Bukan Tentang Politik Memahami Fokus Dan Tujuan Sebenar
Ini bukan pos politik.
Ini adalah seruan untuk kita lebih berhati-hati dan berempati ketika membicarakan isu kesihatan mental dan bnh diri.
Kami menghargai inisiatif mana-mana pihak yang membincangkan isu ini di ruang rasmi. Kesihatan mental memang perlu diberi perhatian dan diangkat sebagai isu nasional.
Namun, baru-baru ini, satu kenyataan yang dianggap ringan telah menjadi tular:
“Saya nak tergelak juga… 2–3 hari lepas berlaku di kawasan saya. Menikah hari Jumaat, kenduri Sabtu, Ahad gantung diri. Sebabnya kemurungan lah…”
diakhiri dengan ketawa kecil selepas menyebut tragedi itu.
Mungkin niatnya tidak jahat.
Mungkin hanya sekadar menggambarkan situasi. Tetapi kita harus sedar, bnh diri bukan sesuatu yang lucu. Ia bukan bahan ketawa atau punchline.
Di seluruh dunia, lebih kurang 727,000 orang meninggal akibat bnh setiap tahun. Ini bermakna setiap 40 saat, ada satu nyawa yang pergi kerana beban hidup yang terlalu berat.
Setiap kematian dianggarkan mewakili lebih daripada dua puluh cubaan lain. Di sebalik setiap angka, terdapat keluarga yang hancur, pasangan yang menyesal, adik-beradik yang menyalahkan diri, rakan-rakan yang menderita kesedihan, dan anak-anak yang membesar tanpa memahami apa yang berlaku.
Bnh diri bukan sekadar tindakan spontan. Ia adalah perbuatan yang kompleks. Ada yang bergelut dengan kemurungan yang tidak pernah mereka ungkapkan.
Ada yang dihimpit oleh hutang, tekanan kerja, masalah rumahtangga, trauma lama, dan kesunyian, serta stigma yang membuat mereka takut untuk meminta bantuan.
Percayalah, mangsa tidak mahu mati; mereka hanya tewas dengan penyakit yang berpanjangan, sama seperti penyakit lain seperti kanser.
Oleh itu, nada kita penting. Cara kita berbicara mengenai tragedi ini juga amat penting. Ketawa, walau sedikit, dapat menafikan kesakitan yang dialami oleh mangsa.
Kesihatan mental bukan isu kecil.
Ia adalah isu kemanusiaan. Manusia layak untuk dihormati walaupun dalam cerita yang paling tragis. Untuk mengurangkan angka statistik, langkah pertama ialah memastikan bahasa kita tidak membunuh lebih banyak hati yang berjuang secara senyap.
Marilah kita bercakap dengan lebih lembut, berhati-hati, dan memahami. Kita tidak tahu siapa di sekeliling kita yang sedang bertahan. Kita tidak tahu siapa yang hampir menyerah. Dan kita tidak tahu siapa yang mungkin terselamat kerana ada seseorang yang memilih untuk bercakap dengan belas kasihan.
Semoga kita menjadi masyarakat yang lebih peka.
Lebih berperikemanusiaan.
Lebih berhati.
Untuk mereka yang masih hidup.
Untuk mereka yang telah pergi.
Dan untuk sesiapa yang sedang berjuang sendirian, walaupun kita tidak nampak.
Source
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://edisiviral.com/bukan-tentang-politik-memahami-fokus-dan-tujuan-sebenar/