Baki Akaun Tinggal Rm17 Kisah Dua Ayah Berjuang Cari Rezeki Pengakhiran Buat Ramai Sebak
“Baki Akaun Tinggal RM17”, Kisah Dua Ayah Berjuang Cari Rezeki & Pengakhiran Buat Ramai Sebak
Setiap manusia ada ujian hidup yang tersendiri. Ada hari terasa begitu berat untuk hidup diteruskan biarpun kaki tetap melangkah menempuh segalanya.
Ada pula saat yang memaksa kita menahan resah, memikirkan jalan bagi kelangsungan hidup dengan apa yang tinggal di tangan.
Namun, dalam pergelutan rasa di dada, ada kisah yang membuat kita terhenti seketika dan merenung kembali hakikat rezeki yang dicari saban hari.
Tanpa kita sedari, pemberian Tuhan tidak pernah lambat walau sesaat.
Begitulah pengalaman yang dilalui oleh seorang pempengaruh media sosial, Abu Hurairah Roslan, baru-baru ini.
Tatkala fikiran kusut memikirkan arah tuju mencari rezeki untuk dibawa pulang, sebuah pertemuan yang tidak diduga membuka jalan untuknya.
Ikuti perkongsian lelaki tersebut menerusi hantaran Facebook di bawah.
Ujian menimpa setelah sekian lama
Bulan ini, betul-betul menguji dan habis duit lagi. Kenduri adik perempuan. Kena keluar rumah dan cari rumah sewa baru. Selesaikan hutang pelanggan yang tak selesaikan ansuran laptop.
Hinggalah pagi tadi, baki akaun RM17. Dah lama Tuhan tak bagi rasa begini.
Tetaplah tenang keluar tadi. Bekerja macam biasa. Jawab mesej tanya tapi tidak membeli.
Dah jam 6.30 petang. Sebentar lagi maghrib. Terus ke surau. Nak bawa hati yang tidak tenang ini. Balik ni nak bawa rezeki apa pun tak tahu lagi.
Azan berkumandang. Sayu. Begini kot perasaan para ayah dan suami yang masih berjuang mencari rezeki.
Selesai semua, saya singgah ke satu kedai nasi lemak panas-panas. Ramai orang. Saya dapat satu sudut. Satu meja dan dua kerusi. Duduk dan pesan nasi lemak biasa dan air kosong. RM1.50 saja. Alhamdulilah.
Tiba-tiba datang satu lelaki.
“Bang, tumpang duduk boleh?”
“Eh sila-sila. Saya sorang je”
Dia buka jaket sebagai penghantar barangan. Nampak penat betul. Seharian bekerja ni. Saya saja tanya, “Kerja ok?”
“Alhamdulilah. Dapat RM20 tadi. Hahaha!”
Kami berdua gelak. Lupa yang saya pun ada RM17 je dalam akaun.
Panggilan yang mengundang hiba
Tengah makan, ada panggilan. Dia makan guna tangan kanan, jadi tangan kiri jawab dan guna “loudspeaker”
Satu je yang buat saya sebak. Lepas suaminya jawab salam isterinya tanya, “Abang ok?”
“Alhamdulilah! Ok! Saya makan jap. Dari pagi lupa makan”
Kedengaran suara anak-anak di hujung talian.
“Babah, nak nasi lemak paru. Adik pun nak! “
Masa ni berubah muka lelaki depan saya. Ya saya faham. Ada itu saja tapi bila anak isteri nak apa-apa, tak sampai hati kalau tak beri dan bagi.
“Boleh. Awak nak nasi lemak juga? “
“Boleh. Sedapnya nasi lemak panas-panas! “
Habis panggilan, saya bangun dan kata pada dia.
“Saya orderkan. Anak-anak saya pun nak nasi lemak ni.”
“Eh takpe bro. Banyak ni. Saya ada duit sikit ni.”
“Takpe. Saya belanja” sambil terus ke kaunter.
Saya lupa yang saya ada RM17 je. Wallahi saya lupa. Main pesan je. Habis pesan, baru teringat!
“Allahuakbar. Abu. Kau ada RM17 je tau.”
Masa ni darah dah naik kepala. Peluh tiba-tiba menitis. Ya Allah. Tak sedar.
“Ok bang. Siap, semuanya RM48.50.”
Yelah. Saya bungkuskan lelaki tu empat bungkus nasi berlauk. Campur bungkus untuk anak-anak di rumah.
Rezeki yang tidak diduga
Demi Allah, tiba-tiba saya nampak duit masuk. Pelanggan siang yang tanya laptop dah masukkan duit. Terus saya imbas dan bayar.
Menangis rasa. Ya Allah. Lelaki tu salam dan peluk saya.
Saya sebak. Dia pun sebak.
Kami berdua ada cerita sepanjang hari berjuang. Dia dapat rezeki itu. Saya menumpang berkat rezeki dia juga. Terus saya teringat pada pesan ini. Pesan Dari kawan saya sendiri.
“Kalau kau takut tentang rezeki, risau tentang hari esok, gelisah duit tak cukup, kau buat ni. Belanja orang makan. Tu je.
“Tak banyak pun takpe. Janji hiburkan orang. Kau tengok macamana Allah balas nanti.”
Allahuakbar.
Pulang dengan air mata yang tak henti.
Malu sungguh dengan Tuhan yang Maha Memberi.
BACA: Jemaah Haji Dirawat Di Makkah: RM500,000 Diperlukan Bawa Pulang Asmah Ke Malaysia
BACA: Sebak, Ibu Bapa Syukur Lihat Anak Perempuan Tamatkan Pengajian
BACA: Pulang Selepas Setahun, Gelagat Anggota Malbatt Lari Peluk Suami Buat Ramai Terharu
Sumber: Abu Hurairah Roslan The Solusi
The post “Baki Akaun Tinggal RM17”, Kisah Dua Ayah Berjuang Cari Rezeki & Pengakhiran Buat Ramai Sebak appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/14/baki-akaun-tinggal-rm17-kisah-dua-ayah-berjuang-cari-rezeki-pengakhiran-buat-ramai-sebak/