Berkenalan Melalui Laman Sosial
KUALA LUMPUR – Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, yang mayatnya ditemui dengan kesan kelar pada leher dan dada di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya Rabu lalu dikatakan mengenali seorang lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama kes tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek menerusi laman sosial sejak beberapa tahun lalu.
“Setakat ini, kita dapati mereka (mangsa dan suspek) saling mengenali satu sama lain sebelum lelaki warga Nigeria itu memasuki negara ini awal Januari lalu.
“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan sejauh mana hubungan mereka.
“Pihak polis juga masih menyiasat hubungan mangsa dengan wanita Nigeria serta lelaki Pakistan yang turut ditahan dalam kes ini serta kaitan antara ketiga-tiga suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di kondominium tempat kejadian berlaku mendakwa, ada melihat lelaki warga Nigeria berusia 36 tahun itu keluar dari kawasan tersebut kira-kira pukul 9 malam pada hari kejadian dengan menaiki Grab.
Pengawal keselamatan itu berkata, suspek itu bagaimanapun tidak menunjukkan sikap mencurigakan dan berlagak seperti tiada yang berlaku,
“Lelaki itu nampak tenang saja dan tidak tergesa-gesa ketika menuruni lif serta menunggu Grab.
“Kawasan ini Grab memang banyak, jadi senang untuk dia balik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kondominium itu di Cyberjaya semalam.
Difahamkan, kereta Honda City berwarna putih milik mangsa juga dilihat berada di parkir kenderaan yang dikhususkan untuk penghuni kediaman pada hari kejadian.
Pengawal keselamatan itu turut mendakwa, suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali antara satu sama lain berikutan mereka beberapa kali dilihat keluar masuk kondominium sebelum hari kejadian.
Bagaimanapun dakwanya, suspek tidak akan datang bersendirian kerana warga asing itu dipercayai tidak mempunyai kad akses ke rumah sewa mangsa.
“Mereka selalunya datang bersama menaiki kereta milik mangsa dan pernah keluar makan bersama,” dakwanya. - Kosmo
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lagiberita.blogspot.com/2019/05/berkenalan-melalui-laman-sosial.html