Belia Sabah Terus Diberi Keutamaan Ikuti Latihan Tvet Di China
Komitmen Putrajaya menghantar seramai 5,000 pelajar termasuk 500 dari Sabah mengikuti program TVET di China mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Komitmen Putrajaya menghantar seramai 500 pelajar dari Sabah mengikuti Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China bermula tahun lalu mampu melahirkan tenaga mahir berkualiti tinggi, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan, kata seorang wakil rakyat negeri itu.
Ahli Parlimen Libaran, Suhaimi Nasir, berkata komitmen Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pendidikan TVET termasuk memperuntukkan kuota khas untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak amat dihargai.
“Usaha kerajaan dalam menjalinkan kerjasama dengan syarikat automotif dari China bagi memperkasakan pelajar dalam sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) adalah satu langkah yang tepat.
“Ini sekaligus akan memberikan peserta akses terhadap teknologi terkini, latihan industri berkualiti dan peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Saya percaya inisiatif yang telah diperkenalkan, termasuk penambahbaikan kurikulum dan infrastruktur pembelajaran akan memberikan impak besar dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.
Di Dewan Rakyat semalam, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET secara purata kini mencecah 94.5% sekaligus membuktikan keperluan tenaga mahir terus meningkat.
Beliau yang juga pengerusi Majlis TVET Negara (MTVETN) berkata jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 423,000 peserta berbanding 407,000 pada 2023.
Pada Mei tahun lalu, Zahid dalam lawatan kerja ke Beijing mengumumkan sebanyak 220 syarikat berpangkalan di China menawarkan tajaan pendidikan kepada lebih 5,000 pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET di republik itu.
Katanya, ia membabitkan latihan TVET dalam pelbagai bidang, antaranya automotif yang berfokuskan EV dan kenderaan tenaga boleh diperbaharui (REV), robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).
Tempoh latihan yang ditawarkan adalah selama tiga bulan bagi jangka pendek, manakala jangka sederhana (enam bulan) dan jangka panjang (sehingga tiga tahun).
Suhaimi berkata komitmen berterusan Zahid yang juga presiden Umno dalam memastikan belia Sabah mendapat tempat sewajarnya menunjukkan parti itu sentiasa mengutamakan kebajikan kelompok berkenaan.
Tegasnya, Sabah memerlukan tenaga mahir dalam pelbagai bidang TVET bagi memenuhi keperluan industri dan kehendak pelabur yang datang ke negeri itu.
“Ini adalah antara usaha kerajaan khususnya pemimpin dari Umno dan Barisan Nasional dalam memperkasakan anak muda Sabah bagi memastikan golongan ini mempunyai masa depan cerah serta berkemahiran tinggi.
“Sebagai Ahli Parlimen Umno, agenda membangunkan Sabah akan terus diperjuangkan demi manfaat rakyat dan negara,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/a_339.html