Bersatu Sahkan 31 Mp Parti Itu Berkecuali Dari Sokong Ahmad Maslan
gemilangdaily.com
16/09/2021 9:40 AM
Sumber Bersatu sahkan 31 MP parti itu berkecuali dari sokong Ahmad Maslan.Kesemua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengemukakan pendirian berkecuali dalam isu cadangan nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon tunggal kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu.
Perkara itu disahkan oleh beberapa ahli Parlimen parti itu kepada Sinar Premium sewaktu dihubungi petang Rabu.
“Yes (Ya),” kata seorang ahli Parlimen Bersatu yang enggan dinamakan melalui pesanan aplikasi WhatsApp pada Rabu.
Respons ringkas diberikan ahli Parlimen Bersatu yang enggan dinamakan itu juga menjawab dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menuduh ahli-ahli Parlimen Bersatu enggan menyokong pencalonan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker Parlimen baharu bagi pihak kerajaan.
Bahkan, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu turut menganggap pendirian terkini ahli-ahli Parlimen Bersatu itu menyebabkan usul pemilihan Timbalan Speaker Parlimen baharu terpaksa ditangguhkan oleh Speaker Parlimen.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Bersatu berkenaan juga menegaskan hasrat itu adalah selari dengan pendirian parti yang mahukan calon ditampilkan terdiri daripada mereka berintegriti dan bebas sebarang pertuduhan di mahkamah.
Ditanya apakah bentuk solusi dicadangkan ahli-ahli Parlimen Bersatu kepada UMNO bagi menyelesaikan isu pencalonan Ahmad, ahli Parlimen Bersatu berkenaan sebaliknya menyerahkannya kepada pucuk kepimpinan parti itu untuk menentukannya.
“Soal itu, kena tanyalah Setiausaha PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin),” katanya lagi.
Untuk rekod, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengemukakan syarat kerajaan baharu dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menampilkan barisan kepimpinan bersih daripada pendakwaan kes mahkamah bagi menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Mohd Puad menerusi Facebooknya mendakwa pemilihan Timbalan Speaker di Dewan Rakyat pada Selasa terpaksa ditangguhkan selepas kesemua Ahli Parlimen Bersatu dan empat calon bebas menolak pencalonan Ahmad.
Bagaimanapun, Pas menerusi Naib Presidennya, Idris Ahmad beberapa hari lalu menyatakan parti itu menyokong penuh pencalonan Ahmad sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu.
Sementara itu, seorang lagi ahli Parlimen Bersatu yang enggan mendedahkan identiti mengakui Bersatu melalui ahli-ahli Parlimennya sememangnya sudah memuktamadkan pendirian berkecuali terhadap isu pencalonan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Bagaimanapun beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan segera menerusi perbincangan di peringkat majlis kepimpinan tertinggi kerajaan baharu demi mengelakkan perpecahan yang mampu mengancam kestabilan kerajaan itu sendiri.
“Pendirian Bersatu adalah UMNO kena memilih semula seorang calon yang tidak berdepan kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti dengan kami berharap calon itu mestilah tiada masalah berurusan dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu sendiri.
“Perkara ini terpulang kepada UMNO untuk diselesaikan kerana usul pemilihan Timbalan Speaker Parlimen penting untuk dipercepatkan demi kelancaran urusan mesyuarat Parlimen.
“Justeru, saya cadang perkara itu perlu dibincangkan segera di peringkat majlis kepimpinan tertinggi kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Bersatu berkenaan secara peribadi berpandangan parti-parti kerajaan tidak sepatutnya terlalu mempersoalkan pencalonan dikemukakan UMNO itu.
Hal ini kerana beliau berpendapat sekiranya terdapat ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan yang berkecuali daripada mengundi calon ditampilkan UMNO, kerajaan berdepan kebimbangan jawatan Timbalan Speaker Parlimen akan terlepas ke tangan pembangkang.
“Kami tahu pihak pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming bagi jawatan itu dan bayangkan kesukaran kerajaan untuk mengawal sidang Parlimen sekiranya wakil mereka terpilih sebagai Timbalan Speaker baharu.
“Selain itu, tindakan meminggirkan calon dikemukakan UMNO juga bakal mengulangi isu keraguan keabsahan kerajaan Ismail Sabri, sekali pun satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara kerajaan dan pembangkang sudah ditandatangani.
“Secara peribadi, saya tiada masalah dengan pencalonan Ahmad, tetapi segalanya kepada pucuk kepimpinan parti dan UMNO sendiri kerana kerusi Timbalan Speaker sememangnya adalah kuota UMNO,” katanya.
Pada Selasa, usul pemilihan jawatan Timbalan Speaker kedua diberi penangguhan untuk memberi laluan kepada pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambah jumlah jawatan itu kepada tiga berbanding dua ketika ini.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, pemilihan bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan dibuat semasa pengundian usul Belanjawan 2022 akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa berhubung perlantikan tersebut.
Isu penangguhan pelantikan Timbalan Speaker Parlimen kedua kembali menjadi perdebatan pada sidang Parlimen pada Rabu susulan Azalina diminta untuk mempengerusikan sementara mesyuarat Parlimen walaupun tidak lagi menjadi Timbalan Speaker Parlimen.
Meskipun Azalina menjelaskan tindakan beliau itu mendapat restu Speaker Parlimen dan tidak menyalahi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, beberapa ahli Parlimen pembangkang membangkitkan tuntutan supaya jawatan Timbalan Speaker Parlimen kedua dilantik segera.
Berita Penuh : https://premium.sinarharian.com.my/article/153362/fokus/semasa/mp-bersatu-sah-berkecuali-undi-ahmad-maslan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/09/gemilangdaily.html