Ayob Khan Terima Ancaman Sindiket Penyeludupan Pati
    Oleh Mohamed Farid Noh 

 Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin JOHOR  BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerima  beberapa ancaman daripada sindiket Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)  antarabangsa berikutan ketegasan Polis Johor menggempur rangkaian  sindiket berkenaan di negeri ini.
Bagaimanapun, Ayob Khan menyifatkan ancaman yang diterimanya itu adalah lumrah anggota penguat kuasa.
Beliau  menegaskan tidak akan sesekali tunduk dengan ancaman yang diterima,  malah akan terus memperhebatkan operasi bagi mengekang kegiatan  penyeludupan masuk atau keluar PATI.
"Memang ada usaha  untuk mengambil tindakan ke atas saya termasuk ancaman diberikan. Ada  menerusi WhatsApp, mesej dan Facebook juga.
"Itu adalah  lumrah. Apa yang penting kita berhati-hati dalam apa juga tindakan, kita  berjaga-jaga dan yang selebihnya serah pada Allah. Selagi kita ikhlas  berkhidmat, jangan takut. Kalau takut jangan jadi pegawai polis.
"Jadi guru, jadi wartawan pun ada yang terima ancaman. Itu biasa, jadi tuan-tuan jangan bimbang jangan takut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Sehingga  kini, polis Johor sudah menahan lebih 20 pegawai dan anggota agensi  penguat kuasa di negeri ini termasuk pegawai kanan polis, pegawai  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain pegawai Jabatan Imigresen  berikutan mereka bersengkongkol dengan rangkaian sindiket antarabangsa  menyeludup PATI dan jenayah.
Mengulas  lanjut, Ayob Khan berkata, kekerapan operasi bersepadu mengekang  sindiket menyeludup PATI di Pantai Timur Johor kini menjadikan hampir 95  peratus kawasan itu kini bersih daripada kegiatan penyeludupan migran.
"Kita akan menumpukan pula usaha untuk melumpuhkan kegiatan sindiket imigran di Pantai Barat Johor pada masa ini, " katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/ayob-khan-terima-ancaman-sindiket.html