Bila Sprm Nak Siasat Isu Surat Sokongan Ikmal Hisham
Hairan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak melakukan sebarang siasatan ke atas Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz berhubung kontroversi surat sokongan supaya anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata tindakan Ikmal itu jelas menyalahguna kuasanya dan mengamalkan gejala nepotisme, bertentangan dengan prinsip SPRM.
"SPRM mesti menjelaskan mengapa tiada tindakan dikenakan kepada Ikmal yang menulis surat sokongan untuk melantik anaknya sendiri sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.
"Ini adalah satu gejala salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, walaupun Ikmal memohon maaf, beliau jelas mengaku bahawa perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang.
"Dalam surat sokongan Menteri Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob sendiri menyatakan persetujuan untuk melantik anak Ikmal. SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana Ikmal akan menguntungkan anaknya sendiri dengan menggunakan kedudukan sebagai timbalan menteri.
"Beliau bukan sahaja mengaku salah, malah mengaku tindakannya itu salah dan menarik balik surat sokongan.
"Ini jelas melanggar salah satu kesalahan dalam SPRM iaitu meminta rasuah atau habuan dan sudah terlambat untuk Ikmal menafikan tanggungjawab beliau yang menyalahgunakan kedudukan.
"Malah tindakan tersebut lengkap apabila Ismail bersetuju melantik anak Ikmal. Ini merupakan kesalahan tiga dalam satu, salah guna kuasa, nepotisme dan rasuah," katanya.
Justeru, Guan Eng menggesa SPRM bertindak segera bagi mengelakkan lebih banyak salah laku dalam kerajaan PN pada masa akan datang.
"Ini satu malapetaka negara, apabila jawatan awam digunakan untuk kepentingan peribadi.
"Setakat ini, tiada berita dari SPRM akan ambil tindakan. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang tidak kira kalau seseorang itu adalah orang kenamaan atau rakyat biasa.
"SPRM harus mengambil tindakan segera untuk menunjukkan mereka tidak mengamalkan double standard atau pilih kasih," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/09/bila-sprm-nak-siasat-isu-surat-sokongan.html