Bagaimana Cara Allah Makbulkan Doa Kita
Bagaimana cara Allah makbulkan doa kita?
Perkara ini memerlukan penjelasan yang tersirat.
Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu.
Tetapi di sisi Allah mempunyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.
Bagi menyingkap rahsia itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturrahim atau memohon disegerakan.
Maka sahabat berkata, ‘Ya Rasulullah, bagaimana doa minta segera itu?
Baginda bersabda, ‘Seorang itu berdoa, aku berdoa Tuhanku, maka perkenanlah segera'”
— Riwayat al-Tirmizi no 3968
Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dimakbulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan yang meliputi:
1. Doa Itu Dimakbulkan Serta-Merta
Kebanyakkan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dimakbulkan serta-merta.
Doa Rasulullah SAW menjelang perang Badar misalnya dikabulkan oleh Allah serta-merta.
Begitu juga doa Ibn Abbas r.a ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dasyat.
Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.
Begitu juga dengan cerita tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua, sepertimana yang diceritakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur.
Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah seorang mereka selesai berdoa.
Inilah bukti jaminan Allah melalui firmanNya:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.
— Surah al-Baqarah 2: 186
2. Allah Makbulkan Doa Pada Waktu Lain
Acapkali juga sesuatu doa walaupun baik, datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik — tetapi Allah tangguhkan ke waktu yang lain.
Hal ini demikian kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu.
Allah sengaja berbuat demikian untuk menguji hambaNya, sehingga seorang hamba itu telah bersedia untuk menerima nikmat-nikmat daripada Allah.
Misalnya, Allah mengurniakan kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu rasa syukur, supaya tidak akan menjadikannya kufur dengan kekayaan.
Allah kurniakan kekuasaan setelah dalam hati seseorang itu ada rasa tawadduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.
Jika tidak bersedia, dibimbangi nikmat itu boleh bertukar menjadi bala.
Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang yang derhaka kepadaNya.
Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan pemberianNya kerana kasih sayangNya terhadap seseorang.
3. Dihindarkan Daripada Bahaya
Doa kita kadang-kadang dimakbulkan Allah dengan cara dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang.
Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan.
Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya.
Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.
Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar.
Mengapa?
Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain.
Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta.
Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik.
Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?
Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firmanNya:
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
— Surah al-Baqarah ayat 216
4. Allah Berikan Sesuatu Yang Lebih Baik Di Akhirat
Hidup di dunia cuma sementara.
Akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.
Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini.
Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.
— Surah al-A’laa ayat 17
Sebagai perbandingan:
Sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia.
Mengapa?
Hal ini demikian kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia.
Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.
Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, doa itu akan dikabulkan diakhirat kelak, InsyaaAllah.
Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi.
Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat.
Kekayaan di akhirat bererti syurga.
Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa.
Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan berterus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.
Banyak doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya adalah untuk hari akhirat.
Doa minta dimatikan dalam iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan tidak ditempatkan bersama-sama orang yang zalim.
5. Kifarat Kepada Dosa-Dosa
Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan.
Dosa ialah pendinding daripada mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah.
Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat.
Malah untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.
Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya?
Bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari?
Itu lebih sukar diatasi.
Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya?
Maka disinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT.
Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah SWT.
Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangiNya.
Tanda Allah sayang kepadanya adalah dengan mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun.
Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-‘Afuw (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Pengampun) Allah SWT.
Salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hambaNya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.
Penutup: Jangan Berdoa Tanpa Bertahmid dan Berselawat
Ulama ada menjelaskan bahawa sesuatu doa itu tidak akan dimakbulkan tanpa bertahmid (memuji) kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Tanpa rasa syukur, sukar doa kita itu didengar dan seterusnya diperkenankan oleh Allah SWT.
Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
— Surah Ibrahim ayat 7
Yang paling utama ialah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah SWT.
The post Bagaimana Cara Allah Makbulkan Doa Kita? appeared first on AKU ISLAM.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuislam.com/blog/ibadah/cara-allah-makbulkan-doa/