Bolehkah Membatalkan Puasa Sunat Secara Sengaja
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Rata-rata dari kita hari ini gemar berpuasa dengan niat untuk menahan nafsu makan agar dapat mencapai bentuk badan yang ideal.
Ia adalah tidak salah kerana matlamat itu yang akan menjadikan kita lebih bermotivasi untuk melakukannya. Namun, perlu diingat bahawa, sebagai seorang muslim, niat utama beribadah mestilah dilakukan kerana Allah SWT.
Bagaimanapun, puasa sunat ini dilakukan pada bulan yang biasa, di mana auranya sedikit berbeza. Tatkala orang lain sedang menikmati juadah makanan, kita pula berlapar dan menahan dahaga. Jadi, mungkin sesekali wujud niat untuk berbuka puasa terutamanya ketika mendapat undangan makan-makan bersama rakan sekerja dan sebagainya.
Jadi, wujud persoalan di sini, iaitu adakah dibolehkan untuk individu tersebut berbuka puasa tanpa alasan yang kukuh?
Dalam perkara ini, pertama sekali kita perlu melihat bahawa hukum melakukan puasa sunat Isnin dan Khamis adalah sunat.
Sebagaimana dalam sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, Rasulullah SAW bersabda;
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksud: “Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu maka dia boleh meneruskan berpuasa dan jika dia mahu, dia juga boleh berbuka.” (HR Imam Tirmizi, no. 32)
Menerusi dalil di atas, ulama berpendapat bahawa jika seseorang itu membatalkan puasa sunat secara sengaja, hukumnya adalah makruh.
Hal ini kerana, ulama menerangkan bahawa seseorang itu telah berniat untuk melakukan ketaatan dan sudah hampir sampai kepadanya, namun jika dia memilih untuk membatalkannya, ia adalah tidak elok.
Mereka berpegang kepada dalil daripada kalam Allah yang bermaksud:
Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul Allah. Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.” (Surah Muhammad, 47:33)
Ia dikecualikan jika berlaku kekangan lain seperti sakit atau uzur.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, hukum membatalkan puasa sunat secara sengaja adalah makruh. Bagaimanapun, tidak perlu mengqada (mengganti) puasa tersebut kerana ia adalah sunat.
Maksud: “Sesungguhnya mengqada yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqada yang wajib itu hukumnya wajib.” (Ithaf Zawi al-Basa’ir bi Syarh Raudhah al-Nazir, 2/264)
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan via tzkrh.com
The post Bolehkah Membatalkan Puasa Sunat Secara Sengaja appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamituindah.my/bolehkah-membatalkan-puasa-sunat-secara-sengaja/