Berani Berubah Di Tahun Harimau Mb
Tahun Baharu Cina yang jatuh dalam tahun harimau pada kali ini diharap akan meningkatkan semangat kecekalan, keberanian dan tekad melakukan perubahan dalam kalangan rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sifat sifat itu penting untuk dihayati ketika menghadapi dwi-bencana, pandemik Covid 19 dan banjir besar pada tahun lalu.
“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2022 kepada seluruh komuniti Tiong Hua khususnya di Selangor serta seluruh negara.
“Saya pasti sambutan kali ini penuh meriah selepas situasi tahun lalu yang tidak memberi ruang untuk Tahun Baharu Cina disambut dengan penuh tradisional memandangkan situasi pandemik Covid-19 pada ketika itu.
“Tahun Harimau Air kali ini menggambarkan sifat kecekalan dan kekuatan yang berlandaskan tindakan, khususnya keberanian melakukan perubahan serta menjauhi perkara-perkara buruk.
“Sifat-sifat ini penting untuk kita hayati dan contohi lebih-lebih lagi selepas menghadapi dwi-krisis pandemik Covid-19 serta musibah banjir yang melanda negeri Selangor pada akhir tahun lalu,” katanya.
Menurut MB, Kerajaan Negeri sehingga Januari 2022 berjaya mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 kepada 53,908 keluarga yang terkesan banjir dengan peruntukan RM54.038 juta, termasuk bantuan kepada keluarga yang kehilangan ahli tersayang akibat banjir.
Katanya, bantuan itu termasuk usaha-usaha pembersihan terutamanya di kawasan yang paling terkesan dan telah siap sepenuhnya. Kini Selangor memasuki fasa pemulihan infrastruktur termasuk jalan-jalan negeri, komunikasi serta saliran dan rumah-rumah yang hanyut akibat banjir.
Pada tahun ini, tambahnya, Kerajaan Negeri akan melakukan penerokaan lebih berani dalam agenda digitalisasi dengan penubuhan Selangor Digital School serta peruntukan yang signifikan untuk E-Sukan (RM1.2 juta) selain penerusan Geran Padanan Digital SIDEC yang telah memberi lonjakan yang kepada komuniti usahawan digital.
“Golongan perniagaan dan industri dijangka mendapat limpahan manfaat Belanjawan 2022 hasil daripada peruntukan awalan RM5 juta untuk Pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor di atas 145 ekar tanah yang telah dikenalpasti di seluruh negeri bagi menepati Akta 446 yang mampu menjanjikan keselesaan yang lebih baik untuk para pekerja.
“Iltizam yang sama juga akan dirasai dengan sejumlah RM65 juta diperuntukkan untuk Kesihatan Awam dan RM27.5 juta untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang telah ditambahbaik, serta RM1 juta untuk Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre) yang mampu melegakan banyak pihak,” katanya.
MB berharap, dalam keadaan ketidaktentuan termasuk hala tuju politik negara yang kian hari seolah-olah tidak memajukan negara, pentadbiran di Selangor yang kukuh, stabil dan mempunyai idea serta visi yang realistik diharap akan dapat memberi contoh kepada rakyat bahawa kaedah pentadbiran gabungan Pakatan Harapan mampu membawa kebaikan untuk semua.
Di samping itu, beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang meraikan Tahun Baharu Cina agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Piawai bagi mengelakkan Covid 19
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/33988