Bekas Penyerang Persebaya Surabaya Sertai Terengganu Fc
Kuala Terengganu: Penyerang daripada pasukan Persebaya Liga 1 Indonesia sah menyertai Terengganu FC musim ini.
Bercerita mengenai penyerang utama skuad Bajol Ijo bernama David Aparecido da Silva yang berusia 31 tahun ini, rakan media kami sukanz.com menemu bual seorang pemerhati dan bekas penulis bola sepak di Indonesia, Aun Rahman untuk mendapatkan pandangannya.
Sejak beraksi dalam saingan Liga Indonesia bermula tahun 2018 bersama Persebaya, David boleh digambarkan sebagai penyerang dengan pakej serba lengkap daripada segi kebolehannya serta mempunyai kerajinan yang cukup baik di atas padang.
Ketajamannya di hadapan gol tidak perlu dipertikaikan lagi apabila dia meletakkan namanya selaku penjaring kedua terbanyak (20 gol) pada tahun 2018 dan penjaring ke-8 terbanyak (14 gol) pada musim 2019.
“Dia lebih kepada penyerang yang mempunyai pakej lengkap. (Kerap) turun ke bawah untuk mendapatkan bola. Bukan sahaja berkemampuan untuk menjaringkan gol tetapi dia juga boleh mencipta peluang gol.” jelas Aun memulakan bicara mengenai David.
“David juga boleh menyimpan bola dengan baik dan turun membantu barisan pertahanan apabila diperlukan. Mempunyai sikap yang rajin.” tambahnya lagi.
Di pentas Liga 1, David sangat dikenali dengan jaringan menerusi gerakan solonya menewaskan barisan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan deras mengalahkan penjaga gol apabila tiba di kotak penalti. Majoriti daripada 34 golnya hadir menerusi gaya ini.
Nampaknya penyerang ini tidak banyak bezanya dengan gaya permainan bekas dua orang penyerang TFC iaitu Tchetche Kipre Dan Dominique da Sylva.
Namun begitu, Aun berpandangan, untuk melihat David cemerlang di posisi penyerang tengah (centre forward), dia perlulah mendapat sokongan terbaik daripada pemain atau penyerang sayap yang laju.
Bersama Persebaya, David mendapat sokongan padu di kedua-dua belah sayap iaitu Osvaldo Haay (sebelum berhijrah ke Persija Jakarta) dan Irfan Jaya.
Bagaimanapun, Aun tidak menolak kemungkinan David ‘tidak menjadi’ bermain di Liga Malaysia memandangkan kedua-dua liga mempunyai beza yang ketara daripada segi corak permainannya.
Perkara ini sudah terjadi kepada Jonathan Bauman ketika bersama Kedah. - Sumber : Sukanz.com (Hafizuddin Omar)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.terengganusebelas.com/2021/01/bekas-penyerang-persebaya-surabaya.html