Apa Itu Hak Kebebasan Bersuara
Fawaz Fatdil
Mutakhir ini di media sosial, kerap dilaungkan oleh sebahagian penyokong parti politik bahawa kebebasan bersuara di Malaysia telah mati dan disekat.
Kata-kata seperti “zaman madanon ni, nak bercakap bersuara pun dah tak bebas”, “kerajaan sembang jamin hak kebebasan bersuara, tapi ramai je kena panggil dengan SKMM, PDRM”.
Pertama, kita perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara.
Kebebasan bersuara di Malaysia merujuk kepada hak individu untuk menyatakan pandangan, idea, atau pendapat secara bebas, sama ada secara lisan, bertulis, dalam media sosial, atau mana-mana platform lain.
Ianya merupakan sebahagian dari asas perlembagaan dimana ianya dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan Malaysia:
“Tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran.”
Namun, kebebasan ini tidak datang secara mutlak. Ia datang bersama tanggungjawab dan batasan tertentu.
Jadi, benarkah kebebasan bersuara ini datang dengan tanggungjawab tertentu?
Ya, kebebasan bersuara datang dengan tanggungjawab.
Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang untuk menghadkan kebebasan ini demi:
• Keselamatan negara
• Ketenteraman awam
• Moral
• Perlindungan maruah dan hak individu
• Mengelakkan hasutan, fitnah, atau penghinaan terhadap institusi diraja, agama, atau kaum.
Atas sebab musabab ini, kerajaan menggubal undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara demi melindungi kepentingan-kepentingan di atas seperti:
• Akta Hasutan 1948
• Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
• Kanun Keseksaan
• Akta Rahsia Rasmi 1972
Seperti yang kita semua maklum, suhu bahang politik di Malaysia saban hari semakin panas dan tegang.
Di Facebook dan TikTok misalnya, dua platform yang menjadi tumpuan netizen untuk mendapat maklumat dan informasi, kedapatan beberapa pempengaruh media sosial yang tidak bertanggungjawab, menyebarkan maklumat-maklumat yang palsu, provokatif, tidak berasas, separuh masak dan sebagainya.
Ini jelas boleh menimbulkan fitnah, mendatangkan hasutan serta provokatif terhadap isu yang sering dan paling laris untuk dimainkan iaitu 3R - Race, Religion, Royalty (Kaum, Agama, Institusi Diraja).
Kesimpulannya, kebebasan bersuara di Malaysia adalah satu hak yang dilindungi, tetapi ia bukannya tanpa had.
Ia perlu diamalkan dengan tanggungjawab, tidak menjejaskan keharmonian, keselamatan, dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/04/apa-itu-hak-kebebasan-bersuara.html