Bukan Mudah Tukar Jurulatih Beri Lagi Dollah Salleh Masa Untuk Bimbing Skuad Tok Gajah
KUALA LUMPUR - Legenda bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan ini bukan masanya untuk membincangkan mengenai masa depan pengendali Sri Pahang FC (SPFC), Dollah Salleh sekalipun pasukan bergelut dengan masalah prestasi.
Kata bekas pemain bola sepak kebangsaan itu, Dollah seharusnya perlu terus diberi ruang untuk 'menyudahkan' kerjanya pada musim ini kerana membawa masuk jurulatih baharu bukan jaminan pasukan itu mampu bertukar sekelip mata.
Malah, bekas pengurus Pahang pada 1992 itu juga melihat skuad Tok Gajah masih lagi boleh 'diselamatkan' walaupun tumbang dalam dua aksi pertama saingan Piala Malaysia musim ini.
"Biarkan Dollah buat kerjanya sehingga hujung musim ini dan selepas itu kalau persembahan tak bagus, terpulanglah pada pengurusan untuk kekalkan atau gantikan. Lagipun, ketika ini Piala Malaysia sedang berjalan.
"Kalau gantikan (Dollah), adakah nanti (pasukan) akan menjadi bertambah baik ataupun bertambah buruk? Ada jurulatih yang mahu ambil pasukan ketika ini ? Jadi kekalkan apa yang ada buat masa ini.
"Ada rehat kira kira sebulan jadi Dollah perlu memanfaatkan sebaiknya untuk memperbaiki apa jua kelemahan. Masih ada 12 mata untuk dikejar dan pemain perlu memberikan komitmen jika mahu layak ke pusingan seterusnya.
"Saya tetap percaya yang Sri Pahang masih boleh bangkit. Bola itu bulat dan Sri Pahang pun berlawan dengan 11 pemain lawan. Tiada yang mustahil dalam bola sepak," katanya.
Juara empat kali Piala Malaysia itu dilihat berada dalam situasi 'bencana' apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir yang diharungi pasukan itu di kancah Liga Super dan Piala Malaysia.
Dalam enam perlawanan terakhir Liga Super, mereka tewas lima daripadanya dan hanya seri sekali. Kemenangan terakhir mereka adalah pada 1 Ogos ketika menewaskan PJ City FC 1-0.
Malah, mereka turut membuka kempen Piala Malaysia musim ini dengan rentak sumbang apabila tewas dua aksi berturut-turut dengan yang terbaharu, diaibkan 1-0 oleh naib juara Liga Perdana, Sarawak United.
Jadi rekod kurang memberangsangkan ini menimbulkan persoalan kepada nasib Dollah. Namun dia dilihat masih mendapat kepercayaan tinggi daripada pengurusan, tidak seperti Thomas Dooley yang terus 'direhatkan' selepas tewas dua aksi pertama di Liga Super. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/10/bukan-masa-tukar-jurulatih-beri-lagi.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)