Beku Ambil Pekerja Asing Baru Peluang Baik Warga Tempatan
Manzaidi Mohd Amin                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Mohd Zulkifli Abdul Fattah             KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan memperhalusi dasar pekerja  asing adalah langkah terbaik yang membuka ribuan peluang pekerjaan  kepada rakyat tempatan, sekali gus meningkatkan sumber ekonomi dan kuasa  beli dalam negara.
Justeru, Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) menyambut baik langkah  kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing baru, yang mana ketika ini  lebih 2.3 juta orang bekerja di semua sektor di Malaysia.
Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Zulkifli Abdul Fattah,  kerajaan juga dilihat komited untuk mengembalikan semula pekerjaan yang  dirampas warga asing selama ini kepada rakyat tempatan.
“Sikap kebergantungan kepada pekerja asing selama ini telah  mewujudkan persepsi yang salah mengenai kebolehan anak tempatan untuk  bekerja dalam beberapa sektor.
“Majikan mula menganggap warga asing sebagai lebih produktif  berbanding anak tempatan yang tidak diberikan peluang secukupnya untuk  membuktikan kebolehan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media,  hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menyambut baik kenyataan Menteri  Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada Isnin, bahawa kerajaan  tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun  ini.
Menurut Mohd Zulkifli, sektor pekerjaan yang dibenarkan bagi warga  asing adalah perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan  perlombongan/pengkuarian dan perkhidmatan.
Malah, katanya, warga asing yang pada mulanya datang hanya untuk  bekerja dalam sektor itu telah diserap secara haram ke sektor lain  seperti berniaga sendiri, membina penempatan dan paling teruk memonopoli  beberapa industri.
“Puncanya, penguatkuasaan yang lemah, penyelewangan dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu.
“Pekerja asing juga tidak diberikan latihan asas dan tidak mempunyai  pendidikan berkelayakan. Ini dapat dilihat melalui kegagalan mereka  berkomunikasi dengan rakyat tempatan, selain tahap kebersihan yang teruk  di kawasan dikuasai mereka.
“MBC menyedari keperluan beberapa industri tertentu terhadap pekerja  asing bagi memenuhi keperluan ekonomi, namun kebergantungan secara tidak  terkawal telah menjejaskan peluang warga tempatan,” katanya.
Pada masa sama, MBC minta Kementerian Dalam Negeri (KDN)  mempertimbangkan cadangan berkaitan pengambilan pekerja asing secara  langsung dari depoh tahanan imigresen.
Menurut beliau, tahanan itu adalah pendatang asing tanpa izin (PATI)  yang selama ini bekerja atau berniaga di negara ini tanpa dokumen sah.
“Mereka perlu dilihat sebagai kelompok yang melanggar undang-undang  negara dan tidak perlu diberikan peluang kedua untuk berada di negara  ini.
“Cadangan ini tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian kepada isu  lambakan pekerja asing dan akan menyekat peluang anak tempatan dalam  beberapa sektor.
“Mereka perlu dihantar pulang ke negara asal. Jika perlu ambil  pekerja asing, pastikan mereka yang tidak pernah melanggar undang-undang  negara dan diberikan latihan, pendidikan dan pengalaman secukupnya  dalam sektor berkaitan,” katanya.
Ujar beliau, KDN perlu berhenti mengambil jalan mudah mencari  penyelesaian dalam isu itu kerana mengapa perlu tangkap, tahan dalam  depoh kemudian dibenarkan bekerja semula?
Tegasnya, apakah sektor ekonomi negara terlalu bergantung kepada  warga asing sehingga anak tempatan tidak diberikan peluang langsung?
“Isu ini telah berterusan sekian lama. Pemimpin sebelum ini melihat  isu ini sebagai masalah yang sangat sukar ditangani. Oleh sebab itu,  kenyataan Saravanan ini harus dipuji kerana kerajaan telah mula  mengambil serius isu lambakan pekerja asing di negara ini.
“MBC berharap warga tempatan mengambil peluang pekerjaan yang ada dan  bantu kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing. Yang penting,  pekerjaan kita dikembalikan kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/beku-ambil-pekerja-asing-baru-peluang.html