Bersatu Bersimpang Siur
Mahathir Rais barangkali dilihat seorang pemimpin kecil dalam Bersatu. Tetapi tindakannya akhir-akhir ini tidak semestinya dilihat meninggalkan impak yang kecil juga. Apatah lagi keputusannya meletak jawatan setiausaha Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan selain mengumumkan keluar parti pada 11 Jan lalu didakwanya kerana “perjuangan sudah tidak selari”.
Seminggu sebelum langkah mengejutkan itu, Mahathir mengeluarkan kenyataan menggesa ahli Bersatu supaya membatalkan hasrat “beria-ia” menyertai himpunan bersolidariti bersama bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman, Isnin lepas. Ini selepas Umno membatalkan himpunan itu.
“Lebih baik jika ahli parti tidak terlibat sedangkan Umno, parti yang berkaitan secara langsung dengan Najib, tidak turut serta, mengapa pula kita perlu beria-ia mahu bersama?” katanya ketika itu.
Namun, berlawanan dengan hasratnya, himpunan itu — di sebalik sabitan dan hukuman penjara 12 tahun Najib dalam kes SRC International yang kemudian dikurangkan separuh — tetap dihadiri pemimpin Bersatu dan PAS antaranya Hamzah Zainudin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Sanusi Nor.
Selain menyifatkan perhimpunan solidariti bersama Najib sebagai mengecewakan — berkaitan titah adendum dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah — Mahathir malah menyimpulkannya sebagai mencerminkan kesediaan PN berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.
Barangkali itulah yang dimaksudkan beliau sebagai perjuangan parti sudah tidak selari.
Kepadanya, ketiadaan pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan timbalannya Hadi Awang dalam himpunan di Istana Kehakiman itu membuktikan gabungan berkenaan kekal dengan prinsip menolak salah guna kuasa serta rasuah.
Muhyiddin adalah pengasas bersama Bersatu selepas dipecat sebagai timbalan presiden Umno pada 2016 susulan kritikan kerasnya terhadap presiden dan perdana menteri ketika itu, Najib, terutama berkait skandal 1MDB.
Dalam melakukan ‘kawalan kerosakan’ susulan keputusan Mahathir itu, Timbalan Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan Mohd Badrul Ezan berkata ia tidak sampai menjejaskan Bersatu secara keseluruhan.
“Tindakan beliau keluar parti tidak menjejaskan Bersatu Wilayah. Kita akan terus bergerak ke depan bagi persiapan PRU akan datang,” katanya sambil Ketua Bersatu Segambut Dr Nur Izzah Norma meluahkan rasa kecewa di sebalik menganggap pengunduran Mahathir tidak mencerminkan pandangan bahagian secara keseluruhannya.
Penganalisis pula tampil dengan pandangan mereka sendiri dengan mengandaikan Bersatu terperangkap dalam percanggahan pandangan berkait himpunan solidariti Najib.
“Saya lihat Bersatu terperangkap dan berpecah atas isu solidariti untuk Najib, mungkin menyebabkan hasrat menggantikan Umno sebagai platform perjuangan orang Melayu semakin hilang arah,” kata Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya.
“Orang Melayu menyertai Bersatu pun keliru sama ada Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin masih kekal pendirian tolak Najib atau telah mula bersamanya menerusi tindakan Hamzah bersama rakan-rakan,” tambahnya mengulas kenyataan Hamzah bahawa mereka hadir ke himpunan itu untuk mendengar sendiri sama ada wujud titah adendum berkait tahanan rumah Najib atau sebaliknya.
Sebelumnya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bertegas bahawa kehadiran pemimpin PN tidak bermakna gabungan itu menukar pendirian berkait skandal 1MDB.
Lebih dahulu pada 4 Jan lalu, penganalisis termasuk James Chin dari University of Tasmania berpandangan Bersatu tiada pilihan selain membenarkan ahli menghadiri himpunan tersebut kerana parti itu semakin hilang sokongan berbanding PAS.
Sambil melihat Bersatu terpaksa melakukan apa sahaja untuk kekal relevan, Chin menambah: “Meskipun mereka tidak menyukainya, mereka tidak mempunyai pilihan kerana PAS bersedia menghadiri himpunan berkenaan. Bersatu dan Muhyiddin semakin hilang sokongan, jadi mereka perlukan apa jua publisiti.”
“(Lagipun) apa boleh Muhyiddin buat jika PAS mahu menyokong Najib? Muhyiddin tidak ada kuasa, partinya juga kecil berbanding PAS. Beliau tidak boleh beritahu PAS supaya berhenti menyokong (Najib). Hakikatnya, walaupun beliau melakukan demikian, PAS boleh abaikan sahaja.”
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara pula berpandangan tidak mustahil PN akan berpecah kepada beberapa kem, ditambah dengan tindakan PAS cuba berbaik dengan Umno dalam isu adendum Najib.
“Kemungkinan perpecahan lebih besar akan berlaku jika pimpinan tidak mengawal situasi ini segera. Perkara terakhir yang Bersatu inginkan adalah mereka yang keluar menubuhkan parti sendiri atau memilih untuk kembali kepada Umno,” tegasnya.
Pada 4 Jan lalu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mempertahankan bahawa pemimpin parti dan ahli bebas menyertai himpunan di Istana Kehakiman atas dasar Bersatu berpegang pada semangat ‘perdamaian nasional’.
Dalam menolak hujah berkenaan sebagai retorik semata-mata, Chin berpandangan penyertaan dalam himpunan itu mungkin tidak mampu memperbaiki hubungan antara Umno, PAS dan Bersatu.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia selain beranggapan pimpinan PN cuba menyemai perbalahan dalam kerajaan perpaduan dengan mempergunakan rayuan tahanan rumah Najib, percaya objektif sebenar Muhyiddin ialah untuk melemahkan kerajaan perpaduan.
Kenyataan terbaru Faisal pada Sabtu bahawa Bersatu dan PAS tidak boleh dilihat berpecah untuk menarik wakil rakyat lawan menyokong PN dalam usaha menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16 seakan-akan mengeyakan kedua-dua parti gabungan itu mempunyai hala tuju yang bersimpang-siur ketika ini.
“Nak tukar kerajaan ini perlu ada kesatuan, kena sedarkan dulu PAS dan Bersatu tidak boleh nampak ada perpecahan… tak boleh ada dua imam. Kalau setuju baru boleh ‘deal’ (buat perjanjian dengan wakil rakyat parti lain untuk sokong PN ambil alih kerajaan),” katanya dalam ceramah PN di Lembah Pantai.
Tapi bahtera Bersatu sendiri nampak dilambung ombak ketika ini — dengan peletakan jawatan Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin selaku ketua biro profesional dan sukarelawan Bersatu pada 5 Jan lalu kerana tidak sehaluan dengan Ketua Pemuda Hilman Idham — menambah gelora dalam parti.
Untuk PN menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16, kata orang dulu-dulu… malam sikit. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/01/bersatu-bersimpang-siur.html