Apakah Siratulmustakim Itu
Anda mungkin pernah mendengar bahawa surah Al-Fatihah (1) disebut juga sebagai ummul kitab (induk Al-Quran), yang mengandungi keseluruhan apa yang ada di dalam Al-Quran. Surah Al-Fatihah juga menjadi surah yang wajib dibaca dalam setiap rakaat solat. Tujuh belas kali surah ini dibaca setiap hari oleh mereka yang rajin melakukan solat lima waktu.
Solat ialah doa kerana ada banyak doa yang dibaca dalam solat, termasuklah surah Al-Fatihah yang mengandungi doa agar kita ditunjuki jalan yang lurus (siratulmustakim). Itu bererti setiap hari tujuh belas kali anda berdoa meminta petunjuk pada jalan yang lurus. Pertanyaannya, adakah anda sudah ditunjuki kepada jalan yang lurus itu? Adakah anda sudah berjalan pada jalan yang lurus itu dan apakah jalan yang lurus itu?
Semasa kanak-kanak, penulis atau mungkin juga anda, pernah disampaikan tentang bagaimanakah siratulmustakim itu. Siratulmustakim dikatakan sebagai sebuah jambatan di akhirat nanti yang harus dilalui oleh setiap orang yang akan menuju syurga, namun sangatlah sulit untuk melaluinya. Kesulitannya bagaikan berjalan di atas sehelai rambut dibelah tujuh. Sangatlah sulit. Hanya amal ibadah manusia yang dapat menolongnya melintasi jambatan siratulmustakim tersebut. Untuk melintasinya, diperlukan kelajuan yang tertentu. Bagi mereka yang tidak berjaya melintasinya, akan jatuh ke dalam neraka (api yang menyala-nyala). Demikianlah ajaran atau fahaman yang pernah penulis terima ketika masih kanak-kanak dahulu.
Mari kita fikirkan bersama-sama tentang ajaran tersebut. Bagaimanakah mungkin siratulmustakim itu wujud di akhirat nanti padahal kita memintanya saat di dunia dan untuk keselamatan hidup di dunia? Bukankah keselamatan di akhirat yakni kehidupan setelah mati ditentukan oleh kehidupan di dunia ini? Belum lagi dibincangkan tentang apa sebenarnya syurga dan neraka itu. Penulis berkesimpulan bahawa cerita tersebut hanyalah fahaman spiritual nenek moyang. Namun satu hal yang dapat disepakati ialah bahawa berjalan di atas siratulmustakim merupakan sesuatu yang sangat sulit dan berat. Jika anda tidak konsisten, anda akan tergelincir ke dalam neraka (jalan yang sesat; jalan yang penuh dengan murka Tuhan).
Maka, apakah siratulmustakim itu sebenarnya? Bukanlah hal yang sukar untuk menjawab persoalan tentang siratulmustakim itu sekiranya kita kembalikan kepada sumbernya yang benar iaitu Al-Quran. Biarkan Tuhan (Al-Quran) sendiri yang menjawab dan menjelaskan pertanyaan-pertanyaan di atas. Hilangkan segala prasangka dan tradisi nenek moyang yang ada dalam pemikiran anda. Jadikan Al-Quran sebagai kitab petunjuk dalam mencari kebenaran sejati. Anda tidak akan salah jalan sekiranya anda konsisten mengikuti petunjuk wahyu Tuhan sebagai sumber kebenaran sejati.
Manusia meminta agar ditunjuki kepada jalan yang lurus iaitu jalan yang benar. Jalan yang benar itu ialah jalan orang-orang yang telah dianugerahkan nikmat oleh Tuhan. Jalan yang benar itu bukanlah jalan orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa salah satu fungsi ayat-ayat Al-Quran ialah kemampuannya mentafsirkan dirinya sendiri. Dengan kata lain, ayat-ayat Al-Quran mentafsirkan ayat-ayat yang lainnya (tafsir al-āyat bi al-āyat). Dalam contoh ayat di atas, Tuhan sendiri sudah mentafsirkan apa yang dimaksudkan dengan siratulmustakim itu.
Para pentafsir sering menterjemahkan siratulmustakim sebagai jalan yang lurus sebagai bandingan kepada jalan yang sesat atau jalan yang menyimpang. Tentu saja yang dimaksudkan menyimpang itu ialah menyimpang daripada kebenaran, sehinggakan siratulmustakim lebih tepat jika diertikan sebagai jalan kebenaran yakni jalan Tuhan, berlawanan dengan jalan kesesatan atau jalan yang dimurkai Tuhan.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘tunjukilah kami jalan kebenaran’ pada ayat 6 surah Al-Fatihah itu? Jalan kebenaran itu ditafsirkan pada ayat berikutnya iaitu jalan merekayang telah diberi nikmat oleh Tuhan, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang yang sesat. Jadi ayat 7 sudah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan siratulmustakim iaitu jalan yang selama ini diminta oleh jutaan manusia. Cuma penjelasan tersebut masih belum jelas kerana masih ada beberapa persoalan lanjutan seperti siapakah yang dimaksudkan dengan kata ‘mereka’ yang telah diberi nikmat oleh Tuhan dan apakah bentuk ‘nikmat’ tersebut?
Yang dimaksudkan dengan kata ganti ‘mereka’ ialah sesiapa saja yang mentaati Tuhan dan Rasul-Nya. Mereka inilah yang akan bersama-sama dengan orang-orang yang telah dianugerahi nikmat oleh Tuhan iaitu para nabi, para shiddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Itulah kurniaan atau nikmat dari Tuhan yang Maha Mengetahui.
Daripada penjelasan (tafsir) ayat di atas, sudah jelas bahawa yang dimaksudkan dengan kata ‘mereka’ yang diberi nikmat oleh-Nya pada surah Al-Fatihah (1) Ayat 7 ialah mereka yang taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya, iaitu para Nabi, para shiddiqin, para syahid dan orang-orang soleh. Mereka inilah yang telah dikurniai nikmat dari Tuhan yang menjadi Rabb, Malikdan Ilah umat manusia. Merekalah yang berjalan pada jalan kebenaran Tuhan (siratulmustakim). Dengan demikian, siratulmustakim itu ialah jalan yang ditempuhi oleh para Nabi dan Rasul Tuhan berserta orang-orang beriman pada zaman dahulu yang juga harus ditempuhi oleh mereka yang beriman saat ini.
Tuhan telah mengangkat martabat orang yang telah diberi nikmat oleh-Nya ke martabat yang tinggi. Mereka itu ialah para Nabi daripada keturunan Adam, daripada pengikut-pengikut Nabi Nuh dan daripada keturunan Ibrahim dan Israel serta daripada orang-orang yang telah diberi petunjuk dan telah dipilih oleh Tuhan. Apabila dibacakan ayat-ayat Tuhan Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.
Jadi apakah bentuk nikmat yang telah Tuhan anugerahkan kepada mereka? Jika kita pelajari sejarah peradaban dunia dan informasi wahyu yang ada di dalam Al-Quran, dapat difahami bahawa bentuk nikmat yang telah dianugerahkan Tuhan kepada para Rasul-Nya dan orang-orang beriman ialah mereka menjadi penguasa di muka bumi pada zaman mereka masing-masing. Inilah tradisi Tuhan (sunnatullah) yang berlaku bagi mereka yang berjalan di jalan-Nya. Bahkan hal ini sudah menjadi janji Tuhan dan pasti ditepati bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.
Tuhan telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sama seperti Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dia akan meneguhkan din yang telah diredai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mengabdi kepada Tuhan dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan-Nya. Sesiapa yang tetap kafir sesudah janji itu, bererti mereka itulah orang-orang yang fasik.
Sudah menjadi sunnah-Nya, Dia akan menjadikan mereka yang beriman dan beramal soleh atau dalam erti kata lain mereka yang taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya dan melaksanakan segala perbuatan baik yang diperintahkan oleh-Nya sebagai penguasa dunia seperti yang telah dianugerahkan kepada para Rasul dan orang-orang beriman pada zaman dahulu.
Misalnya, Tuhan telah menyelamatkan Nuh dan orang-orang yang bersamanya dan menjadikan mereka pemegang kekuasaan. Tuhan ‘menenggelamkan’ orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya sebagai satu kesudahan bagi orang-orang yang telah diberi peringatan.
Rasulullah Musa as. berserta Bani Israel juga telah diberikan kekuasaan. Negeri-negeri di bahagian Timur dan Barat bumi yang telah diberi berkah oleh Tuhan juga telah dipusakakan kepada kaum yang telah ditindas iaitu Bani Israel. Tuhan menyempurnakan janji-Nya untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Tuhan juga telah menghancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan oleh mereka.
Rasulullah Isa as. berserta pengikutnya juga diberikan kekuasaan setelah mereka mendapat kemenangan dalam peperangan. Nabi Isa telah menyeru orang-orang yang beriman agar mereka menjadi penolongnya untuk menegakkan din Tuhan. Segolongan daripada Bani Israel beriman dan segolongan lagi kafir. Berkat kekuatan (pertolongan) dari Tuhan, orang-orang beriman dan kaum Ansar di bawah pimpinan Isa as. berhasil memenangi peperangan.
Ayat ini sekali gus ingin meluruskan keyakinan sebahagian besar atau majoriti umat manusia, bahawa Nabi Isa as. bukanlah Nabi yang gagal dalam menggenapi nubuat para Nabi Bani Israel sebelumnya, atau Nabi yang hanya berdakwah selama 3 tahun kemudian disalib, mati dan dikuburkan dan kemudian pada hari ke-3 naik ke langit duduk di samping Tuhan di syurga. Tidak masuk akal jika ada Rasul Tuhan yang gagal dalam menjalankan tugasnya untuk menegakkan din Tuhan di muka bumi. Bukankah Tuhan Yang Maha Kuasa senantiasa membimbing mereka, selama mereka taat kepada-Nya? Dan ini juga terbukti pada zaman Rasulullah Isa as. Jika bukti sejarah akan kejayaan Nabi Isa as. dan generasinya tidak dapat ditemukan saat ini, bukan bererti bahawa sejarah dan karya mereka tidak ada. Sudah menjadi hal yang lumrah bagi penguasa kafir-musyrik pada masa itu iaitu Romawi untuk membumihanguskan semua peninggalan peradaban Islam pada zaman Isa as. demi maksud dan tujuan tertentu. Sebuah kekuasaan atau tamadun yang sedang berkuasa akan mampu melenyapkan sejarah kekuasaan atau tamadun penguasa sebelumnya.
Bukti bahawa Tuhan telah menganugerahkan kekuasaan kepada Bani Israel pada zaman Isa as. dinyatakan secara indah dalam bahasa perumpamaan tentang ‘hidangan dari langit’. Isa menyeru Bani Israel agar bertakwa kepada Tuhan jika mereka benar-benar orang yang beriman lalu Bani Israel berkata bahawa mereka ingin makan ‘hidangan dari langit’ agar hati mereka tenteram dan supaya mereka yakin bahawa Isa telah berkata benar kepada mereka. Mereka ingin menyaksikan ‘hidangan’ itu sendiri. Isa berdoa kepada Tuhan agar ‘hidangan dari langit’ itu diturunkan kepada mereka dan pada hari hidangan itu turun akan menjadi hari raya bagi mereka iaitu bagi orang-orang yang bersama mereka dan bagi orang yang datang sesudah mereka. ‘Hidangan’ itu menjadi tanda kekuasaan Tuhan. Tuhan berfirman bahawa Dia akan menurunkan hidangan itu kepada mereka tetapi sesiapa di antara mereka yang kafir setelah turunnya ‘hidangan’ itu, maka sesungguhnya Tuhan akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah ditimpakan-Nya kepada seorang pun di antara umat manusia.
Yang dimaksudkan dengan ‘hidangan dari langit’ di sini bukanlah makanan biologi kerana hal itu tidak masuk akal. Tetapi hidangan yang diminta ialah ‘Kerajaan Tuhan’ di muka bumi seperti yang pernah diberikan kepada nenek moyang mereka pada zaman Nabi Musa.
Bani Israel berdoa agar Tuhan mendatangkan Kerajaan-Nya dan menjadikan keadaan di bumi sama seperti di syurga.
Untuk memperoleh ‘hidangan’ tersebut, maka Bani Israel diwajibkan untuk beriman dan taat kepada Tuhan. Mereka sangat berharap dapat menikmati dan menyaksikan datangnya ‘hidangan’ tersebut semasa hidup mereka.
Nabi Isa pernah berkata kepada pengikutnya bahawa sesungguhnya di antara orang yang hadir bersama-samanya pada ketika itu, ada yang tidak akan mati sebelum mereka melihat ‘hidangan’ itu turun atau dengan erti kata lain melihat hari tegak dan berkuasanya Kerajaan Tuhan di muka bumi.
Untuk itulah mereka meminta Nabi Isa untuk berdoa kepada Tuhan agar diturunkan (dianugerahkan) hidangan dari langit tersebut.
Jelaslah bahawa ‘hidangan’ (Al-Maidah) yang diminta oleh mereka bukanlah makanan biologi, kerana ‘hidangan’ tersebut akan menjadi ‘Hari Raya’ bagi mereka dan bagi orang-orang yang datang kemudian iaitu anak keturunan mereka dengan memperingatinya pada setiap tahun. Hari itu menjadi Hari Raya atau ‘Hari Id’ sebagai tanda kemenangan umat Islam Bani Israel. Hari Id ialah hari kembalinya mereka kepada fitrah mereka yang sejati iaitu menjadi hamba-hamba Tuhan yang tunduk patuh kepada sistem hukum-Nya yang ditegakkan oleh penguasa kekuasaan (Kerajaan) Tuhan atau Jerusalem (Darussalam). Hari itulah hari di mana mereka telah terbebas daripada dosa iaitu merdeka daripada perbudakan dan penjajahan raja bangsa-bangsa yang selama ini menindas Bani Israel. Mereka tidak akan dapat merayakan ‘Hari Id’, jika mereka tidak dianugerahi kemenangan dan kekuasaan oleh Tuhan.
Tuhan memperkenankan ‘hidangan dari langit’ yang ditunggu-tunggu oleh Bani Israel. Dengan kata lain, kerana mereka tetap beriman dan taat kepada perintah Tuhan (beramal soleh) maka Tuhan menganugerahkan kemenangan dan kekuasaan sebagai ‘hidangan dari langit’; anugerah Kerajaan Tuhan. Inilah ajran ‘adziman (ganjaran yang amat besar) atau nikmat dari Tuhan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.
Janji untuk menjadikan mereka penguasa atau pemimpin dunia juga pernah disampaikan Tuhan kepada Nabi Ibrahim ketika Ibrahim diuji dengan beberapa kalimat iaitu perintah dan larangan dari Tuhan lalu dia menunaikannya. Kerana itu Tuhan berjanji bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan Ibrahim sebagai imam bagi seluruh manusia. Ibrahim memohon agar hal yang sama diberikan kepada keturunannya lalu Tuhan berfirman bahawa janji-Nya itu tidak akan berlaku kepada orang yang zalim.
Kurniaan Tuhan itu telah membuatkan orang-orang kafir merasa dengki. Sesungguhnya Tuhan telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim dan telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar.
Diri dan harta orang-orang mukmin telah dibeli oleh Tuhan dan balasannya ialah syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Tuhan. Lalu antara mereka, ada yang membunuh dan ada yang terbunuh. Hal itu telah menjadi janji yang benar dari Tuhan dan telah tertulis dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Tidak ada yang lebih menepati janjinya selain daripada Dia. Maka orang-orang mukmin harus merasa gembira dengan jual beli yang telah dilakukan oleh mereka. Itulah kemenangan yang besar bagi mereka.
Tuhan menyebutkan tentang nikmat kekuasaan yang diberikan-Nya kepada Nabi Muhammad pada hari orang-orang kafir telah berputus asa untuk mengalahkan din-Nya. Tuhan berfirman kepada Muhammad dan orang-orang beriman agar tidak takut kepada orang-orang kafir dan hanya takut kepada-Nya. Pada hari itu, Dia telah menyempurnakan din-Nya untuk mereka dan telah mencukupkan nikmat-Nya serta telah meredai Islam sebagai din bagi mereka.
Dan Tuhan telah mewariskan kepada mereka tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka dan begitu pula tanah yang belum mereka injak. Sesungguhnya Tuhan Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.
Demikianlah bentuk nikmat, anugerah atau karunia yang telah diberikan Tuhan kepada mereka yang berjalan pada “jalan kebenaran-Nya”. Sudah semakin jelas apa yang dimaksudkan dengan siratulmustakim itu. Pertanyaan selanjutnya ialah, apakah bentuk siratulmustakim yang menjadi pegangan dan jalan para Nabi dan Rasul Tuhan tersebut?
Tuhan berfirman agar Rasulullah Muhammad mengatakan bahawa sesungguhnya dia telah ditunjuki oleh Tuhan kepada jalan yang lurus atau din yang benar iaitu millah Ibrahim yang lurus dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik.
Sudah sangat jelas dan tegas bahawa petunjuk siratulmustakim yang Tuhan berikan kepada Nabi Muhammad ialah din yang benar; yakni Millah Ibrahim yang murni. Sesungguhnya din yang dibawa dan diajarkan oleh Nabi Muhammad bukanlah din yang baharu, melainkan din yang sudah pernah diberikan Tuhan kepada Nabi Ibrahim (Abraham), yang juga diikuti oleh para Nabi dan Rasul Tuhan sesudahnya. Bahkan Nabi Muhammad mengisytiharkan dirinya sebagai pengikut Millah Ibrahim yang hanif.
Tuhan telah mewahyukan kepada Muhammad agar mengikuti millah Ibrahim kerana Ibrahim ialah seorang yang hanif dan tidak termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Sesungguhnya Ibrahim telah diambil oleh Tuhan menjadi kesayangan-Nya.
Tidak ada yang lebih baik din-nya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Tuhan dan dalam masa yang sama mengerjakan kebaikan serta mengikuti millah Ibrahim yang lurus.
Benarlah apa yang difirmankan oleh Tuhan. Maka ikutilah Millah Ibrahim yang lurus kerana Ibrahim bukan daripada golongan orang yang musyrik.
Orang-orang beriman diseru untuk berjihad pada jalan Tuhan dengan jihad yang sebenar-benarnya. Mereka telah dipilih oleh Tuhan dan Dia sekali-kali tidak menjadikan din itu sebagai satu kesempitan bagi mereka. Mereka diseru agar mengikuti millah orang tua mereka iaitu Ibrahim. Mereka telah dinamakan oleh Tuhan sebagai orang-orang Muslim sejak dahulu lagi. Demikian jugalah bagi mereka yang mengikuti Nabi Muhammad. Mereka juga disebut sebagai orang-orang Muslim. Para Rasul menjadi saksi atas diri orang-orang beriman dan mereka pula menjadi saksi atas segenap manusia. Tuhan memerintahkan agar mereka mendirikan solat, menunaikanlah zakat dan berpegang pada tali-Nya kerana Dialah Pelindung bagi mereka. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
Dengan demikian, semakin jelaslah bagi kita apa yang dimaksudkan dengan ‘jalan yang lurus’ itu. Siratulmustakim itu ialah Millah Ibrahim, yakni jalan kebenaran Tuhan Yang Maha Esa, yang menjadi konsep dan jalan hidup atau sistem hidup para Nabi dan Rasul Tuhan dalam memperjuangkan tegaknya sistem hukum yang benar dalam suatu kekuasaan Tuhan demi terwujudnya kedamaian dan kesejahteraan hidup umat manusia di muka bumi.
Millah Ibrahim merupakan konsep atau jalan hidup yang berbeza dengan apa yang ditempuhi oleh mereka yang berjalan pada jalan yang dimurkai Tuhan dan jalan yang sesat. Mengapakah mereka mendapat murka Tuhan? Tuhan murka kerana mereka ialah umat atau bangsa yang telah pun disampaikan misi risalah-Nya dan memahami ‘Kebenaran Tuhan’ yang sejati, namun mereka lebih memilih jalan hidup yang lain, yang dibuat oleh nenek moyang mereka sendiri (kafir-zalim). Mereka kafir pada kebenaran yang disampaikan oleh saksi-saksi Tuhan sehinggalah apabila saatnya tiba, Tuhan memberikan azab-Nya kepada mereka.
Ada manusia yang berjalan pada jalan kesesatan dan tidak mendapatkan wahyu Tuhan atau sinar Tuhan sehinggakan mereka tetap berada dalam kegelapan. Ketika Nur Tuhan menghampiri mereka, ada yang menerimanya lalu mereka keluar daripada kehidupan yang gelap menuju kehidupan yang penuh dengan sinar (ilmu) Tuhan. Namun tidak sedikit juga yang menolak Nur Tuhan tersebut, lalu mereka tetap bergelimang dalam kegelapan dan kesesatannya hingga datangnya hari penghakiman bagi mereka di dunia ini.
Yang melindungi orang-orang beriman ialah Tuhan dengan cara mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Manakala bagi orang-orang yang kafir, yang melindungi mereka ialah setan dengan cara mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itulah penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.
Akhirnya, apa jua jalan yang dipilih oleh setiap manusia menjadi hak asasi dan tanggung jawabnya sendiri. Setiap pilihan jalan yang akan ditempuhi memiliki proses dan akibat tersendiri. Untuk itu, fahami dan yakini jalan apa yang akan menjadi pilihan anda. Jadikan siratulmustakim, jalan kebenaran Tuhan, yakni jalan Millah Ibrahim; jalan para Nabi dan Rasul Tuhan sebagai pilihan jalan hidup Anda untuk mendapat nikmat daripada-Nya. Jika demikian, itu bererti doa anda telah dijawab oleh-Nya dan solat anda pun tidak sia-sia lagi.
Hazzedie Hussin
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2020/10/apakah-siratulmustakim-itu.html