Bangkit Bela Nasib Masa Depan Ummah
ROSLAN SMS25 FEBRUARY 2019
KERJASAMA PAS dan Umno yang hari ini kita saksikan di PRK Semenyih dan sebelumnya di PRK Cameron Highlands bukanlah sesuatu yang dibuat-buat atau dilakon-lakonkan.
Ia sesuatu yang "real" yang telah berjaya merobohkan tembok permusuhan yang tebal yang telah memisahkan orang-orang Melayu lebih 6 dekad. Sengketa dan perbezaan politik ini telah memisahkan orang-orang Melayu dan kerjasama ini menemukan kembali dua anak kembar yang berpisah sekian lama (meminjam kata-kata Dato; Seri Utama Mohamad Hasan).
Semalam dalam satu majlis ceramah di Taman Tasik Semenyih, Setiausaha Umno Selangor yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Dato’ Johan Abd Aziz dengan jiwa yang besar bersempena kerjasama yang bersejarah ini telah memohon maaf secara terbuka kepada semua ahli dan pimpinan PAS atas segala perselisihan faham dan perbalahan yang tercetus antara kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara selama ini.
Saya yakin tindakan Dato’ Johan ini mencerminkan kesungguhan bukan hanya pada pihak Umno tetapi malah PAS juga untuk melihat kedua-dua parti melupa dan meninggalkan luka-luka lama sebaliknya atas nama kesatuan ummah bersatu dan melangkah gagah bersama demi membela nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.
Mendakapi suasana politik dalam negara yang sungguh panas dan mencabar dewasa ini kedua PAS dan Umno perlu insaf dan serius memacu kerjasama ini.
Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-'Anfāl: 61)
Nasib dan masa depan politik umat Melayu Islam kini terancam dengan melonjak naiknya PH yang diterajui DAP.
Siapakah yang mampu bangkit membela jika tidak PAS dan Umno? Sedarlah kita bahawa ikhtiar kerjasama antara pimpinan kedua parti ini sesungguhnya digerakkan oleh Allah SWT apabila semua pihak akur bahawa titik penyatuan kita adalah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.
Benarlah Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Al-'Anfāl: 63)
Hargai dan tatanglah penuh cermat hubungan keramat ini. Pupuk dan belai ia hingga menjadi kuasa yang bertenaga.
Moga Allah SWT anugerahkan kemenangan kepada kita hasil kesungguhan semua kita.
– HARAKAHDAILY 25/2/2019
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/02/bangkit-bela-nasib-masa-depan-ummah.html