Asal Bukan Bn Bukan Kaedah Perjuangan Islam
Oleh : Nasrudin bin Hassan
1. Saya pernah terpesona dengan slogan “Asal Bukan UMNO” atau ABU yang dilancarkan pada era gabungan politik Pakatan Rakyat. Waktu itu, semua jenis “senjata” dan semua komponen gabungan PR, menghala serangan pada UMNO.
2. Alhamdulillah, dipertengahan jalan saya segera menyedari bahawa perjuangan Islam yang didukung oleh PAS sangat tidak sesuai dengan slogan “Asal Bukan UMNO.” Lalu saya bangkit membantahnya.
3. “Asal Bukan UMNO” yang diperjuangkan pada masa itu memang sangat memukau anak-anak muda yang marah pada UMNO pada waktu itu. Tetapi tanpa disedari, pemikiran “Asal Bukan UMNO” ini menjadi barah yang membunuh semangat perjuangan Islam dari dalam.
4. Mudahnya, “Asal Bukan UMNO” tidak sekadar membina pemikiran dan sikap menolak UMNO dalam pilihanraya tetapi juga telah meresapkan satu pemikiran bahawa sosialis pun tak mengapa “Asal Bukan UMNO”. Liberal pun tidak salah “Asal Bukan UMNO”.
5. Akhirnya, daripada membina sikap menolak UMNO telah merebak kepada sikap yang lebih teruk dan merosakkan iaitu menerima sosialis, liberalis serta lainnya. Tentu saja ia memburukkan lagi keadaan. Kerana sekurang-kurang UMNO itu masih muslim.
6. Kini kedengaran pula usaha untuk membina kembali slogan yang serupa iaitu “Asal Bukan BN”. Tujuan utama mereka ialah untuk mengalahkan BN dalam PRU akan datang.
7. Lalu atas semangat “Asal Bukan BN” ini, gabungan baharu parti-parti politik dijangka akan dibentuk. Bahkan mereka boleh menerima komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan lainnya demi mengalahkan BN.
8. Slogan “Asal Bukan BN” sekali lagi akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada perjuangan Islam. Hanya kerana mahu menewaskan BN dalam PRU akan datang, maka tidak mengapalah kembali merangkul DAP dan pejuang-pejuang sosialis dan liberalis.
9. Pada hemat saya, slogan ini sekali lagi merosakkan semangat perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Bahkan sangat tidak sesuai dengan pendekatan semasa politik PAS yang masih bersama Muafakat Nasional.
10. Apa yang layak dan wajar dengan semangat Penyatuan Ummah yang diperjuangkan oleh PAS ialah “Asalkan Islam”. Justeru PAS adalah sebuah gerakan yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara Islam.
11. Islam mesti diperjuangkan dan diusahakan sehabis daya agar menang. Pelbagai pendekatan dan strategi boleh direncana oleh para strategis selama mana ia tidak bercanggah dengan syariat dan tidak merosakkan semangat perjuangan Islam.
12. Terdahulu, YB Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS telah menegaskan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP.
https://m.facebook.com/serbandililit
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2022/06/10/asal-bukan-bn-bukan-kaedah-perjuangan-islam/