Bandara Internasional Kualanamu Dan Prosedur Masuk Ke Indonesia
Bandara Internasional Kualanamu (KNO)
Bandara (bandar udara) = lapangan terbang
Besar dan selesa, banyak ruangan tempat duduk
Antara pilihan kedai menjual oleh-oleh yang terdapat di sini. Medan terkenal dengan pelbagai jenis kuih/kek. Bolehlah membeli Bika Ambon Zulaikha, Bolu Meranti, kek Napoleon dan lain-lain untuk dibawa pulang
Kemudahan tempat solat - musholla (biasanya kita panggil surau). Setakat pengalaman saya, musholla di Indonesia tidak ada ruangan bertutup yang terasing antara lelaki dan perempuan. Cuma ada pembahagi ruangan saja. Agak sukar bagi kita yang dah biasa buka pakai tudung di ruang tertutup. Begitulah, lain tempat lain cara
Balai berlepas. Ada kemudahan tandas dan tempat solat di sini
Perkara lain yang menarik perhatian saya - tahap kebersihan dan layanan petugas di tandas bandara. Kita masuk je akan disambut dengan ucap selamat, ditunjukkan pula tandas mana yang kosong, selepas kita basuh tangan di sinki ditunjukkan pula tisu di mana dan akhir sekali kita pula akan terima ucapan terima kasih sewaktu melangkah keluar. Saya yang tak mahu guna tisu (sebab lebih suka guna alat pengering tangan) pun terpaksa ambil tisu 😂
Begitulah setiap kali saya masuk tandas di bandara. Saya masuk beberapa kali sebab berjam lama saya berada di bandara menunggu penerbangan pulang. Setiap kali masuk, memang begitulah layanan diberi. Petugasnya juga sentiasa sibuk membersihkan lantai, sinki dan ruang tandas. Walaupun orang ramai, tetapi sangat bersih! Tahniah buat mereka yang tekun dan dedikasi bertugas 👍🏽
Rahsia tandas kekal bersih - petugas mesti sentiasa melakukan kerja pembersihan. Kalau petugas sibuk berborak ketawa beria atau kerap kita nampak duduk-duduk saja, fahamlah kita kenapa tandas tempat kita tak boleh nak bersih
Prosedur Masuk ke Indonesia
Saya catatkan di blog sebagai catatan memori dan mungkin panduan berguna bagi yang nak masuk ke Indonesia dalam masa terdekat. Sejak COVID-19 melanda, prosedur kemasukan ke setiap negara sentiasa berubah. Jadinya sebelum masuk, kita kena ambil tahu prosedur terkini demi mengelakkan sebarang masalah
Jadinya dokumen apa yang kita perlukan untuk masuk ke Indonesia? Selain pasport, kita cuma perlukan bukti vaksinasi lengkap dua dos. Nak mudah, boleh siap-siap muat turun sijil digital kita di aplikasi MySejahtera atau boleh juga terus print
Berikut langkah demi langkah sebaik kita tiba di bandara :Terus ke kaunter khas pemeriksaan bukti vaksinasi bagi pelawat bukan warganegara. Bagi warganegara Indonesia, mereka perlu ada aplikasi PeduliLindungi. Berikan pasport dan sijil digital vaksinasi kita untuk diperiksa.Seterusnya kita ke kaunter imigresen untuk pelawat bukan warganegara. Berikan pasport, buka masker (pelitup muka) untuk pengesahan wajah dan scan jari telunjuk kanan & kiri. Pasport kita akan ditampal dengan pelekat ‘stay permit’ untuk 30 hari, tertera tarikh masuk dan tempoh sah.Lepas tu kita perlu melalui kaunter kastam. Tak ada kertas borang, semua perlu isi secara online. Boleh buat di komputer tersedia atau buat di telefon sendiri. Lebih mudah jika kita isi siap-siap borang e-Customs Declaration (BC 2.2) sebelum sampai bandara. Nak isi awal boleh klik link DI SINI ya. Dah siap isi akan keluar kod QR, boleh muat turun atau screenshot. Tunjuk je kod QR di kaunter kastam.Dah selesai semua di atas barulah kita akan melalui pemeriksaan keselamatan.Selesai
Bagi yang tak melanggan internet roaming, jangan risau. Macam saya, guna je wifi di bandara untuk urusan di atas. Alhamdulillah laju tak ada masalah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/02/foto-bandara-internasional-kualanamu.html