Bank Ditutup Bagi Proses Sanitasi Dan Langkah Pencegahan Covid 19
Penutupan sebuah bank di sini yang tular semalam adalah bertujuan untuk menjalankan proses sanitasi dan sebagai langkah pencegahan awal, susulan terdapat kontak rapat pesakit COVID-19 dalam kalangan kakitangannya.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil maklumat yang diperolehi, pihaknya mendapati kakitangan bank berkenaan adalah kontak rapat dengan pesakit COVID-19, ketika dia pulang ke Kedah pada Aidiladha lalu.
“Bagaimanapun kakitangan bank berkenaan yang bukan penduduk di Bagan Serai, tidak hadir ke sini setelah mengesyaki dirinya mengalami tanda-tanda awal COVID-19.
“Keputusan pihak bank itu membuat penutupan semalam, hanyalah sebagai langkah-langkah awal pencegahan dan tiada kakitangan bank itu dijangkiti COVID-19,” katanya pada sidang media di sini malam ini.
Semalam, tular di laman media sosial menunjukkan gambar notis penutupan bank itu sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai, yang bimbang akan penularan wabak pandemik berkenaan di Bagan Serai.
Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata, polis telah mengambil keterangan pemilik akaun laman sosial facebook yang telah mencetuskan kebimbangan, dengan memuat naik satu mesej mendakwa terdapat kluster baharu wabak COVID-19 di Kuala Kurau di sini baru-baru ini.
Katanya pemilik akaun facebook menggunakan nama ‘Siti Aminah Binti Ismail’, yang dicari pihak polis telah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Menurutnya, hasil siasatan ke atas wanita berusia 41 tahun berkenaan mendapati, beliau sebenarnya prihatin dan mahu penduduk di Kuala Kurau peka dengan wabak yang melanda negara, namun tersilap memberi maklumat.
“Semakan polis dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kerian mendapati, tiada kluster dari Singapura yang wujud di Kuala Kurau dan Kampung Parit Mat Ali, tetapi sebaliknya terdapat penduduk dari luar Kuala Kurau yang pulang dari negara itu, namun telah menjalani kuarantin di rumah.
“Penduduk tersebut bukanlah di Kuala Kurau atau di Parit Mat Ali, sebaliknya di kawasan lain dan tempoh kuarantinnya telah tamat pada 3 Ogos lalu, manakala hasil ujian mendapati dia negatif COVID-19,” katanya.
— BERNAMA
The post Bank ditutup bagi proses sanitasi dan langkah pencegahan COVID-19 appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/08/08/bank-ditutup-bagi-proses-sanitasi-dan-langkah-pencegahan-covid-19/