Bicara Kes Kasuah Pecah Amanah Zahid Bersambung 15 Jun
KUALA LUMPUR - Selepas ditangguh selama dua bulan, perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan disambung semula 15 Jun ini.
Kali terakhir prosiding perbicaraan kes Presiden UMNO itu adalah pada 6 Mac lepas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah dan sepatutnya bersambung pada 23 Mac lepas.
Bagaimanapun ianya ditangguh berikutan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Hakim Sequerah menetapkan 30 hari bermula 15 hingga 18 Jun; 2, 3, 13, dan 14 Julai; 27 hingga 30 Julai; 10 hingga 14 Ogos; 24 hingga 28 Ogos serta 21 hingga 30 September untuk menyambung perbicaraan semasa pengurusan kes itu hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil lebih 50 saksi pendakwaan termasuk pegawai bank bagi pengesahan cek.
Setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 43 saksi untuk memberi keterangan.
Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memohon kepada mahkamah supaya membenarkan dua pembantunya untuk turut hadir semasa perbicaraan.
Pasukan peguam yang mewakili Zahid termasuk Hisyam adalah tiga orang dan Hisyam memohon tambahan lagi dua untuk hadir pada perbicaraan kes itu.
"Kami akan pastikan jarak antara kami sentiasa terjaga. Kami memerlukan mereka di mahkamah untuk membantu membuat catatan dalam perbicaraan," katanya dan perkara itu turut dipersetujui oleh pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, Hakim Sequerah hanya membenarkan tambahan seorang wakil sahaja daripada kedua-dua pihak.
Difahamkan Prosedur Operasi Standard (SOP) mahkamah sepanjang PKP hanya membenarkan tiga wakil dari setiap pihak untuk berada di dalam mahkamah.
Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2020/05/bicara-kes-kasuah-pecah-amanah-ahmad.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29