Batik Air Kembangkan Rangkaian Dengan Laluan Baharu Perkukuh Subang Sebagai Hab Bandar
Batik Air Kembangkan Rangkaian Dengan Laluan Baharu, Perkukuh Subang Sebagai Hab Bandar
KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER 2025 – Batik Air meraikan satu pencapaian penting bulan ini dengan pelancaran beberapa laluan baharu, termasuk empat yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB).
Pengembangan strategik ini mengukuhkan peranan Subang sebagai pintu masuk bandar yang moden dan mudah bagi pelancong di Lembah Klang.
Dengan lokasinya yang strategik dan kerja naik taraf yang sedang dijalankan, Lapangan Terbang Subang terus berkembang menjadi hab utama bagi perjalanan bisnes dan percutian.
Perkhidmatan baharu ke Singapura dan Jakarta (bermula 8 Disember 2025), Johor Bahru (bermula 11 Disember 2025) serta Langkawi yang bermula hari ini menawarkan lebih banyak fleksibiliti kepada pelancong dan menjadi alternatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1).
Perkembangan ini turut menyokong Rancangan Pemulihan Lapangan Terbang Subang (SARP) oleh kerajaan, menjadikan SZB sebuah pintu masuk yang mengukuhkan pertumbuhan pelancongan dan merangsang aktiviti ekonomi.
Pada masa ini, Batik Air mengendalikan penerbangan dari Subang ke Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching dan Bangkok.
Penambahan laluan baharu ini terus mengukuhkan rangkaian yang semakin berkembang, meningkatkan capaian serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih mudah dan selesa kepada para pelancong di seluruh Malaysia dan rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, Subang sedang berkembang pesat sebagai pintu masuk yang menawarkan keselesaan, capaian dan kecekapan kepada pelancong di Lembah Klang.
“Pengembangan kami selari dengan inisiatif SARP oleh kerajaan, menyokong transformasi SZB menjadi lapangan terbang bandar yang memberi manfaat kepada penumpang, komuniti tempatan, dan perniagaan serantau.
BACA: Batik Air Kini Tawar Penerbangan Terus Ipoh Ke Singapura
“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, laluan baharu ini memainkan peranan penting dalam membuka negara kita kepada lebih ramai pelawat.
“Capaian yang dipertingkatkan membolehkan pelancong menikmati pelbagai tarikan di Malaysia dengan lebih mudah, sambil mengukuhkan hubungan ekonomi, aliran perdagangan, dan kerjasama serantau.
“Batik Air melihat Subang sebagai elemen penting dalam perjalanan ini dan menjadi sebuah pintu masuk yang mendekatkan orang dan destinasi, memastikan rangkaian kami lebih berkembang selari dengan keperluan perjalanan masa hadapan,” tambah beliau.
YBrs. Encik Samuel Lee, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, menyambut baik inisiatif ini.
“Pelancaran ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan pelancongan antara Malaysia, Singapura, dan Indonesia menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026). Dengan meningkatkan capaian, perjalanan ke Malaysia menjadi lebih lancar, menyokong peningkatan ketibaan dari pasaran utama ini.
“Inisiatif ini menegaskan komitmen kami untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama dan pintu masuk ke ASEAN, menawarkan pengalaman budaya yang meriah serta tarikan alam semula jadi yang menakjubkan.
“Kami menantikan kedatangan lebih ramai pelancong dari Singapura dan Jakarta untuk merasai sendiri keunikan Malaysia menjelang VM2026,” ujarnya.
BACA: Batik Air Lancar Laluan Antarabangsa Pertama Dari Subang
Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, dalam satu kenyataan berkata bahawa pengenalan laluan baharu Batik Air hadir pada waktu yang tepat ketika negeri itu berusaha mencapai sasaran Tahun Melawat Selangor 2025.
“Dengan 6.4 juta ketibaan pelancong direkodkan sehingga suku ketiga, tambahan rangkaian sambungan ini terutamanya penerbangan terus ke Indonesia yang merupakan pasaran pelancongan perubatan terkuat kita akan terus meningkatkan ketibaan ke Selangor.
“Peningkatan capaian ini juga akan turut menyokong sektor pelayaran yang semakin berkembang di Klang serta mempertingkatkan aksesibiliti keseluruhan di Lembah Klang.
“Memandangkan ASEAN kekal sebagai pasaran utama, Tourism Selangor menyambut baik kerjasama berterusan dengan Batik Air bagi mengukuhkan pertumbuhan pelancongan serantau,” katanya.
Pertambahan rangkaian ini menekankan komitmen Batik Air terhadap perjalanan yang lancar dan capaian serantau yang lebih kukuh, sambil meningkatkan akses ke destinasi utama di Malaysia serta menyokong pertumbuhan pelancongan, ekonomi negara, dan integrasi yang lebih meluas di Asia Tenggara.
BACA: Batik Air Mempermudahkan Perpaduan Keluarga dengan Harga Tetap ke Sabah dan Sarawak
Batik Air turut menambahkan keseronokan dengan kempen istimewa “SAVE BIG THIS 12.12”. Para pelancong digalakkan menempah percutian 2026 mereka sekarang, dengan tawaran hebat bagi laluan domestik ASEAN yang popular.
SAVE BIG THIS 12.12
Tempoh Tempahan: 12 – 14 Disember
Tempoh Percutian: Sekarang – Jun 2026

Tawaran 72 jam ini menambahkan lagi momentum kepada pertumbuhan rangkaian Batik Air, memberikan pelancong lebih nilai dan pilihan ketika merancang perjalanan mereka untuk tahun hadapan.

Dengan capaian yang dipertingkatkan dan portfolio destinasi yang semakin berkembang, Batik Air terus meningkatkan pengalaman perjalanan, membolehkan orang ramai dekat dengan destinasi mereka.
Untuk maklumat lanjut dan untuk merancang perjalanan berikutnya, muat turun aplikasi mudah alih Batik Air atau layari www.batikair.com
The post Batik Air Kembangkan Rangkaian Dengan Laluan Baharu, Perkukuh Subang Sebagai Hab Bandar appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/12/batik-air-kembangkan-rangkaian-dengan-laluan-baharu-perkukuh-subang-sebagai-hab-bandar/