Badut Kini Terpaksa Tinggal Dalam Kereta
Memang menyedihkan, namun begitulah nasib menimpa pemain cosplay dan badut, Yulius Atma Negara Thamrin dan isterinya yang tiada tempat tinggal dan berteduh di dalam kereta sejak setahun lalu.
Ia berikutan Yulius, 30, yang mesra disapa Yan tidak menerima tawaran untuk membuat persembahan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Lebih menambah derita apabila Yan mengalami masalah kesihatan iaitu komplikasi paru-paru yang menyebabkannya terpaksa berehat pada Oktober lalu bagi menjalani pembedahan disyorkan doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Yan berkata, sejak hilang punca pendapatan, dia tiada pilihan kecuali tinggal dalam kereta dan pernah diberi menumpang di rumah rakan untuk tempoh sebulan.
Menurutnya, baru-baru ini, dia dan isteri tinggal di flat tidak berpenghuni dekat Ulu Tiram, tetapi hanya dapat berteduh di situ selama seminggu sebelum diminta mengosongkan kediaman berkenaan bagi mematuhi notis dikeluarkan pemaju.
YAN kini bekerja sebagai penghantar tong barbeku. FOTO Yulius Atma Negara Thamrin.
“Saya mencari rezeki sebagai pemain cosplay sejak lima tahun lalu bermula dengan bekerja dengan satu syarikat sebelum berhenti untuk bergerak sendiri.
“Selepas bergerak solo, saya cuba cari makan sebagai badut walaupun tiada pengalaman langsung hingga pernah ditertawakan kerana solekan luntur ketika hari pertama menjual belon di satu kawasan.
“Namun, saya tidak putus asa dan hasil tunjuk ajar seorang sifu badut dikenali Mat Jeng Jeng, saya bergerak aktif hingga menerima banyak tawaran dan pernah meraih RM30,000 dalam sebulan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Meskipun pendapatannya bergantung dengan tawaran, Yan seronok kerana dapat menghiburkan orang ramai dan melakukan kerja diminatinya.
Namun, segalanya berubah apabila Yan diuji dengan masalah rumah tangga dan kesihatan yang mengganggu tumpuannya terhadap kerja.
Katanya, keadaan itu menyebabkan rakannya menjauhkan diri dan ada dalam kalangan mereka menuduhnya gila.
“Saya pernah dua kali kecundang dalam rumah tangga dan dikurniakan tiga anak hasil perkahwinan terdahulu, namun anak sulung meninggal dunia.
“Bagaimanapun, jodoh saya dipermudahkan apabila dapat berkahwin kali ketiga dengan seorang wanita, cuma masalah peribadi menyebabkan kami tidak tinggal sebumbung buat masa ini.
“Kini, saya tinggal bersama seorang lagi isteri, tetapi kami tidak mampu menyara anak dan menghantar mereka ke kampung untuk dijaga keluarga buat masa ini,” katanya.
Menurutnya, dia dan isteri terpaksa berbuat demikian kerana mereka tiada kerja tetap buat masa ini dan dan hanya mengambil upah menghantar tong barbeku.
Katanya, sebagai bapa, dia tidak sanggup melihat anak berlapar serta tinggal di dalam kereta sepertinya.
“Saya sudah menemui bilik untuk disewa, cuma risau memikirkan cara mendapatkan wang untuk kelangsungan hidup.
“Agak sukar untuk tinggal dalam kereta bagi jangka masa panjang kerana saya kini mengambil upah membuat penghantaran barang.
“Jadi, saya ambil keputusan berpindah ke bilik sewa, hari ini cuma kerja saya memerlukan wang sebagai modal untuk mengisi minyak kereta kerana perlu menghantar barang kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, ada rakan cosplay, Mohd Shaifuddin Rahmat, 38, serta rakan lain tampil membantu selepas mengetahui kisahnya di laman sosial.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Yan di talian 011 13311501.-HM
Sumber: HM / The Voice
The post Badut kini terpaksa tinggal dalam kereta appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/03/02/badut-kini-terpaksa-tinggal-dalam-kereta/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=badut-kini-terpaksa-tinggal-dalam-kereta