Buku Sekolah Yang Muatkan Dosa Perasuah Di Antah Berantah
Satu hal yang patut dilakukan dalam tahun 2018 di sebuah negara antah berantah ialah membaiki dan menambah sukatan mata pelajaran sejarahnya. Ketika itu silibus mata pelajaran sejarah sepatutnya boleh memuatkan episod dan detik paling historis negara tersebut, iaitu bagaimana wang negara antah telah ditipu berantah berbilion ringgit. Bagaimana generasi seterusnya terpaksa menanggung hutang dan bunga secara bodoh oleh perbuatan khianat yang tidak bertanggungjawab orang tertentu.
Kemudian, ketika era pentadbiran seterusnya pula, buku sejarah juga dengan cepat harus menambah bahagian bila mana pembuat khianat itu dijatuhkan hukuman penjara dan denda (yang belum berbayar). Harus diperihalkan bagaimana ada kelengahan semacam bersengaja.
Akan tetapi mujur Ketua Hakim dan panel hakim lain dengan kuat hati dan azam melakukan perkara yang betul.
Mestilah juga diterangkan bagaimana hukuman penjara ini sudah melalui proses perundangan antah berantah yang tidak boleh diperkotak-katikkan. Bahawa keluhuran undang-undang dicapai. Betapa setelah meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, didapati rungutan perayu iaitu penjenayah rasuah dan penyeleweng harta dan wang negara sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.
Mestilah diterangkan dalam sukatan mata pelajaran sejarah itu ayat padu panel hakim: “Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.” Ayat itu diterang hitamkan untuk perhatian pembaca.
Setelah itu wajar pula diperikan bagaimana pembuat khianat ini gagal membalikkan hukuman bersalah itu meski mencuba. Bahawa dia masih bersalah, dan tetap bersalah. Meskipun kelak hukumannya boleh dikurangkan, tetapi ia tidak memadam langsung khianat yang pernah ia lakukan di antah berantah ini.
Dalam buku sejarah negara tersebut sepatutnya ada episod-episod penuh emosi ini. Guru mesti mengajarkannya kepada murid-murid. Pelajar mesti boleh mengingat, menghayati, menghafal nama-nama pelaku khianat tersebut. Mereka, juga mesti diberitahu berkenaan wira-wira nusa yang melakukan pengorbanan. Tanpa rasa gerun dan takut mendedahkan kesalahan jenayah ini.
Soalan peperiksaan dan ujian hendaklah bertanyakan soalan mengenai kejadian malang musibat ini. Setiap esei atau karangan yang menyelitkan peribahasa ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’ mestilah diberi markah tambahan paling kurang dua. Mesti ada minggu di sekolah, untuk mengingati peristiwa yang merupakan malapetaka besar negara. Tema minggu edukasi itu boleh saja ‘Tiada Keampunan Buatmu Perasuah’.
Kalau negara antah berantah pernah ditimpa bala perang dan keganasan komunis, insiden ini sama besar dan petakanya. Ini bala kewangan dan keganasan perasuah dan penagih sakau.
Di sekolah menengah dan pengajian tinggi, insiden ini mesti diajar dengan lebih mendalam. Harus ada bahagian bagaimana pembanteras rasuah dari agensi pencegahan rasuah dengan penuh berani memperjudikan hidup, keluarga, maruah diri untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Sejarah lisan mereka yang bertanggungjawab membawa penjahat ini ke muka pengadilan mesti sudah direkodkan.
Latihan Ilmiah, tesis sarjana dan disertasi doktorat yang mengkaji serta merungkaikan pelbagai persoalan dari insiden negara antah berantah ini hendaklah digalakkan. Terdapat geran-geran penyelidikan untuk para ahli akademik khusus untuk profesor (tulen) melakukan penyelidikan menyiasat bagaimana negara itu boleh menghindari dan mengelakkan kecurian besar yang sama berlaku lagi. Syarahan-syarahan akademik yang mewacanakan kebabian rasuah mesti disemarakkan.
Sebuah novel sejarah mengenai kecelakaan besar ini harus dikraf dan ditempa daripada seniman besar. Ini, agar mata pelajaran bahasa dan sastera ikut menyelitkan kejahanaman ini. Justeru, mereka yang malas menghafal fakta akan dapat membaca naratif yang sama dan memahami bagaimana nasib negara mereka itu dirogol dan diperkosai dengan ganas sekali oleh tukang sakau. Perlu ada peperiksaan kesusasteraan dari novel itu yang soalannya bertanyakan begini:
‘Nyatakan bagaimana protagonis Saiful dalam novel Rasuah Bersampul Kuning berjaya akhirnya menewaskan penjahat rasuah? (25 markah)’
Mungkin boleh ada soalan ujian berbunyi begini:
‘Datuk Seri Jadong, antagonis dalam novel Rasuah Bersampul Kuning mendakwa pengubahan wang haram dan pecah amanah yang dilakukannya itu berlaku kerana kelemahan sistem dan dia telah tertipu. Padahal perkara ini tidak benar sama sekali. Bincangkan. (25 markah)’
Sejarah sebuah negara sepertinya di antah berantah ini haruslah cepat dan gesit merakamkan perjalanan negara yang bergerak pantas kilat itu. Dalam perjalanan negara yang melesat laju itu akan ada turun naik dan kegentaran yang macam-macam. Sejarah negara antah berantah itu akan menjadi tarikan, yang mana akan ada siri Netflix meriwayatkan kejadian ini.
Para murid yang belajar sejarah juga mesti diajarkan sakau-sakau lainnya juga. Bagaimana negara dirugikan dengan teruk ekoran tiadanya akauntabiliti. Kepimpinan negara antah berantah ini pula tidak harus gerun melakukan ini. Apatah lagi kerana ada titah berbunyi;
“Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni dan integriti perlulah diterapkan sejak kecil lagi terutamanya di sekolah agar suatu hari nanti negara kita dapat mencapai generasi yang bebas rasuah.”
Hanya dengan penerapan dan pendidikan cita sempurna untuk mengelakkan cita bencana ini sahaja generasi mendatang akan belajar dan mengingat. Subjek agama pula mestilah ikut selari dan sesuai. Haram makannya babi mesti diselaraskan dengan haram makannya korupsi. Murid antah berantah akan kenal dan faham bahawa jenayah rasuah bukan dosa peribadi. Bukan macam jenayah bunuh yang dalam Islam, keluarga mangsa boleh menampakkan belah ihsan memaafi. Jenayah rasuah adalah dosa masyarakat yang mana bila ia dilakukan mengakibatkan kejahatan tular menular menjadi wabak ibarat barah yang bedebah. Kemudian, generasi ini akan menginsafi bahawa apa yang berlaku boleh dielakkan. Tumbuh dari generasi ini kelak pemimpin masa hadapan di antah berantah yang bakal membetulkan dan mengkoreksi kecelakaan sang bangsat yang berlaku di pertengahan jalan itu.
Negara antah berantah makanya bernasib baik akan berkembang menjadi kuat dan bersih. Masing-masing akan mengenali rupa mana tikus yang menggerigit khazanah negara dan cepat membanteraskannya. Generasi muda antah berantah akan maju dari segi tindakan dan fikiran. Kantung kekayaan negara akan kembali penuh. Kemakmuran dan kesentosaan akan dirasai dan dikecapi bersama secara setara.
Mereka generasi muda akan membuka kedua belah mata.
Maka demikianlah sesebuah negara mempusakai atau mewariskan masa kini untuk mereka yang masa mendatang. Ini kerana negara hari ini bertanggungjawab dengan negara masa depan. Tindak tanduk hari ini akan memberi kesan besar kepada anak cucu, dan keturunan. Jika cucu cicit antah berantah jatuh miskin kelak, mereka mesti tahu dari buku sejarah, dan dari guru-cikgu bahawa apa yang terjadi masa kini, merupakan satu kejahatan yang tidak boleh diampunkan sama sekali. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/02/buku-sekolah-yang-muatkan-dosa-perasuah.html