Benarkah Air Selusuh Boleh Mudahkan Proses Bersalin
AIR SELUSUH, bila sebut saja tentang air selusuh ini gambaran pertama yang akan muncul adalah wanita yang sedang sarat mengandung. Mana tidaknya, air selusuh sangat sinonim dengan wanita yang sudah hampir untuk proses kelahiran. Tapi benarkah air selusuh ni boleh mudahkan proses bersalin?
Apakah Sebenarnya Air Selusuh Ini?
Apakah Air Selusuh ini sebenarnya? Bagi yang masih samar-samar, air selusuh merupakan air yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Air ini dipercayai akan memudahkan dan mempercepatkan proses bersalin. Air selusuh boleh di anggap sebagai salah satu ikhtiar untuk memudahkan lagi proses melahirkan anak.
Air selusuh ini dikatakan dapat membantu untuk melancarkan proses beranak supaya jangka masa untuk ibu bertarung ketika berada di dalam bilik bersalin dapat dipendekkan. Air selusuh selalunya akan diamalkan ketika ibu merasa kontraksi terutama semasa sedang berada dalam bilik bersalin hingga bukaan menjadi 10cm. Cara minum air selusuh yang disyorkan adalah dengan di minum 2 kali sehari apabila sakit untuk melahirkan sudah bermula.
Tiada bukti dan kajian sains yang dilakukan untuk membuktikan air selusuh dapat membantu memudahkan bersalin. Ia hanyalah ikhtiar kita dengan bersandarkan pada ALLAH SWT. Sebab tu ia menggunakan ayat-ayat quran sebagai asbab. Yang merisaukan ialah apabila mengamalkan air selusuh yang direndam dengan bahan seperti akar fatimah,akar kayu dan lain-lain herba.
Cara Buat Air Selusuh Untuk Mudahkan Proses Bersalin
Terdapat TIGA cara untuk membuat air selusuh dengan menggunakan beberapa bacaan doa dan surah yang di pilih dari Al-Quran.
Cara Buat Air Selusuh Yang Pertama
1. Baca surah Al Fatihah dan Surah Al-Hasyr ayat 21
2. Kemudian, baca selawat syifa dengan maksud yang berikut “Ya Allah berikan Rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW yang menjadi penawar kepada hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan serta kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya,”.
3. Baca doa ini: “Ya Allah dengan hak Maryam dan dengan mereka yang diturunkan kepadanya Surah Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama ibu yang hamil berbintikan nama ibunya) sakit bersalin dengan rahmat engkau wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rahmat,”. Selepas dibaca, tiup pada air atau minyak dan perlu minum tujuh hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.
4. Sapukan air atau minyak diperut ibu dari atas ke bawah dengan selawat tujuh kali.
5. Minyak selusuh atau air selusuh perlu diminum sebanyak satu sudu apabila sakit hendak bersalin datang.
Cara Buat Air Selusuh Yang Ke-2
1. Beristighfar sebanyak tiga kali
2. Menghadiahkan bacaan kepada Rasulullah SAW, para sahabat dan pengikutnya.
3. Membaca surah Al-Fatihah sebanyak satu kali.
4. Selawat 11 kali
5. Baca surah Alam Nasyrah sebanyak 7 kali
6. Surah Al-Ikhlas tiga kali
7. Surah Al-Falaq tiga kali
8. Surah An-Nas tiga kali
9. Kemudian doa apa yang dihajati.
Cara Buat Air Selusuh Yang Ke-3
1. Baca surah Al-Fatihah (Apabila sampai di ayat yang kelima, lintaskan di dalam hatimohon memudahkan bersalin sebanyak tiga kali).
2. Selawat Syifa tujuh kali
3. Surah Al-Hasyr ayat 21 perlu dibaca sebanyak tiga kali
4. Surah Al-A’raa ayat 54 dibaca tiga kali
5. Kemudian, hembus pada air, minyak atau buah kurma. Lalu diberikan pada ibu yang akan bersalin.
Air Selusuh Boleh Dibuat Sendiri Oleh Suami Untuk Isteri
Menurut info yang pernah ku baca sebelum ini, air selusuh yang dibuat sendiri oleh suami adalah yang paling bagus sekali. Air selusuh yang terbaik adalah disediakan oleh suami untuk isteri dan boleh start minum 30 minggu ke atas 2 kali sehari.
Mungkin kerana ianya di buat dengan penuh rasa ikhlas dan kasih sayang dari suami untuk isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Lagipula air selusuh akan membuatkan wanita bertambah sakit ketika bersalin nanti. Jadi jika suami sendiri yang buat tentunya akan terasa lebih bermakna.
Suami perlu tahu yang air selusuh adalah salah satu cara mempercepatkan bersalin supaya jadi mudah maka bolehlah di buat air selusuh dan beri air tersebut pada isteri ketika kontraksi sudah mula berlaku. Air ini juga boleh di sapu ke atas perus isteri dengan harapan kepada Allah SWT agar air selusuh boleh menjadi salah satu asbab untuk memudahkan isteri melahirkan anak tersayang.
Cara Buat Air Selusuh Sendiri Versi Ustaz Don
Sebagaimana yang telah di sebut tadi, sebaik-baik air selusuh ialah yang dibuat oleh suami sendiri. Dan inilah bacaan bacaan yang dicadangkan Ustaz Don pada para suami untuk membuat air selusuh sendiri bagi membantu isteri masing-masing. Cara yang dilakukan oleh Ustaz Don untuk menyediakan air selusuh untuk memudahkan para isteri melahirkan anak ini boleh di cuba oleh suami-suami yang lain di luar sana.
1. Ambil sebotol air zam-zam. Amalan air zam-zam amat digalakkan untuk memudahkan bersalin kerana itu tidak hairanlah mengapa Ustaz Don memilih untuk menggunakan air zam-zam in untuk menyediakan air selusuh untuk isteri tercinta.
2. Bacakan surah Al-Fatihah sebanyak sekali.
3. Bacakan Surah Al-Hasyr Ayat 21
Maksudnya : Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan kaetakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.
4. Bacakan Selawat Syifa’
5. Bacakan doa dibawah
“Ya Allah dengan hak Maryam dan dengan mereka yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama ibu yang hamil berbintikan nama ibunya) sakit bersalin dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rahmat”
” Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana engkaulah yang maha memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagimu, Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan RahmatMu, Ya Arhamar Rahimin”.
6. Kemudian, tiupkan pada air
7. Boleh digunakan untuk sapukan air tadi pada perut ibu dan bacakan selawat sebanyak 7 kali
8. Minum air selusuh ini apabila kontraksi sudah mula dirasai
Hukum Guna Air Selusuh Dari Segi Hukum Islam
Dari segi hukum Islam, ianya adalah HARUS selagi mana ia tidak melibatkan jampi serapah yang jelas keluar dari landasan syariat. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan masih ada yang was-was kerana air selusuh ini jika terlalu taksub boleh menyebabkan rasa terlupa yang hakikatnya soal mudah bersalin dan sebagainya ini adalah kerja Allah SWT.
Yang pasti, tidak salah untuk cuba berikhtiar asalkan sentiasa terus berdoa terutama setiap kali usai solat daripada Allah SWT untuk mempermudahkan segalanya. Ingat selalu untuk jaga aqidah kita. Yang membuatkan bersalin jadi mudah adalah Allah SWT, bukanlah air selusuh. Air selusuh ini hanyalah asbab sahaja. Apakah ada kedai yang menjual air selusuh? Rasa-rasanya ada namun daku sendiri kurang ambi tahu soal ini.
Diri Sendiri Bersalin Tanpa Ada Amalkan Sebarang Air Selusuh
Percaya ataupun tidak, sesungguhnya aku sama sekali tak pernah amalkan sebarang air selusuh. Ini semua bermula apabila ibu mertua ada berikan minyak selusuh untukku mudah bersalin katanya. Dan terus terang daku tak boleh minum minyak dengan begitu bersahaja. No! Tak boleh nak telan... huhu...
Sejak itu daku hanya bersalin seperti biasa tanpa mengambil sebarang jenis air selusuh atau minyak seluruh dari mana-mana pihak. Masa hamil daku amalkan banyak air masak biasa saja... Namun daku ada tips lain yang dipraktikkan. Cara ini daku dah lupa dari mana dapatnya. Cuma daku praktikkan kerana ianya mudah dan praktikal.
Petua Untuk Mudahkan Proses Bersalin Tanpa Air Selusuh
1. Paksa diri untuk baca surah Yasin selepas usai solat sekurang-kurangnya sehari sekali
2. Doa agar Allah selamatkan diri sendiri dan anak dalam kandungan
3. Mohon maaf pada ibu ayah dan minta mereka doakan kesejahteraan kita. Boleh juga minta doa dari rakan-rakan dan ahli famili yang lain.
4. Mohon maaf pada suami minta halalkan dan ampunkan segalanya ketika akan bertarung di bilik bersalin.
5. Ketika sedang sakit dan bertarung untuk meneran, selalunya daku dah tak boleh fokus untuk baca surah dengan mudah. Maka ayat yang ku amalkan yang di baca secara berulang-ulang tanpa henti adalah: "Ya Allah, Kau Permudahkanlah! JANGAN Kau Sulitkan...."
6. Ayat "Ya Allah, Kau Permudahkanlah! JANGAN Kau Sulitkan...." ini terus di baca berulang-ulang terutama ketika sedang sakit yang amat sangat tu. Daku bertarung seorang diri dalam bilik bersalin kerana suami ada masalah mabuk darah jadi ungkapan inilah yang menjadi peneman pada masa itu.
Boleh Guna Air Selusuh Tapi Jangan Hingga Tersilap Langkah
Semoga dengan adanya cara buat air selusuh sendiri menggunakan kaedah yang dikongsikan oleh Ustaz Don yang beliau sendiri telah buat untuk isterinya sebelum bersalin ini dapat memberi panduan manfaat. Tapi ingat, tidak kira air selusuh mahupun minyak selusuh janganlah di beri minum pada mana-mana ibu yang bakal melahirkan terlalu awal.
Start minum air selusuh biarlah ketika kontraksi sudahpun bermula. Jangan lupa yang tujuan air selusuh ini adalah untuk memudahkan kelahiran dan takut nanti sebaliknya yang berlaku hingga terjadinya kelahiran bayi pramatang yang akan membahayakan anak itu sendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sishawa.com/2019/07/air-selusuh-mudahkan-proses-bersalin.html