Banjir Termenung Sudah Lima Hari Kampung Padang Garam Masih Digenangi Air
 Bernama

Puteri  Yasmin berjalan di hadapan rumahnya yang ditenggelami air banjir  termenung ketika tinjauan di Kampung Padang Garam hari ini. -fotoBERNAMA MARANG: Meskipun cuaca kini telah kembali cerah dan panas sejak kira-kira empat  hari lepas, namun penduduk di Kampung Padang Garam di sini masih  'terperangkap' di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan paras air  di kawasan rumah masing-masing masih tidak banyak berubah
 Ia  merupakan satu fenomena yang dirujuk ramai sebagai 'banjir termenung',  apabila air bagaikan bertakung di seluruh kampung, tidak dapat mengalir  ke mana-mana
 Penduduk  kampung Napisah Said, 71, berkata beliau terpaksa tinggal di PPS  Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang di sini, sejak 24 Nov lepas iaitu  hari pertama banjir gelombang kedua melanda Terengganu sehingga ke hari  ini, berikutan rumahnya masih dinaiki air hingga ke paras pinggang
 "Pada hari pertama banjir, air naik ke rumah hingga paras dada, hari ini air baru surut ke paras pinggang
 "Bila  makcik tengok orang lain dapat pulang ke rumah makcik pun berasa tidak  sabar hendak pulang juga sampaikan makcik telah siap mengemas pagi tadi
 "Namun tengah hari tadi penghulu kampung beritahu tidak boleh balik lagi sebab air masih tinggi
"Kecewa  juga makcik kerana bosan tidak dapat berbuat apa-apa di sini (PPS).  Selalunya banjir 'termenung' antara seminggu hingga dua minggu
 "Paling  lama sebulan. Harapnya kali ini tidak lah sampai sebulan. Jika tidak  makcik pun turut 'termenung' sekali," katanya secara berjenaka ketika  ditemui Bernama di PPS SMK Merchang, di sini hari ini
 Warga  emas itu yang tinggal bersendirian berikutan lima anaknya telah  berkahwin dan menetap di kawasan lain berkata, banjir 'termenung'  merupakan situasi biasa yang dihadapinya sejak tinggal di Kampung Padang  Garam kira-kira 40 tahun lepas
 Napisah  berkata beliau juga tidak pernah membeli sebarang perabot seperti sofa  di rumahnya kerana enggan menanggung kerugian akibat rosak setiap kali  musim banjir
 Sementara itu Puteri Yasmin  Abdul Mubi, 29, berkata situasi banjir termenung itu turut  menenggelamkan kebun tembikainya seluas kira-kira dua hektar yang  terletak di sekeliling rumahnya
 "Hujan hanya turun dua hari sahaja tetapi hendak tunggu air betul-betul surut ambil masa lebih seminggu
 "Nasib  baik rumah saya tidak dimasuki air kerana rumah dibina tinggi tetapi  halaman rumah masih dinaiki air hingga ke paras betis
 Sementara  itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir  yang turut merangkumi Kampung Padang Garam berkata banjir termenung yang  menjejaskan kira-kira 16 penduduk dari tujuh buah rumah itu, berlaku  disebabkan kedudukan kampung itu yang terlalu rendah
 Selain  itu ia juga disebabkan aktiviti pembalakan pokok gelam yang terdapat di  sekitar Kampung Padang Garam oleh individu tidak bertanggungjawab  sehingga menyebabkan sistem perparitan tersumbat, sekali gus  mengakibatkan air dari kawasan banjir tidak dapat mengalir ke Sungai  Merchang
 "Sistem perparitan itu sering  dibaiki, tetapi selagi ada aktiviti pembalakan haram, masalah ini  (banjir 'termenung') tidak akan selesai
 "Mereka  yang membalak secara haram ini akan ambil batang-batang pokok gelam  yang besar manakala ranting dan daun-daun ditinggalkan begitu sahaja  menyebabkan air banjir oleh sisa-sisa pokok itu," katanya.-- BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/banjir-termenung-sudah-lima-hari.html