Bantah Jawi Dap Tunjuk Belang Cabar Ketetapan Kerajaan Pahang
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Lebih 60 tahun merdeka masih terkongkong rasa cauvinis?									  	 	   
 
		  			 			BANGI – Persatuan Lingustik Malaysia (PLM) menempelak tindakan ADUN DAP  Pahang yang memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang  mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di  negeri itu.
Meskipun membawa isu berkenaan ke  mahkamah pada fikiran sesetengah orang cara terbaik untuk menyelesaikan  masalah, Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata,  tindakan itu jelas menunjukkan belang sebenar DAP terhadap sesuatu yang  berunsur Melayu akan dibangkang habis-habisan.
“Apatah lagi pada anggapan mereka tiada  apa-apa keuntungan menggunakan tulisan Jawi malah mungkin menambah  seringgit dua bagi kos penyediaan papan iklan.
“Tulisan Jawi diguna meluas di Kelantan  dan juga negeri lain seperti Kedah oleh premis niaga termasuk milik  orang Cina sendiri sejak sekian lama.
“Tidak pun menjadi isu sebelum ini.  Adakah udang di sebalik batu, atau ada pihak yang ingin menangguk di air  yang keruh?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ironinya, kata beliau, selama ini DAP  tidak pernah membantah tulisan Jawi digunakan oleh syarikat milik orang  Cina atau bukan muslim pada produk mereka seperti minyak masak, makanan  dan lain-lain.
“Malah produk itu juga menggunakan nama  berunsur Melayu atau Islam dengan terang dan jelasnya. Ketara sekali  sikap opportunis yang mungkin dihayati oleh pihak berkenaan.
“Apa-apa sahaja yang menguntungkan, demi  wang ringgit akan tetap dan terus digunakan walau apapun gambarannya,  sama ada mengelirukan atau lain-lain.
“Setelah lebih 60 tahun merdeka, adakah  fikiran yang berkenaan masih lagi terkongkong dengan rasa cauvinis,  perkauman dan seumpamanya?,” soalnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut  mengingatkan untuk tidak menambahkan lagi masalah yang tidak sepatutnya  kerana banyak lagi isu perlu ditangani kerajaan seperti masalah ekonomi  serta pandemik COVID-19.
“Tidakkah anda berasa bertuah yang anda  tidak hidup di negara lain yang tidak akan memberi segalanya yang telah  anda dapat di negara ini?
“Jikapun anda tidak tahu bersyukur dan  tidak akan pernah berasa puas hati akan nikmat yang amat banyak di  negara ini, berterima kasihlah kepada kerajaan dan rakyat di sini yang  tidak menghalang untuk anda hidup dengan aman, makmur dan menjadi kaya  dengan hasil-mahsul di negara ini,” kata beliau.
Sebelum ini, ADUN Tras, Chow Yu Hui  memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk  mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di  negeri itu.
Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di  Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan  kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu,  sebelum ini.
Kerajaan negeri memutuskan semua premis  perniagaan dan papan tanda jalan di negeri itu menggunakan tulisan Jawi  berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.
Penggunaan tulisan Jawi adalah selari  dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang supaya  tulisan berkenaan diperkasakan di negeri berkenaan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/bantah-jawi-dap-tunjuk-belang-cabar.html