B40 Terpaksa Catu Makanan Kami Tiada Pilihan Lain Suri Rumah
mediaprima.com.my
Sri Ayu Kartika Amri
[email protected]HARGA beras naik mendadak di pasar raya. FOTO Fathil Asri
Kuala Lumpur: Kenaikan mendadak harga beras membebankan bukan sahaja golongan B40 malah hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang terus dihimpit peningkatan kos sara hidup, seolah-olah tiada berpenghujung.
Isu terbabit dilihat terus menjadi masalah utama membelenggu masyarakat meskipun kerajaan menyatakan akan mengambil tindakan segera.
Pengguna, Rohani Omar, 50, meluahkan kekecewaannya kerana harga beras tempatan jenama Nagasari yang sebelum ini dibeli pada harga RM25 bagi 10 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM40.
Katanya, dia hanya suri rumah dan suami bekerja sebagai tukang kebun berpendapatan RM1,500 sebulan terpaksa mencatu makanan kerana kenaikan harga beras yang mendadak.
"Kami tiada pilihan lain kerana sebelum ini kami hanya mampu membeli beras yang paling murah. Sekarang naik melampau, itu baru beras, belum lagi harga ayam dan telur sama naik," katanya kepada Harian Metro.
Bagi Mustafa Rusdi, 48, dia yang membeli beras wangi import turut merasakan kenaikan ketara kos perbelanjaan bulanannya.
Menurutnya, peningkatan itu sangat membebankan kerana beras adalah makanan utama rakyat negara ini.
"Saya terkejut apabila hendak membeli beras, kalau sebelum ini harga beras import wangi yang paling murah antara RM40 ke RM42 (10 kg), sekarang harga mencecah RM60 hingga RM70 dan stok beras memang selalu tiada.
"Susah nak dapat beras yang harga murah, mahu tak mahu terpaksa beli. Kalau tunggu pasar raya buat promosi pun harga beras masih tinggi berbanding sebelum ini.
"Pernah sampai satu tahap, saya terpaksa pergi ke setiap pasar raya berdekatan untuk membuat perbandingan harga beras yang lebih murah," katanya.
Sementara itu, peniaga runcit, Mohammad Afif, 34, berkata, stok beras di kedainya selalu habis dan hanya mendapat jumlah beras yang terhad dari pembekal.
Sebagai peniaga runcit, pihaknya hanya mampu menjual beras tempatan lima kilogram kerana perlu membeli bekalan secara tunai dan memerlukan modal yang besar.
"Baru hari ini, kami dapat 20 pek beras tempatan Faizah (5 kg) itu pun selepas tunggu lama," katanya.
Mohammad berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi subsidi beras sama seperti minyak masak dan tidak membenarkan warga asing menikmati kemudahan subsidi berkenaan.
Menurutnya, Malaysia perlu tegas terhadap warga asing yang turut menikmati barangan subsidi.
Disiarkan pada: September 17, 2023 @ 1:46pm
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/09/b40-terpaksa-catu-makanan-kami-tiada.html