Budi 95 Lesen Sg Subsidi Ron95 Untuk Pemegang Lesen Singapura
Mulai 16 Oktober 2025, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka permohonan rasmi bagi program BUDI 95 Lesen SG, iaitu subsidi petrol RON95 khusus untuk warganegara Malaysia yang memegang Lesen Memandu Singapura (LMS). Permohonan boleh dibuat melalui laman rasmi https://budi95lesensg.jpj.gov.my
Apa itu BUDI 95 Lesen SG
BUDI 95 Lesen SG merupakan kemudahan subsidi petrol RON95 untuk rakyat Malaysia yang terpaksa menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) kerana bekerja atau tinggal di negara tersebut.
Menurut JPJ, peraturan pelesenan antara Malaysia dan Singapura tidak membenarkan seseorang individu memiliki dua lesen serentak.
Oleh itu, ramai warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura terutamanya dalam sektor pemanduan terpaksa menyerahkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) mereka bagi mendapatkan LMS.
Namun, walaupun mereka berstatus warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia, mereka masih layak menerima manfaat subsidi petrol RON95 melalui program BUDI 95 Lesen SG.
Tujuan dan Manfaat Program
Pelaksanaan BUDI 95 Lesen SG menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, khususnya di Singapura. Ia memastikan mereka tidak terpinggir daripada bantuan subsidi bahan api RON95 meskipun terikat dengan peraturan pelesenan asing.
Program ini juga membantu meringankan beban kos sara hidup bagi warganegara Malaysia yang masih menetap di Johor atau kawasan bersempadan tetapi berulang-alik ke Singapura setiap hari.
Syarat Kelayakan BUDI 95 Lesen SG
Bagi memastikan permohonan diluluskan, JPJ menetapkan tiga syarat utama bagi pemohon:
Pemohon mestilah warganegara Malaysia;
Mempunyai Lesen Memandu Singapura (LMS) yang masih sah tempoh; dan
Mempunyai permit pekerjaan yang sah di Singapura.
Semua permohonan akan disemak dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk pertimbangan kelayakan selanjutnya.

Cara Memohon BUDI 95 Lesen SG
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian bermula 16 Oktober 2025 melalui pautan rasmi JPJ di: https://budi95lesensg.jpj.gov.my
Selepas menghantar permohonan, pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing selepas 14 hari di laman web rasmi: www.budi95.gov.my

Panduan Untuk Pemegang LMS Yang Tidak Lagi Bekerja di Singapura
Bagi warganegara Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura, mereka dikehendaki:
Membatalkan Lesen Memandu Singapura (LMS) di pihak berkuasa Singapura; dan
Memohon semula Lesen Memandu Malaysia (LMM) di mana-mana Pejabat JPJ berhampiran.
Permohonan LMM hanya boleh dibuat selepas disahkan tiada sekatan, penggantungan atau sabitan terhadap LMS oleh pihak berkuasa Singapura.
Maklumat Lanjut
Sekiranya anda memerlukan maklumat atau bantuan berkenaan program BUDI95, sila hubungi talian khidmat pelanggan BUDI MADANI di 1300-88-9595.
Anda juga boleh menggunakan bot sembang (chatbot) dengan menghubungi +603-2631 4595 melalui aplikasi Whatsapp.
Anda juga boleh melayari laman web BUDI MADANI RON95 di www.budimadani.gov.my
Soalan Lazim BUDI95
1. Siapakah individu yang layak untuk menerima BUDI95? Semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif layak, iaitu:
a. mempunyai lesen memandu aktif bagi jenis lesen seperti berikut:
Lesen Memandu Kompeten (CDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA); atau
Lesen Memandu Percubaan (PDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA); atau
Lesen Belajar Memandu (LDL) (Kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C);
DAN
b. pemegang Kad Pengenalan warganegara Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai jenis lesen memandu dan kelas kenderaan, sila layari portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di https://www.jpj.gov.my/pusat-media-3/informasi-perkhidmatan-jpj/
2. Bagaimanakah cara untuk menyemak kelayakan BUDI95? Anda boleh melayari laman portal rasmi www.budimadani.gov.my atau hubungi talian pusat khidmat BUDI MADANI melalui e-mel
[email protected] atau nombor telefon 1300-88-9595 bagi semakan kelayakan.
Anda juga boleh menghubungi talian WhatsApp +603-2631 4595 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Selain itu, anda boleh menggunakan aplikasi TNG e-Wallet ataupun aplikasi syarikat minyak dan lakukan proses e-KYC dalam aplikasi berkenaan untuk semakan BUDI95.
3. Apakah rasional di sebalik penetapan kelayakan bulanan sebanyak 300 liter dan bagaimana ianya ditentukan? Penerima BUDI95 akan menerima kelayakan sebanyak 300 liter RON95 sebulan pada harga bersubsidi. Jumlah ini ditetapkan berdasarkan data Kerajaan yang menunjukkan ia mencukupi bagi lebih 99% pengguna kenderaan persendirian.
Data Kerajaan turut menunjukkan bahawa purata penggunaan petrol oleh pemandu kenderaan persendirian adalah hanya sekitar 80 liter sebulan. Namun, Kerajaan menetapkan siling kelayakan yang lebih tinggi bagi mengambil kira julat dan taburan penggunaan mengikut individu.
Penetapan kelayakan ini juga penting untuk mengelakkan subsidi disalahguna oleh pihak yang tidak sepatutnya. Selama puluhan tahun, subsidi tanpa had telah menjadi sasaran penyeludupan ke negara jiran di mana harga minyak jauh lebih mahal.
Begitu juga penggunaan berskala besar oleh syarikat komersial yang menikmati subsidi murah untuk keuntungan perniagaan. Dengan mekanisme baharu, subsidi akan benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia, dan tidak lagi bocor keluar dari sistem.
Sekiranya diperlukan, penyesuaian akan dibuat termasuk pertimbangan menambah kelayakan untuk kumpulan tertentu.
4. Bolehkah saya membeli BUDI95 untuk kegunaan selain kenderaan (contoh: genset, bot memancing)? Pada masa ini, pengguna dibenarkan membeli sehingga 20 liter petrol tanpa perlu membawa kenderaan. Kumpulan yang telah memohon Permit Khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula boleh membeli lebih banyak bagi tujuan bukan kenderaan, seperti kegunaan pertanian.
Sehubungan itu, proses ini kekal sama di mana mereka yang layak menggunakan MyKad boleh mendapatkan harga bersubsidi dan seterusnya membeli sama ada sehingga 20 liter sehari atau, dengan Permit Khas, mengikut keperluan masing-masing.
Jumlah 300 liter yang diperuntukkan oleh Kerajaan juga telah mengambil kira kegunaan bukan kenderaan bagi kumpulan seperti petani, peladang dan perniagaan kecil lain.
5. Bolehkah saya membeli petrol BUDI95 jika saya memandu kenderaan bernombor pendaftaran luar negara? Tidak. BUDI95 hanya dibenarkan untuk kegunaan warganegara Malaysia yang memandu kenderaan berpendaftaran Malaysia. Kenderaan yang tidak berpendaftaran Malaysia tidak dibenarkan mengisi minyak RON95 sama ada pemandunya rakyat Malaysia atau tidak.
6. Bolehkah saya membeli kuantiti minyak lebih daripada baki BUDI95 saya? Ya. Anda boleh membeli kuantiti melebihi baki anda. Sekiranya baki anda telah habis digunakan, baki jumlah pembelian akan ditetapkan pada harga pam (iaitu harga minyak tanpa subsidi kerajaan).
7. Adakah semua jenis kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara boleh digunakan untuk BUDI95? Perlukah saya menggantikan kad pengenalan saya kepada versi yang terkini? Warganegara Malaysia pemegang Kad Pengenalan dengan lesen memandu (kelas dan jenis yang dibenarkan) aktif adalah layak untuk BUDI95.
Data lesen memandu akan disemak silang dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jika Kad Pengenalan anda berjaya digunakan untuk perbelanjaan SARA, ianya tidak perlu diganti dan dapat digunakan untuk BUDI95.
Anda tidak perlu membuat penggantian Kad Pengenalan selagi anda memiliki Kad Pengenalan dengan cip yang telah diperkenalkan sejak tahun 2001. Bagi mereka yang belum mempunyai Kad Pengenalan bercip, sila hadir ke cawangan JPN terdekat untuk mendapatkan Kad Pengenalan dengan cip tersebut.
Sekiranya terdapat perubahan pada rupa paras berbanding MyKad yang dipegang, anda turut disaran membuat gantian MyKad bagi memastikan maklumat pengenalan diri sentiasa tepat dan terkini.
8. Apakah keadaan atau situasi yang memerlukan saya membuat pertukaran
MyKad? – kad gagal dibaca di mesin atau kios perkhidmatan layan diri
– bank / agensi Kerajaan menolak urusan menggunakan kad anda kerana
– sistem tidak dapat mengesan data kad tersebut
– kad perlu diimbas berkali-kali kerana masalah cip
– kerosakan fizikal pada kad
– kad terlalu lama (dikeluarkan sebelum tahun 2001)
Gantikan MyKad anda di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk UTC, serta perkhidmatan bergerak oleh JPN seperti Bas MEKAR dan Van MEKAR.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.jpn.gov.my/
9. Jika saya mempunyai lebih daripada satu kenderaan, adakah kelayakan
BUDI95 saya akan digandakan? Secara amnya kelayakan yang sama diberikan kepada setiap individu. Kelayakan tidak diambil kira berdasarkan jumlah kenderaan yang dimiliki oleh setiap individu.
Memiliki lebih dari satu kenderaan tidak akan menambah kelayakan BUDI95 anda.
10. Bolehkah jumlah BUDI95 ahli keluarga saya (contoh: anak) dipindahkan
kepada saya jika perlu? Jumlah BUDI95 yang diberikan adalah khusus untuk penggunaan individu yang layak dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain bagi mengelakkan ketirisan.
11. Bolehkah saya dan isteri menggunakan MyKad masing-masing untuk
mengisi kenderaan yang sama? Ya, anda dan isteri anda (serta mana-mana individu lain) boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk mengisi kenderaan yang sama, sekiranya pemilik MyKad hadir dan melakukan pembelian tersebut.
Anda tidak dibenarkan menggunakan MyKad orang lain ataupun meminjamkan MyKad anda untuk
tujuan pembelian BUDI95.
Memegang dan menggunakan MyKad orang lain juga merupakan kesalahan menurut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Peraturan 25)
12. Bolehkah saya membeli BUDI95 untuk kegunaan kereta orang lain? Ya, anda boleh membeli BUDI95 untuk kegunaan mana-mana kereta berpendaftaran tempatan sekiranya anda layak dan mempunyai baki yang mencukupi.
Baca juga:
Kuota BUDI95 – 300L RON95 Berapa KM, Tarikh Renew Setiap Bulan
BUDI95 – Cara Isi Petrol RON95 Guna Apps CaltexGo
TNG eWallet BUDI95 – Semakan Status & Kuota RON95
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/budi-95-lesen-sg/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=budi-95-lesen-sg