Belanjawan 2021 Lulus Bukti Rakyat Diutamakan
HARAKAH DAILY

             KUALA LUMPUR: Sokongan kepada Belanjawan 2021  sehingga diluluskan di peringkat dasar hari ini membuktikan kematangan  ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan  kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,  mendahului perkara-perkara lain, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana  Menteri  berkata sokongan terhadap belanjawan terbesar dan sangat  penting kepada negara itu membolehkan kerajaan melaksanakan segala  perancangan perbelanjaan untuk tahun depan dengan teratur dan lancar.
“Alhamdulillah,  saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telahpun diluluskan Dewan Rakyat  hari ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli  Parlimen, terutamanya ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan  Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah  (PBS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan  oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan  2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini
   Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas  permohonan beberapa Ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak  berjaya apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada  jumlah diperlukan iaitu 15 orang.
   Belanjawan pertama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkenaan  dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  pada 6 November dan seramai 82 Ahli Parlimen terlibat dalam sesi  perbahasan.
   Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan  itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan  mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan  ekonomi negara.
   Muhyiddin berkata pendirian ahli Parlimen berkenaan membuktikan  mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah  Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan ahli politik  mengetepikan sementara politiking agar belanjawan diluluskan tanpa  gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan  COVID-19. 
   Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Zafrul dan Kementerian  Kewangan yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021  dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.  
   “Penambahbaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai  pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika  perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 ini dijalankan,” katanya. 
Tegasnya Kerajaan PN sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. 
   Katanya ini membuktikan Kerajaan PN amat prihatin mendengar  keluh-kesah rakyat dan responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam  membantu memulih serta menjana semula  ekonomi negara yang terkesan  teruk oleh pandemik COVID-19.  
   “Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/belanjawan-2021-lulus-bukti-rakyat.html