Awak Keluar Dulu Kata Kata Terakhir Mangsa Maut Kereta Terbakar Pada Suami
Redzuan Jamil (dua dari kanan) menerima ucapan takziah daripada sanak saudara selepas selesai upacara pengebumian Nurul Nazihah Kamalul Arifin hari ini. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: “Awak keluar kereta dulu,” itu kata-kata terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sebelum maut akibat terperangkap dalam keretanya yang terbakar selepas kemalangan melibatkan empat kenderaan di KM45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Sedenak, Kulai, malam tadi.
Sambil menahan sebak, suami mangsa, Redzuan Jamil, 28, berkata dia berjaya dibawa keluar orang awam, sebelum dia dan orang awam cuba membawa keluar isterinya yang masih tersepit di dalam kereta.
“Ada kemalangan di hadapan saya dan keadaan tengah sesak ketika itu. Tiba-tiba saya sedar ada impak dari belakang apabila lori lima tan rempuh kereta saya dan dua kereta lain. Saya cuba selamatkan isteri saya dengan memecahkan cermin hadapan dan pintu sebelah isteri saya, tapi tak berjaya kerana dia tersepit dekat ‘dashboard’ dan waktu itu isteri saya masih sedar.
“Selepas itu, tangki kereta saya meletup dan ada orang bawa saya keluar dari situ. Ketika itu, saya tak dengar isteri panggil nama saya dan saya rasa mungkin dalam tu tak panas, dia tak panggil nama saya nampak diam saja,” katanya dipetik Bernama ketika ditemui di kediaman bapa mentuanya di Kampung Lukut dekat Kota Tinggi hari ini.
-ADVERTISEMENT-Ads by
Redzuan, yang mukanya terluka akibat kemalangan itu berkata, isterinya tidak menunjukkan sebarang kelainan atau perubahan sebelum kemalangan, namun pemergiannya sangat dirasai kerana sepanjang tiga tahun bersama, mereka tidak pernah berjauhan, sebaliknya sentiasa menghabiskan masa bersama.
“Tengah hari semalam, saya dari rumah di Kota Masai sebelum ke Kluang jumpa ‘client’. Saya dan isteri kemudiannya bercadang nak ke Gelang Patah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.”
Kamalul Arifin Ahmad (duduk depan, tiga dari kiri) bersama ahli keluarga terdekat mendengar bacaan talkin di pusara anaknya, Nurul Nazihah, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama. (Gambar Bernama)Dalam pada itu, jenazah Nazihah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi kira-kira 3.40 petang tadi.
Lebih 100 ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai membanjiri kawasan tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid An-Nur Kampung Batu Empat, Kota Tinggi, sebelum dibawa ke kediaman ibu bapanya di Kampung Lukut.
Semalam, tular video menunjukkan seorang lelaki meraung kesedihan dipercayai akibat isterinya masih terperangkap di dalam kereta yang sedang terbakar di lebuh raya.
Nazihah, 28, bersama seorang lagi individu yang belum dikenal pasti identitinya dilaporkan maut, manakala empat terselamat dalam kemalangan dekat Sedenak pada 7.47 malam.
Wanita itu ditemui tersepit dalam Proton Wira, manakala seorang lagi mangsa dalam Toyota Vios. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/10/awak-keluar-dulu-kata-kata-terakhir.html