Bahasa Kurang Sopan Ubah Cara Komunikasi Remaja Masa Kini
BILA sebut bahasa kurang sopan, tergambar perkataan kotor, mencarut dan ayat-ayat maki hamun yang keluar daripada percakapan seseorang atau tulisan mereka di media sosial.
Bagi mereka yang diajar sejak kecil mengamalkan bahasa yang baik dan beradab, mungkin kurang senang jika ada yang berkomunikasi dengan bahasa yang kurang sopan dan tidak beradab.
Namun sejak akhir-akhir ini ramai yang seakan selesa berkomunikasi menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak berhemah di tempat awam, dan di media sosial. Ia seolah-olah trend komunikasi masa kini.
Penggunaan ayat-ayat dan perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah ini semakin berleluasa menjadi perbualan santai dalam kalangan masyarakat khususnya remaja.
Ia seakan diterima pakai dalam masyarakat bila perkataan yang kurang sopan itu menjadi biasa dalam perbualan harian atau ketika bergurau.
Umpamanya di kedai kedai makan dan di tempat awam kita biasa mendengar mereka bergurau sesama rakan sebaya dengan mengucapkan perkataan, seperti bodoh, sial, babi, mampus, anjing, sundal dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain yang mendengarnya.
Lebih menghairankan ramai dalam kalangan remaja beranggapan perkataan perkataan itu adalah satu bentuk komunikasi yang dilafazkan pada kawan kawan rapat sahaja dan ianya sekadar bergurau dan sebagai satu bentuk "mesra rakan".
Ia bukan bertujuan menjatuhkan maruah atau menghina.
Gurauan dan komunikasi santai yang menggunakan bahasa tidak sopan dan mencarut ini boleh diterima oleh rakan-rakan mereka selain ianya sebagai satu cara komunikasi menjalin persahabatan yang lebih akrab.
Tidak dinafikan adakalanya ayat-ayat yang disebut sangat memalukan khususnya di tempat awam, namun remaja masa kini seolah-olah sudah tebal dan kebal perasaan malu mereka.
Tanpa memikirkan perasaan orang sekeliling yang pelbagai kelompok umur mereka sewenang-wenangnya bergurau menggunakan bahasa yang sukar diterima halwa telinga.
Jika zaman penulis dulu memang sudah dicili mulut mereka atau merasa penampar sulung.
Selain itu di media sosial juga berlaku perkara yang sama.
Mengutuk dan menjatuhkan maruah orang yang tidak dikenali dengan perkataan kasar dan memalukan seakan budaya baharu masyarakat kita.
Lebih banyak perkataan mencarut dan lucah yang ditulisnya, lebih ramai yang komen dan memberi respons. Ianya seperti memeriahkan komunikasi di maya.
Sebagai orang lama yang sangat kagum pada kehalusan budi dan tutur cara berkomunikasi masyarakat dulu yang sentiasa berlapik dan berhati-hati bila bercakap, perkembangan budaya bahasa kasar dan kurang sopan ini amat terkesan dalam jiwa penulis.
Sejujurnya penulis tidak dapat menerima budaya bahasa kurang sopan dan mencarut yang semakin berleluasa dipertuturkan dan ditulis dalam media sosial.
Penulis membuat kajian rambang mengenai isu ini dan seramai 30 remaja dalam lingkungan umur 17 hingga 22 tahun ditemuduga untuk mendapatkan pandangan mereka.
Dapatan kajian merumuskan mereka bersetuju penggunaan bahasa kasar dan tak beradab sesuatu yang tidak baik untuk dipraktikkan, namun mereka berpendapat perkataan sedemikian tidak ada motif lain, ianya hanya digunakan dalam kalangan kawan-kawan dan sebagai satu bentuk gurauan dan merapatkan hubungan persahabatan antara mereka.
Sebahagiannya juga memberitahu mereka hanya guna bahasa kasar dan kurang sopan dalam kalangan rakan-rakan sebaya yang rapat sahaja.
Mereka tidak akan gunakan bahasa tidak bersopan pada ahli keluarga dan guru-guru mahu pun orang yang lebih tua dari mereka.
Kebanyakannya tahu kepentingan berbahasa dengan berhemah, kerana mereka diajar oleh ibu bapa, guru dan pendidik yang lain.
Namun bila berjumpa rakan-rakan sebaya mereka terikut trend berbahasa zaman ini yang banyak dilihat dan ditiru daripada media sosial dan televisyen.
Ada juga remaja yang berpendapat mereka tidak faham mengapa orang tua ada lesen besar untuk mencarut dan memaki hamun sedangkan orang muda perlu lebih banyak berhemah dalam perbualan dan komunikasi mereka.
Bagi mereka orang tua perlu beri contoh baik untuk mereka ikut dan bukan menyalahkan mereka yang muda.
Dalam kajian yang sama pula golongan dewasa berpendapat bahasa dan gaya pertuturan remaja masa kini adalah berdasarkan pengaruh keluarga mereka dan persekitaran mereka membesar.
Ada ibu bapa yang menunjukkan contoh yang kurang baik dengan mencarut dan bercakap perkara-perkara yang tidak sopan di depan anak-anak.
Berdasarkan konsep kepimpinan melalui teladan, contoh yang diberi ibu bapa adakalanya membuatkan anak-anak ini merasa selesa untuk mencarut bila ibu bapa mereka begitu ringan mulut memaki hamun dan mencarut.
Ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki dan nafkah hidup adakalanya tidak sempat mengajar nilai murni pada anak-anak mereka.
Disebabkan itu anak-anak tidak mendapat didikan yang betul tentang berbahasa dan berkomunikasi.
Adakalanya anak-anak seawal umur enam atau tujuh tahun sudah pandai mencarut dan memaki hamun rakan-rakan sekolah dengan perkataan yang hanya biasa diucapkan oleh orang dewasa.
Selain itu konsep kejiranan juga semakin longgar. Untuk menegur anak-anak jiran seperti anak-anak sendiri juga sudah tidak dipraktikkan lagi zaman ini. Silap tegur pasti buruk padahnya.
Sikap individualistik juga semakin tinggi. Jiran sebelah rumah pun kadang tidak bertegur sapa.
Mendidik anak-anak diberikan pada pihak sekolah yang terlalu banyak tanggungjawab lain. Akhirnya anak-anak ini membesar dengan cara mereka sendiri.
Mereka tidak harus dipersalahkan seratus peratus, mereka perlu dibimbing.
Selain itu pengaruh besar media sosial dalam kehidupan remaja juga menjadi punca bahasa kurang sopan ini dipraktikkan tanpa rasa bersalah.
Bila media setiap hari memomokkan bahasa kurang sopan dalam rancangan TV di youtube dan media sosial yang lain, para remaja beranggapan ianya sesuatu yang biasa dan diterima masyarakat.
Mereka terikut perkembangan berbahasa masa kini yang sudah tidak mementingkan kesantunan bahasa.
Kesimpulannya, trend bercakap kurang sopan dan mencarut dalam kalangan remaja harus diberi perhatian yang lebih serius oleh ibu bapa, masyarakat, pendidik dan pihak berkuasa.
Peranan ibu bapa harus digandakan dan mereka adalah role model terbaik untuk dicontohi oleh anak-anak.
Pihak sekolah perlu lebih banyak memberi peluang kepada pelajar mempelajari adab dalam berkomunikasi di sekolah dan memberi panduan yang betul untuk mengamalkan komunikasi berhemah.
Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling perlu lebih peka terhadap masalah ini dan membantu remaja supaya mereka boleh mengamalkan bahasa yang baik dan bersopan.
Sayangi anak-anak jiran seperti kita sayangi anak-anak kita sendiri.
Sudah tiba masanya masyarakat kita memperkasakan kesantunan bahasa dalam kehidupan.
Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang sentiasa menjadi pegangan masyarakat sejak dulu.
Jika dibiarkan budaya mencarut dan bahasa kurang sopan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita ia bakal menjadi barah yang merosakkan keharmonian komunikasi dalam masyarakat kita.
Pepatah mengatakan “ bahasa menunjukkan bangsa” jelas memperlihatkan kaitan bahasa yang baik dengan ketamadunan bangsa. Justeru bila zaman berubah manusia juga perlu berubah sejajar perkembangan peradaban manusia.
Namun nilai nilai murni tidak seharusnya hilang dan lenyap ditelan kepesatan teknologi. Apa pun tepuk dada tanya akal boleh kah kita menjadi generasi maju bila sesuatu yang baik seperti kesantunan bahasa dan nilai kemanusiaan digadaikan.
KREDIT :
*Hariyati Ariffin Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/57798/KHAS/Pendapat/Bahasa-kurang-sopan-ubah-cara-komunikasi-remaja-masa-kini
LINK : SINAR HARIAN
Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.lamanqaseh.com/2022/01/bahasa-kurang-sopan-ubah-cara.html