Belanjawan 2025 Naikkan Gaji Minimum Tingkatkan Kadar Cukai Korporat
KANGAR: Dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mendesak, pendapatan minimum isu rumah perlu sekurang-kurangnya RM6,000 sebulan khususnya bagi keluarga yang tinggal di bandar-bandar besar.
Justeru, dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, kerajaan dicadangkan menaikkan gaji minimum itu kepada jumlah berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, rasional kenaikan gaji minimum isu rumah tersebut adalah sesuai dengan peningkatan kos sara hidup yang dibebani rakyat ketika ini.
Katanya, menurut laporan tinjauan pendapatan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022 mendapati 80 peratus pendapatan isi rumah rakyat Malaysia antara RM2,260 hingga RM5,260 sebulan.
Ujar beliau, pendapatan sebegitu tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin membebankan dari tahun ke tahun.
“Rasional cadangan kenaikan gaji minimum ke RM6,000 itu juga ialah bagi meningkat kuasa beli rakyat dan merangsang ekonomi yang harmoni dan stabil dalam negara. Ia juga selaras dengan matlamat kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.
“Dengan pendapatan minimum isi rumah RM6,000 itu juga akan berupaya meningkatkan daya saing dan inovatif rakyat dalam memperkasa pendapatan dan belanjawan diri dan keluarga serta negara.
“Malah, negara- negara Asia lain seperti Indonesia dan Vietnam juga sedang menetapkan dalam pelaksanaan gaji minimum dalam Belanjawan 2025 mereka,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengimbangi perkara itu, kerajaan juga dicadangkan untuk memberi insentif cukai kepada organisasi dan syarikat yang menaikkan gaji minimum pekerja pendapatan isi rumah kepada RM6,000.
Sementara itu, beliau juga mencadangkan kerajaan meningkatkan kadar cukai korporat dari 24 kepada 26 peratus bagi meningkatkan pendapatan kerajaan sekali gus menjamin pembahagian hasil negara yang lebih adil.
Katanya, kelaziman syarikat korporat besar seperti perbankan, telekomunikasi, farmasi, minyak dan gas mendapat keuntungan luar biasa atau ‘windfall profits’.
“Ini akan menghasilkan satu keseimbangan yang adil dan harmoni serta merangsang situasi menang-menang antara rakyat, perniagaan kecil dan kerajaan. Negara-negara Asia yang lain seperti Thailand juga merancang untuk menaikkan cukai korporat ini.
“Malah Indonesia juga sedang mempertimbangkan penyesuaian yang lebih tinggi terhadap cukai korporat ini,” katanya.
Katanya lagi, meskipun terdapat risiko bahawa kenaikan cukai korporat boleh meningkatkan harga barang namun langkah-langkah pengawalan yang proaktif oleh kerajaan dapat membantu mengurangkan impak negatif ini.
Ujarnya, melalui strategi yang tepat, kerajaan dapat memastikan bahawa pertumbuhan pendapatan melalui cukai korporat tidak membebankan rakyat dan tetap memelihara kestabilan ekonomi.
“Di samping ia juga dapat membantu pendapatan isi rumah yang bermaruah kepada rakyat selaras dengan kenaikan kos sara hidup demi menjamin kesejahteraan rakyat, perniagaan dan kerajaan yang harmoni dan bermadani,” katanya.-UTUSAN
Source link
The post Belanjawan 2025: Naikkan gaji minimum, tingkatkan kadar cukai korporat appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/belanjawan-2025-naikkan-gaji-minimum-tingkatkan-kadar-cukai-korporat/