Apa Itu Labubu Hukum Mengumpulnya Dalam Islam Haram Ke
Apa Itu Labubu, Hukum Mengumpulnya Dalam Islam – Haram Ke?
Labubu adalah salah satu koleksi patung popular yang dihasilkan oleh syarikat mainan terkenal Pop Mart. Patung comel yang diinspirasikan dari mitologi Nordik ini telah mencuri perhatian ramai termasuklah golongan selebriti dan juga generasi muda.
Memiliki patung labubu boleh dikatakan satu trend yang sangat popular sekarang ni.
Namun, di sebalik itu, timbul persoalan penting bagi umat Islam; apakah hukum memiliki dan mengumpul boneka Labubu ini menurut syariat?
Jom baca perkongsian di bawah untuk mengetahui jawapannya.
BACA JUGA: Kain Sutera – Jenis, Cara Penjagaan & Hukum Memakainya
Apa Itu Labubu & Bagaimana ia Boleh Viral?
Labubu adalah watak patung koleksi yang dicipta oleh Pop Mart, sebuah syarikat dari China yang terkenal dengan koleksi mainan figure edisi terhad.
Setiap patung Labubu direka dengan pelbagai gaya, watak, dan tema yang menarik. Patung-patung ini sering dijadikan sebagai hiasan atau koleksi peribadi di kalangan peminat koleksi patung dan mainan.
Labubu sebenarnya telah wujud sejak 2015. Walau bagaimanapun, popularitinya melonjak secara mendadak pada tahun 2024 selepas Lisa Blackpink, bintang K-pop terkenal, berkongsi gambar dirinya memeluk patung Labubu di media sosial.
Sejak itu, Labubu telah menjadi kegilaan dalan kalangan peminat dan pengumpul mainan, mencetuskan fenomena yang belum pernah dilihat sebelum ini dalam dunia koleksi.
Apa yang menjadikan Labubu begitu menarik adalah konsep ‘blind box’ atau ‘mystery box’ yang digunakan dalam penjualannya.
Pembeli tidak tahu patung Labubu yang mana yang akan mereka perolehi sehingga mereka membuka kotak, menambah elemen kejutan dan kegembiraan kepada pengalaman membeli.
Malah, terdapat karakter Labubu yang sangat jarang dengan peluang mendapatkannya hanya 1 daripada 72, menjadikannya sangat berharga di kalangan pengumpul.
Hukum Mengumpul Patung dalam Islam
Sebagai umat Islam, adalah penting untuk memahami hukum yang berkaitan dengan aktiviti mengumpul patung atau figurine seperti Labubu.
Secara umum, Islam tidak melarang umatnya daripada memiliki atau mengumpul patung, tetapi ada beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi.
Merujuk penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mengenai patung dalam Islam berkait rapat dengan niat dan tujuan penggunaan patung tersebut.
Islam mengharamkan patung yang digunakan untuk tujuan penyembahan atau pemujaan, kerana ia boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Thalhah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Adapun selain daripada perkara tersebut seperti patung sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى
Maksudnya: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.” – Hadis riwayat al-Bukhari: (6130)
Bolehkah Kumpul Patung Labubu?
Hukum mengumpul patung Labubu dalam Islam telah dibincangkan oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan.
Menurut beliau, mengumpul dan menghias patung Labubu tergolong dalam perkara syubhah (meragukan) kerana asal-usulnya yang berkaitan dengan mitologi Nordik.
Beliau juga menyatakan bahawa pembelian patung Labubu boleh dianggap sebagai pembaziran kerana ia tidak memberi manfaat.
Walau bagaimanapun, Jamali menjelaskan bahawa menyimpan patung Labubu adalah harus (dibenarkan) jika beberapa syarat dipatuhi.
Patung tersebut tidak boleh dimuliakan, tidak boleh mempunyai unsur lucah, tanda salib, atau lambang agama lain, dan tidak boleh diletakkan di tempat yang dimuliakan atau digantung di tempat khas.
Beliau juga menegaskan bahawa patung yang saiznya tidak kecil atau bukan mainan kanak-kanak termasuk dalam kategori haram.
Penting untuk diingat bahawa walaupun terdapat keharusan dalam menyimpan patung Labubu dengan syarat-syarat tertentu, umat Islam disarankan untuk berhati-hati dan mengutamakan perkara yang lebih bermanfaat dalam kehidupan.
Adalah lebih baik untuk mengelakkan perkara yang syubhah demi menjaga kesucian iman dan amalan.
Pembaziran Wang
Hukum berkaitan dengan pembelian patung seperti Labubu juga perlu dipertimbangkan dari segi pembaziran.
Islam melarang pembaziran harta benda (israf), yang boleh berlaku jika seseorang menghabiskan wang untuk sesuatu yang tidak memberi manfaat yang jelas.
Oleh itu, dalam mengumpul patung atau barangan koleksi, kita perlu memastikan bahawa ia tidak membawa kepada pembaziran yang tidak perlu.
Membeli patung dengan tujuan untuk memenuhi hobi yang sihat adalah dibenarkan, tetapi jika ia menyebabkan seseorang berbelanja lebih daripada kemampuan atau menjejaskan kewangan peribadi, ia mungkin dianggap sebagai pembaziran.
BACA JUGA: Zakat KWSP Akaun 3: Hukum & Cara Kiraan Kadar Zakat
Konsep ‘Kotak Misteri’ dan Hukumnya
Satu aspek yang menjadi perhatian khusus dari sudut syariah adalah konsep ‘kotak misteri’ atau ‘blind box’ yang digunakan dalam penjualan Labubu.
Menurut pandangan Islam, konsep ini boleh dianggap sebagai melanggar syariat kerana mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) dalam transaksi.
Gharar merujuk kepada ketidakpastian atau risiko yang tidak perlu dalam sesuatu transaksi, dan ia dilarang dalam Islam kerana boleh membawa kepada penipuan atau ketidakadilan.
Dalam konteks Labubu, pembeli tidak tahu apa yang mereka beli secara tepat, yang boleh dianggap sebagai satu bentuk perjudian kecil.
Larangan terhadap gharar ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Maksudnya: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli al-hashah (dengan melempar batu) dan jual beli gharar.” – (HR Muslim)
BACA JUGA: Majlis Aqiqah: Hukum, Syarat Sah, Aturcara Majlis & Doa
Penutup
Dalam Islam, tidak ada masalah untuk memiliki atau mengumpul patung seperti Labubu selagi ia digunakan untuk tujuan yang sah dan tidak menyalahi ajaran agama.
Namun, umat Islam perlu berhati-hati dalam memastikan bahawa hobi ini tidak membawa kepada pemujaan yang boleh menyebabkan syirik, pengabaian kewajipan agama, atau pembaziran harta.
Rujukan:
AL-AFKAR #47: HUKUM PATUNG SEBAGAI PERHIASAN – Mufti WP
AL-KAFI #1331: HUKUM MENYIMPAN PATUNG PERMAINAN KANAK-KANAK – Mufti WP
Hukum Umat Islam Kumpul Patung Labubu – Therakyatpost
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/labubu/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=labubu