Binik Pentingkan Diri Sendiri Suami Tembak Isteri Sampai Mati Sumbat Mayatnya Dalam Tong Air Tanam Di Ladang Serai
'Binik pentingkan diri sendiri' - Suami tembak isteri sampai mati, sumbat mayatnya dalam tong air & tanam di ladang serai
Mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah tong air yang ditanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar, Johor, sekali gus merungkai misteri kehilangannya yang sebelum ini didakwa melarikan diri dari rumah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya percaya suaminya yang berusia 43 tahun terbabit dalam kes pembunuhan wanita berusia 38 tahun itu.
Mangsa dipercayai dibunuh ketika sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, yang bermotifkan cemburu. Turut ditemui di rumah pasangan itu, surat tuntutan fasakh.
Difahamkan, pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga sejak lapan tahun lalu dan dikurniakan dua anak lelaki berusia tiga dan empat tahun. Mereka selalu memuat naik aktiviti keluarga termasuk majlis hari jadi anak bersama suspek.
Terdahulu, jiran mangsa terdahulu membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa pada Isnin lalu. Bertindak di atas laporan itu, polis menahan suspek dan rakannya, seorang lagi lelaki yang berusia 32 tahun, untuk membantu siasatan.
Suspek dalam keterangan awalnya memberitahu, isterinya keluar dari rumah pada jam 2 pagi Isnin lalu dan tidak pulang ke rumah sejak dari hari itu. Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham di antara mereka sebelum isterinya keluar dari rumah.
Bagaimanapun, pemandu jengkaut itu akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika mangsa sedang tidur, menggunakan senapang angin sebelum dimasukkan ke dalam tong air lalu dibawa ke ladang serai, iaitu jaraknya lebih dari 30 kilometer dari rumah untuk ditanam.
Polis kemudian pergi ke lokasi mangsa ditanam pada jam 10.30 pagi dan menemui tong air berisi mayat mangsa yang ditanam sedalam dua meter di ladang tersebut.
Polis percaya, suspek membawa tong air itu menggunakan kereta pacuan empat roda miliknya ke ladang tersebut sebelum menggunakan jengkaut untuk menggali lubang dan menanam tong berisi mayat isterinya.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai hilang pertimbangan sehingga menembak bahagian dada isterinya pada jarak dekat ketika mangsa sedang tidur.
"Kita masih siasat motif sebenar. Cuma cemburu ini ada macam-macam. Suami isteri, mungkin ada (cemburu) yang kita tak tahu.
"Siasatan akan dibuat dari semua sudut. Mungkin suspek ada hubungan lain. Ini berikutan penemuan surat faskh di rumah mereka," katanya.
Siasatan di rumah pasangan itu, polis menemui selaras senapang angin, selaras senapang patah, 54 butir peluru penabur 12 bore, sebuah kereta Mitsubishi Pajero dan jengkaut.
Semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau yang membabitkan mendatangkan kecederaan dan pemilikan senjata api.
Laporan awal bedah siasat mendedahkan, terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan mangsa. Turut dikesan beberapa butir logam timah dipercayai peluru senapang angin di dada dan perut mangsa.
Pada 11 Februari lalu, suspek pernah memuat naik status mengenai pernikahan online yang memberi gambaran rumah tangga mereka sedang bergolak.
"PKP nak nikah senang online, tetapi hendak cari calon isteri susah, semua pakai pelitup muka, tak nampak muka.
"Isteri pentingkan diri sendiri, suami kebulur nasi pun tak masak. Sabarlah insha-Allah nanti Allah gantikan isteri dengan yang lebih baik," tulisnya.
Sementara itu, salah seorang jiran tampil memberitahu yang mereka terdengar suspek dan mangsa bertengkar pada malam Ahad lalu. Sehari sebelum pertengkaran itu, dia ternampak mangsa keluar bekerja separuh hari dan pada malam harinya, mereka bergaduh.
"Esok pagi (Ahad), saya mendapat tahu dia hilang tidak balik ke rumah. Ada jiran yang membuat laporan polis kerana curiga dengan tindakan suaminya," katanya.
Selain itu juga, ada jiran yang ternampak suspek membawa keluar tong air berwarna biru pada jam 4.30 pagi pada hari mangsa dilaporkan hilang.
Dua suspek terbabit direman selama enam hari bermula 5 Mac dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian, Oh! Bulan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ceberita.blogspot.com/2021/03/binik-pentingkan-diri-sendiri-suami.html