Berkat Doa Ibu Dapat Pengampunan Agong Bekas Banduan
Bernama                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Foto hiasan             MACHANG – “Sepanjang 20 tahun dalam penjara, ibu tidak pernah putus  berdoa supaya saya dibebaskan dan syukurlah doanya itu dimakbulkan  melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembebasan awal,” demikian  luahan seorang bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.
Ahmad, 50, adalah salah seorang daripada 13 banduan di beberapa  penjara di Malaysia yang mendapat pengurniaan pembebasan awal daripada  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah  Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63.
Dia menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di Penjara Sungai  Buloh sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana kesalahan  melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai  Pertubuhan Al-Ma’unah.
“Saya berada di Penjara Sungai Buloh selama setahun sebelum  dipindahkan ke Penjara Kajang selama 10 tahun dan kemudiannya  dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa selama lapan tahun dan 42 hari di  Penjara Kajang sebelum dibebaskan
“Selain doa ibu yang berterusan, saya juga sentiasa berdoa supaya  dapat dibebaskan selain ingin menjaga ibu yang kini sudah terlantar  akibat uzur, walaupun saya tahu ia adalah satu perkara yang mustahil.
“Malah, sepanjang berada dipenjara sudah lima kali saya membuat surat  pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Alhamdulillah kini saya  dibebaskan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai  Chondong, di sini, hari ini.
Berkongsi pengalamannya di penjara, Ahmad berkata pada pandangan  masyarakat, penjara adalah suatu tempat yang ‘hitam’ namun terdapat juga  nilai positif yang boleh dimanfaatkan di sebalik tirai besi  seperti mendalami ilmu agama selain mempelajari kemahiran menjahit.
“Saya turut mengikuti bengkel jahitan selama setahun pada 2002, serta  mengambil upah menjahit ketika dalam penjara selama hampir 16 tahun dan  kini saya sudah mempunyai kemahiran menjahit pakaian wanita dan lelaki  termasuk pakaian seragam,” katanya.
Bagi memulakan kehidupan baharu, anak keenam daripada 11 beradik itu  merancang untuk membuka kedai jahitan sendiri di rumahnya untuk menjana  pendapatan dan kelangsungan hidup serta memberi perhatian kepada ibunya  yang uzur sejak tiga tahun lalu.
“Biarlah saya pula yang mengambil alih tugas menjaga dan menguruskan  segala keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang  untuk menabur bakti kepadanya atas kesilapan yang dilakukan sebelum  ini,” katanya.— BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/berkat-doa-ibu-dapat-pengampunan-agong.html