Berburu Ke Padang Datar
Berburu Ke Padang Datar*
Tuan-tuan dan Puan-puan
Cikgu-cikgu yang sangat berjasa
Izin saya membuka bicara
Dengan mengangkat jari sepuluh
Mohon ampun dan maaf kepada semua
Jika terkurang apa lagi banyak celanya
Anjuran dan sambutan yang kami sedia
Inilah pertama kali dalam sejarah organisasi
Kami mengelola mengendali program begini besar
Kehadiran dan ketibaan cikgu-cikgu
Dari pelusuk jauh dari sudut negeri berbeza-beza
Tanda sokongan dan dukungan
Yang besar makna dan kesannya di hati kami
Terima kasih kepada Cikgu Zahari, Pengarah Negeri
Bermukim di sini bersama kami
Dan sanggup pula berucap kepada khalayak pagi ini
Besar sungguh apungan budi
Tak terbalas oleh kata dan puji
Allah juga balasnya segala bakti
Terima kasih juga buat pembicara utama
Jauh datang di sini kita bersua muka
Berkongsi takungan ilmu membugar bistari akal
Sangat besar harganya buat profesor
Berpayah dan sanggup menjadi pemakalah utama
Terima kasih kepada seluruh khayalak
Pemakalah yang datang dari pelusuk negeri
Bukan senang untuk tiba ke mari
Tetapi demi ilmu dan masa depan pertiwi
Semuanya selangkah menyusun gerak
Berkongsi pengalaman berkongsi kebijakan
Termasuk pameran dan poster terhias indah
Bukan kerja mudah untuk menyiapkan segala
Tetapi di sini di medan kecil kami
Tuan-tuan dan puan-puan berpayah datang
Demikian besarnya bakti guru
Saya juga menyusun jari
Terima kasih kepada Majlis Guru Besar (MGB) Machang dan
Majlis Pengetua (MPSM) Machang
Tidak jemu menjadi rakan kongsi
Menyediakan guru-guru sebagai peserta
Malah ada yang menjadi pembicara pameran dan poster
Bangga saya dengan hadir tuan puan
Dari tanah Machang turut membentang kata
Inilah perkongsian terlalu manis menjadi kenang
Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu sekolah dan cikgu-cikgu pegawai
Bersama dalam majlis ini
Terima kasih 239 orang peserta yang hadir pada hari ini
Melangkah Ke Hadapan
Menjadi tema kolokium ini
Tanda bersama kita bergerak
Menuju titik jaya menongkah arus masa
Untuk melaksana tranformasi
Melihat ia berbekas dan menjadi tanda menjadi
Kolaborasi, muafakat, dan kepimpinan
Bergabung untuk masa depan
Menolak kurang yakin memaut pembaharuan minda
Segalanya akan memberi hasil tersendiri
Bukan mudah kerja mendidik
Dikias dalam pantun melayu lama
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Amat menakutkan impak sebuah kegagalan
Satu generasi tumbang tanpa tuju dan pedoman
Hanya kerana gagal didik sang guru
Atau kerana guru silap berbagi ilmu
Atau silap menekuni proses didik bimbing
Di ruang kecil bilik darjah
Mendidik memerlukan ketekunan yang tinggi
Bukan mudah berhadapan dengan murid di bilik darjah
Guru bukan sekadar membancuh ilmu buat mereka
Guru turut memain peranan yang berbeza-beza
Sahabat, ibu, bapa, penasihat, pemudahcara
Ada ketikanya harus menjadi kekasih yang setia
Menajamkan cinta insan penuh jujur dan mengerti
Inilah tukang ilmu yang saban ketika mendepani
Karenah dan warna manusia
Memujuk jiwa untuk merasa yakin pada masa depan
Memberi nasihat agar tahu jalan tuju
Menegur dengan tulus
Menangis dan ketawa demi membina manusia
Inilah guru begitu sukar dan rencam tugasnya
Mengelak bunga kembang tak jadi
Kolokium ini adalah bahagian kecil dari tugas guru
Menemukan para pendidik dari seluruh pelusuk negeri
Berbincang dan berkolaborasi
Berkongsi dan saling memberi fikir
Untuk menjadikan segala kerja dan tugas
Berhasil dan memberi bekas
Terutama dalam meningkatkan kualiti guru
Serta kemenjadian murid di bilik darjah
Mendidik bermula dari proses sebegini
Memastikan segala yang dibancuh
Dalam mangkuk ilmu benar memberi zat dan kehebatan
Kepada minda, emosi , kerohanian dan fizikal murid
Adalah diharapkan perkongsian dan pertemuan
Yang kita mulakan pada hari ini
Akan membuahkan semangat dan nafas berani
Untuk bersama kita gerakkan transformasi besar ini
Melangkah Ke Hadapan
Untuk kita susun segala usaha murni
Membina generasi demi negara tercinta
Bermula di ruang kecil di sekolah-sekolah
Bilik darjahlah bermula langkah transformasi
Aduhai guru yang dimuliakan
Kita sudah memilih kerjaya ini
Berat dan payah perlu bersama kita bawa
Dengan pelbagai peranan kita perlu laksana
Kita berhadapan dengan manusia
Yang terbeban oleh kejahilan ilmu
Yang terbenam oleh jaringan kejiwaan
Kitalah yang menjahit layar keyakinan
Menetas baju harapan buat mereka
Kita ajarkan mereka berjalan dan berlari
Mendaki dan menuruni lurah perjuangan
Bermula dari melukis garis
Sehingga menjadi pandai mengadun formula
Gurulah segala pemberi yang setia
Di ruang kecil bilik darjah
Tanpa guru insan ini akan terbeban oleh kejahilan
Akan terbenam dalam kekuakhitan masa depan
Kita harus bangga
Bahawa kita menjadi bahagian penting
Dari sejarah hidup seseorang insan
Sebelum menutup kalam
Terima kasih kepada semua yang terlibat
Dalam acara pada hari ini
Semoga kita semua dalam rahmat dan pedoman
Allah azza wajalla
Semoga kolokium ini bermula dan berakhir penuh rahmat dan keberkatan
Berupaya menjadi cetus ilham dan suara fikir pendidik semua
Marilah kita tekadkan azam di jiwa
Kita sama-sama beriltizam menjadi pendidik yang Berjaya
Di depan kita tak akan ada bunga layu
Sekian terima kasih
*Teks Ucapan Pegawai Pendidikan Daerah Machang. di Majlis Perasmian Kolokium Pendidikan Kebangsaan 2018 bertempat di PPD Machang pada 1 Disember 2018
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mimbarkata.blogspot.com/2019/01/berburu-ke-padang-datar.html