Caj 5g Dnb Lebih Murah
Oleh Rohaniza Idris
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi perkhidmatan 5G kepada syarikat telekomunikasi, jauh lebih rendah berbanding perkhidmatan 4G, ketika ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata harga itu adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap gigabit (GB) 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi dengan kadar antara 45 sen hingga 55 sen bagi setiap GB.
"Oleh itu, saya percaya syarikat telekomunikasi akan menyambut baik penetapan harga ini apabila ia dimaklumkan kepada mereka kelak," katanya menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (PH-Sibuti) meminta Menteri Kewangan menyatakan dakwaan bahawa syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan DNB untuk menggunakan 5G kerana harga yang ditawarkan oleh DNB terlalu tinggi.
Zafrul berkata, pelaksanaan 5G dapat dilakukan dengan cekap, lancar dan membawa manfaat kepada semua pihak berkepentingan.
"Ini kerana 5G adalah pemboleh daya untuk menambah baik kesejahteraan rakyat dan mempertingkatkan daya saing negara.
"Pada masa yang sama, ia juga akan menggalakkan pelaburan berasaskan teknologi dari dalam dan luar negara ke negara ini," katanya.
Mengulas lanjut, katanya pandemik COVID-19 menunjukkan kepada semua pihak betapa perlunya akses yang adil dan saksama kepada rangkaian berkelajuan tinggi, terutamanya di kawasan perkampungan dan pedalaman negara.
Ini termasuk, katanya, liputan luas mampu milik bagi rakyat dari setiap lapisan masyarakat, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.
"Sebagai contoh, saya percaya apa yang dilalui oleh pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin pada Jun 2020 masih segar di ingatan ahli Yang Berhormat.
"Ternyata apa yang perlu ditekankan adalah berkaitan masalah capaian Internet serta kemudahan asas lain khususnya di kawasan pedalaman," katanya.
Selain itu, beliau berkata, negara ini masih jauh ketinggalan kerana belum melancarkan rangkaian 5G sendiri.
"Negara jiran seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, dan Filipina sudah melancarkan rangkaian 5G mereka seawal 2019.
"Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), yang diterbitkan pada Disember 2019, menekankan betapa perlunya ketersediaan untuk melancarkan 5G melalui perancangan spektrum yang sesuai; serta memastikan asas pembangunan 5G tersedia seawal mungkin supaya Malaysia dapat memanfaatkan kemajuan teknologi dan faedah ekonomi yang bakal diperoleh daripada 5G.
Katanya, daripada menganugerahkan jalur spektrum 5G kepada pemegang lesen individu, Laporan Akhir SKMM menyokong pemberian jalur lebar itu kepada konsortium tunggal yang dibentuk dalam kalangan pemegang lesen.
"Namun, disebabkan perbezaan kepentingan dalam kalangan operator rangkaian mudah-alih, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan.
"Memandangkan pentingnya kesalinghubungan dan ekonomi digital buat negara, kerajaan mengambil tindakan tegas pada Februari lalu dengan mengumumkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, atau MyDIGITAL," katanya.
Satu tindakan utama, katanya, di bawah MyDIGITAL adalah penubuhan sebuah syarikat tujuan khas atau SPV, yang dinamakan DNB untuk melaksanakan 5G dengan lebih pantas dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia, berasaskan model pemulihan kos.
"Buat masa ini, harga yang akan dikenakan kepada syarikat telekomunikasi oleh DNB masih diperhalusi dan sedang menunggu kelulusan daripada SKMM.
"SKMM, sebagai pengawal selia, akan memastikan harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos, dan bukan untuk menjana keuntungan," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/caj-5g-dnb-lebih-murah.html