Berhati Hati Dalam Berbicara Fitnah Dajjal
Berhati-hati dalam berbicara: Fitnah Dajjal| Menjaga lidah daripada berkata dusta. Apabila terlalu banyak bercakap perkara yang memudaratkan orang lain, bahananya bakal membawa duka kepada orang berkata dan orang yang dikata. Pesanan ini untuk diri saya sendiri yang sentiasa khilaf dalam kehidupan. Orang mukmin sangat menjaga lidahnya dan diamnya bukan kosong, bicaranya sukar dipatahkan. Moga kita semua mencapai kearah itu.
Memasuki fasa terakhir dunia, ramai orang akan alpa pada batas percakapan sehingga pertikaman lidah sering berlaku. Apabila banyak pertukaran hujah berlaku, maka amat sedikit kebenaran yang mampu dilihat masyarakat. Mana yang benar, mana yang salah. Siapa yang betul dan siapa yang salah. Tambahan lagi, kurangnya ilmu masyarakat pada bahagian tertentu, bertambah lagi kebingungan hidup sebagai seorang manusia
Haiwan berkata-kata semasa mencari makanan, melindungi diri sendiri tetapi manusia berkata dusta, mengadu domba, menjaja cerita dan menambah duka orang lain. Sama ada benar atau salah, beberapa perkara dalam hidup orang lain akan sentiasa kekal menjadi rahsia yang tidak patut dibongkarkan untuk dijadikan modal berbicara. Apatah lagi mencorakkan rasa demi kepuasan diri sendiri. Pendosa dalam dunia dan tentera dajjal laknatullah
Oleh kerana lidah sangat tajam berbanding pisau maka benarlah kata pepatah. Daripada lidah, manusia bermusuhan malahan berbunuhan, daripada lidah juga, benci mampu disemai berterusan. Berhati-hati dalam berbicara wahai diri. Jangan biarkan nafsu mengawal diri untuk merasai nikmat keseronokan yang sedikit di dunia tetapi mampu menjadi bara api di akhirat kelak.
Surah Al-Kahfi Ayat (1-10)Nabi SAW bersabda "Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari Surah Al-Kahfi dipelihara dan diselamatkannya dari Fitnah Dajjal". (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)
Surah yang sangat digalakkan untuk melindungi diri daripada fitnah yang sangat baik kita amalkan bersama. Moga kita sentiasa memperbaiki khilaf dalam berbicara dengan langkah yang pertama iaitu bercakap bila perlu, diam tepat pada masanya. Semoga peringatan ini amat bermanfaat kepada kita semua termasuk diri saya juga. Amin. Wallaualam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.bilalelakiberbicara.com/2017/11/berhati-hati-dalam-berbicara-fitnah.html