningkatkan capaian Internet di seluruh negeri Melaka bagi memudahkan pendidikan dan menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan secara dalam talian.
Farzana berkata sebagai pelajar, beliau merasa peritnya dengan gangguan Internet ketika sedang mengulang kaji pelajaran.
“Sebagai mahasiswi saya sangat pentingkan rangkaian Internet kerana pengalaman sebagai pelajar di rumah, ia sangat penting untuk keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah terutama di kawasan Sungai Rambai.
Farzana merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan juga lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, universiti sama.
Bagaimanapun, nasib kurang baik dihadapi seorang lagi calon muda mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Kesidang, Leong Hui Ying yang berusia 29 tahun apabila menjadi mangsa video tular sehingga didakwa tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan.
Menerusi satu rakaman pendek, calon BN berusia 29 tahun itu menjelaskan apa yang berlaku berdasarkan rakaman temu bualnya yang memaparkan beliau ‘terpinga-pinga’ dan tidak dapat menjawab soalan ketika ditemu bual oleh wartawan.
Wakil daripada parti MCA itu berkata, beliau boleh berbahasa Melayu, namun ketika kejadian terdapat sedikit masalah sehingga perkara berkenaan timbul.
Justeru, beliau meminta agar masyarakat di Kesidang, terutama pengundi tidak salah faham mengenainya dan terus memberi sokongan kepadanya.
“Jadi saya berharap, masyarakat di Kesidang, terutama pengundi tidak salah faham mengenainya dan berikan sokongan kepada saya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial calon daripada itu yang tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan, berdasarkan video yang berdurasi 58 saat tersebut, Leong ditanyakan beberapa soalan dalam bahasa Melayu oleh pengamal media namun tidak dapat dijawab.
Ketiga-tiga calon muda ini kali pertama bertanding atas tiket parti masing-masing, namun adakah mereka mampu mengatasi lawan calon lain yang lebih berpengalaman pada PRN Melaka kali ini.
Dengan tamatnya proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di 28 kerusi DUN di negeri ini yang berlangsung dalam suasana norma baharu, maka tempoh berkempen sudah bermula sehingga 11.59 malam, 19 Nov ini.
Tidak seperti hari penamaan calon sebelumnya, tiada suasana seperti karnival kerana perarakan dan perhimpunan ramai tidak dibenarkan di bawah SOP yang dikeluarkan SPR.
BN, PN dan PH masing-masing mempertaruhkan 28 calon, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22) pada PRN ini.
Selain itu, dua fakta menarik yang dapat dilihat pada pilihan raya ini ialah buat kali kedua satu pilihan raya negeri diadakan di Semenanjung secara bersendirian tanpa bersekali dengan pilihan raya umum selepas suatu Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kelantan telah diadakan pada 11 Mac 1978.
PRN ini juga menyaksikan PAS bertanding menggunakan logo gabungan PN selepas buat kali pertama menggunakan panji-panji BN pada 1974.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/11/calon-muda-prn-mampukah-mereka-menang.html