Bagaimana Integrasi Tercapai Jika Anak Melayu Ke Sjkc
Oleh Athirah Huda Zalhe Perkasa sekolah kebangsaan, satu aliran jadi mekanisme perpaduan

BANGI – Bagaimana negara mampu mencapai integrasi nasional jika bangsa asal  yang juga rakyat majoriti lebih berminat menghantar anak ke sekolah  jenis aliran Cina.
Ahli  Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Zaizul Azizi  Zaman berkata, kerajaan sepatutnya berusaha memperkasakan sekolah  kebangsaan atau satu aliran untuk menjadi satu mekanisme integrasi.
Beliau  berkata, integrasi nasional hanya boleh dicapai sekiranya sistem  pendidikan diintegrasikan, bukan dibiarkan berpecah dan terpisah.
“Kenapa  kita nak capai integrasi melalui kehendak bangsa asal memahami bangsa  asing? Integrasi nasional perlu bertunjangkan identiti bangsa asal.
“Saya  percaya orang Cina di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS)  tidak akan paksa bahasa Mandarin jadi bahasa kebangsaan. Jadi, kenapa  kita perlu capai integrasi melalui SJKC?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Semalam, satu artikel yang disiarkan Ismaweb.net bertajuk ‘Sekolah aliran Cina ganti sekolah kebangsaan?’, meluahkan  kebimbangan terhadap dominasi sistem pendidikan Cina di negara ini.
Artikel  yang ditulis Ketua Editor Fokus, Asyraf Farique itu menyatakan, data  peratusan pelajar Melayu yang mendaftar di sekolah Cina meningkat setiap  tahun.
“Situasi  ini sangat membimbangkan, jika tiada sebarang langkah drastik dan  struktural yang dilakukan oleh pemegang taruh, sistem pendidikan  kebangsaan bakal terhapus tidak lama lagi,” kata Asyraf.
Turut  meluahkan kebimbangan yang sama, Zaizul yang juga aktivis masyarakat  berkata, sudah tiba masanya kerajaan sekarang mengambil serius isu  integrasi nasional dalam erti kata sebenar.
“Setelah  lebih 60 tahun merdeka, kita masih gagal mencapai integrasi, sebaliknya  setiap kaum mengembangkan identiti sendiri yang menjadi penghalang  kepada integrasi.
“Contoh  yang kita nampak hari ini, bagaimana boleh lahir generasi ketiga bangsa  Cina yang tidak mampu bertutur langsung dalam Bahasa Kebangsaan? Macam  mana kita nak capai integrasi kalau pada peringkat komunikasi asas pun  gagal mewujudkan satu bahasa yang boleh dikongsi bersama,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/bagaimana-integrasi-tercapai-jika-anak.html