Autisme Dan Rujukan Filem
Setiap 3 December, merupakan Hari OKU sedunia.
Maka selamat datang aku ucapkan kepada anakku Muhammad Iman ke dunia Autism.
Baru di sahkan oleh doktor pakar yang anak aku seorang OKU.
Syukur dengan ujian ini sebab masih banyak nikmat hidup yang lain boleh digunakan sebagai bahan tambahan untuk mensyukuri ujian ini.
Bagi mereka yang belum tahu, Autisme ni adalah sejenis kecacatan neurologi, iaitu pada luaran si anak nampak sihat, tapi cara mereka berfikir dan berkomunikasi atau memahami dunia adalah sangat berbeza.
Sebab tu waktu korang jalan-jalan dan tiba tiba ada nampak budak mengamuk dengan sangat kuat walaupun ibu bapa dah pujuk tapi masih mengamuk, jangan cepat korang viral di facebook konon si ibu bapa tak reti jaga anak, lepas tu tulis jika anak aku, sekali jeling dah senyap. Perghhh, bongkaknya.
Jangan berlagak dengan kejahilan diri, sebab Allah belum uji korang dapat anak Autisme lagi.
Si anak Autisme ni selain suka mengamuk, mereka juga suka menggigit, sangat aktif, tidak kenal takut atau bahaya dan suka bermain hingga ke subuh. Memang penat sangat ibu bapa bila ditakdirkan mendapat anak Autisme ini. Tapi anggaplah ini sebagai senaman jasmani dan rohani, bila penat itu tanda nak sihat-Woha!
Anak Autism juga tak bercakap atau sangat lambat dapat bercakap, tak suka dipeluk, dan jika mampu bercakap, tak mampu menjawab soalan dengan betul. Cara mereka faham dunia tak sama macam kita yang normal.
Jika rujuk filem Jibam, begitulah susahnya ibu bapa nak jaga anak yang unik ini. Juga filem Redha, yang mana perasaan sayang Razlan terhadap anaknya semakin lama bertukar benci apabila mendapat tahu anaknya menghidap penyakit autisme. Juga filem Jet Li tak berkungfu, Ocean Heaven, kisah seorang bapa yang ada penyakit kanser dan cuba ajar anak autism berdikari sebelum beliau mati. Anaknya diajar naik bas dan pergi kerja sapu sampah, tapi sangat susah nak didik jika tak kena dengan cara.
Dalam filem Unleashed (also known as Danny the Dog) juga lakonan Jet Li sebagai budak Autism, telah disalah didik oleh penjahat dan beliau menjadi pakar membunuh yang sangat dahsyat hinggalah Jet li bertemu bapa angkat Morgan Freeman seorang buta yang mengajar Jet Li kembali menjadi manusia.
Boleh juga rujuk Filem Rain Man lakonan Tom Cruise yang bersusah payah hidup bersama abangnya seorang Autism.
Begitulah sedikit gambaran suka duka kehidupan ibu bapa sewaktu dapat anak Autisme. Selalu jika bersembang dengan ibu bapa yang ada anak autisme, mereka sedang menunggu-nunggu si anak dapat memanggil mereka “ibu” buat pertama kali sebab anak autism lambat mengenal ibu bapa sendiri. Sedih kan?
Anak saya Alhamdulillah, sudah memanggil nama ibu bapanya sewaktu berumur 4 tahun, namun sekarang masih tidak mampu membuat ayat, dan menjawab dengan jawapan yang salah. Pelan pelan kayuh.
Korang mungkin ada pernah baca kisah bapa yang tak faham anak ada autism lalu hilang sabar dan pukul si anak, anak tak faham kenapa dia dipukul, si anak menangis dengan matanya bersinar tidak mengerti, kenapa saya dipukul dan dimarah? Melihat mata ini, sibapa insaf, lalu bila berjumpa doctor dan disahkan anak ada autisme, sibapa rasa sangat bersalah memukul si anak lalu berhenti kerja dan bagi masa pada anak sepenuhnya untuk memahami dunia si anak.
Selang beberapa tahun, anak yang tak tahu bercakap, sewaktu masuk tidur, dalam kepenatan si bapa berkata; “Nanti jumpa Tuhan, bawalah ayah masuk syurga” tiba tiba anak menjawab: “Boleh ayah” terus si ayah menangis.
Alamak, kenapa mata masuk habuk pulak ni.
Pada masa kini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat dipulihkan. Diagnosis dan latihan awal amat penting bagi perkembangan masa hadapan kanak-kanak autism agar mereka boleh hidup berdikari, maka bantulah bagi sokongan moral dan lain lain bantuan kepada ibu bapa yang ditakdirkan Allah mendapat anak autisme ini.
Sungguh, Tuhan menduga mereka, dan Tuhan juga akan menduga kita, setiap orang akan mendapat potongan kek masing masing, semua ini adalah ujian hidup di pentas dunia. Dan Syurga dihias indah berdasarkan keimanan, kesabaran, keredhaan, dan kesyukuran kita.
Nikmat terbesar selepas mati adalah bila kita dapat masuk syurga bersama-sama satu keluarga. Semoga kita semua mendapat nikmat ini.
kepada Iman anak ku, ayah tanya soalan, banyak yang kamu diamkan, mata nak jawab tapi lidahmu kelu, ayah cadang, simpan sahaja semua jawapan soalan ayah nanti di syurga sebab kat sana kita borak panjang panjang. InsyaAllah.
Woha!
Buju Kurung Exclusive Untuk Wanita Berkerjaya
Terbongkar Cara Blogger Dapatkan Organic Traffic Unlimited.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://thetrendingnow.blogspot.com/2018/12/autisme-dan-rujukan-filem.html