Bila Pm Tak Puas Hati Dengan Sprm
Nampaknya ada rasa tidak puas hati yang ketara dalam diri Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap SPRM berhubung kenyataan Ketua Pesuruhjaya agensi tersebut, Shukri Abdull yang baru semalam mengesahkan tiada kemasukan dana RM90 juta daripada UMNO ke dalam akaun rasmi Pas.
Kata Tun Mahathir, SPRM mungkin belum mendapat maklumat secukupnya berhubung siasatan perkara tersebut, selain memerlukan masa untuk menyiasat kecurian wang oleh Najib Razak yang dikaitkan dengan 1MDB.
"Yang itu SPRM kata. Dia ambil masa. Ini tak bermakna Najib tak curi, cuma tak diselidik.
"Kita tunggu sama ada benar atau tidak," kata beliau ketika ditanya berhubung kenyataan SPRM yang dilihat telah membersihkan nama Pas, meskipun siasatan belum lagi selesai sepenuhnya.
PENGUMUMAN - Untuk memberi lebih kemudahan dan keselesaan pembaca yang sentiasa berkembang, bermula 1 Mac 2019, blog ini akan berpindah sepenuhnya daripada Blogspot kepada WordPress. Ia kemudian boleh dilayari melalui Shahbudindotcom.net. Terima Kasih.
Dalam bab ini, ramai juga yang hairan sebenarnya mengapa Shukri Abdull begitu tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan sebelum ini agensi anti rasuah itu turut mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan juga merangkumi akaun bank beberapa pemimpin Pas.
Sudahkah disiasat juga akaun pemimpin-pemimpin Pas itu?
Jika siasatan belum selesai lagi, untuk apa sebenarnya Shukri Abdull mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan nama Pas seolah-olah telah dibersihkan berkaitan dana RM90 juta itu?
Kenapa tidak ditunggu sehingga siasatan selesai, termasuk dapatan dalam akaun pemimpin-pemimpin tertentu Pas, barulah beliau bercakap mengenainya dengan media?
Bukankah dalam banyak keadaan, kedudukan akaun peribadi dan akaun bank parti ada hubung-kaitnya?
Apa pun, terzahirnya rasa tidak puas hati Tun Mahathir itu menggambarkan seperti ada yang tidak kena dalam SPRM sekarang ini.
SPRM sebenarnya tidak perlu terlalu banyak bercakap dengan media atas sesuatu perkara kerana yang ingin dilihat oleh rakyat berkenaan dengan agensi itu ialah tindakannya dalam menyelesaikan kes-kes rasuah dalam negara ini.
Bercakaplah hanya bila perlu saja atau jika siasatan masih belum selesai, tutuplah mulut terlebih dahulu sehingga kes sudah benar-benar muktamad.
Dalam kes dana RM90 juta ini misalnya, dengan Perdana Menteri sendiri menzahirkan rasa tidak puas hatinya, bukankah ia sesuatu yang memalukan SPRM?
Yang nyata, daripada teguran tidak puas hati ini, Perdana Menteri mahu SPRM terus menjalankan siasatannya, malah dengan lebih teliti, bukan saja berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Pas, tetapi juga siapa pemberi atau perantaranya.
Dapatan SPRM sehingga ini jelas tidak menggembirakan Perdana Menteri. Ini yang SPRM dan Shukri Abdull harus betul-betul faham. (ShahbudinHusin 25/02/2019)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://shahbudindotcom.blogspot.com/2019/02/bila-pm-tak-puas-hati-dengan-sprm.html